Salahkah elaun Adun Kelantan naik?

MOHD ASRI MAT DAUD | .

GAJI/elaun adalah sesuatu yang menjadi Dharuriyyah Al-Hayah iaitu keperluan yang wajib diperolehi dalam hidup. Kondisi ekonomi yang berubah akan turut mengakibatkan perubahan dalam pendapatan gaji/elaun.  

Sebelum ini, Kerajaan Persekutuan telah menetapkan perolehan gaji minimum di Semenanjung iaitu RM900 manakala di Sabah, Serawak dan Labuan RM800 berbanding sebelum ini hanya RM400 sehingga RM500 sebulan. Secara tidak langsung, hal ini dibuat bagi mengurangkan kadar golongan miskin yang berpendapatan RM750 sebulan dan golongan miskin tegar yang menerima upah bulanan kurang daripada RM440.

Apapun hak mendapat gaji/elaun/upah yang setimpal telahpun termaktub dalam perundangan Islam. Islam mengakui ketidaksamaan nisbah gaji/elaun yang diperolehi oleh setiap pekerja. Sebagai manusia yang hidup bermasyarakat, mereka akan saling perlu memerlukan antara satu sama lain. Kelebihan dan kepandaian berbeza antara manusia ini dapat diambil manfaat secara baik melalui gaji/elaun di antara satu pihak dengan yang lain.

Maka tidak berbangkit sekiranya berlaku kenaikan tangga gaji/elaun sama ada diperingkat Kerajaan Persekutuan, Kerajaan Negeri atau Swasta sekiranya dalam ruang lingkup yang adil dan saksama serta tidak menzalimi hak orang lain.

Allah ada berfirman dalam Surah Al-Ahqaf ayat 19:

وَلِكُلٍّ دَرَجَاتٌ مِّمَّا عَمِلُوا  وَلِيُوَفِّيَهُمْ أَعْمَالَهُمْ وَهُمْ لَا يُظْلَمُونَ

Maksudnya: Dan bagi mereka masing-masing disediakan berbagai peringkat (ganjaran) yang sesuai dengan apa yang mereka telah kerjakan, dan Allah menyempurnakan bagi mereka balasan bagi kerja buat mereka, sedang mereka tidak dizalimi sedikitpun.

Jika diukur dari sudut Aulawiyyat atau prioriti gaji/elaun ini, ia berada ditangga yang teratas. Saya meneliti beberapa perbicangan tentang isu kenaikan elaun Anggota Pentadbiran dan Wakil Rakyat Kelantan yang di luluskan di Sidang Dun semalam. Ia adalah rentetan pindaan kepada Rang Undang-Undang Enakmen (Saraan) Anggota-Anggota Pentadbiran Dan Ahli-Ahli Dewan Undangan Negeri (Pindaan) 2015 yang bertujuan untuk menaikkan kadar saraan untuk diselaraskan dengan kenaikan di negeri-negeri lain.

Jika dibandingkan dengan negeri-negeri lain, Kelantan masih ditangga terendah dalam menetapkan saraan anggota pentadbiran dan Ahli Dewan Undangan Negeri iaitu RM10,000 bagi Anggota Pentadbiran dan RM8,000 bagi Ahli Dewan Undangan Negeri berbanding sebelum ini hanya RM6,000 bagi Anggota Pentadbiran dan RM4,600 bagi Adun.

Perbahasan di Persidangan Dewan Undangan Negeri (Belanjawan) kali ini bukanlah tertumpu kepada hal kenaikan saraan semata-mata, tetapi aspek belanjawan sepanjang tahun 2016 yang lebih luas diperbincangkan dan ternyata bajet bagi 2016 banyak penambahan-penambahan dibuat khasnya dalam aspek berkebajikan kepada rakyat.

Adapun persoalan tidak perlu dinaikkan elaun atas sebab rakyat susah, rumah banjir yang belum sempurna akibat bah kuning lepas dan beberapa komen lain sebagaimana yang diungkit oleh Adun Salor dan pihak yang tidak bersetuju dalam hal ini, perlu diketahui bahawa;

1. Anggota Pentadbiran juga adalah ADUN dan tanggungjawab di Dun mereka adalah sama seperti Adun lain. Sementara Adun lain tidak mengurus hal ehwal Kerajaan Negeri yang hanya dipertanggungjawab ke atas Anggota Pentadbir untuk mempastikan negeri sentiasa sejahtera dan membangun. Ini adalah tugas yang sangat berat memerlukan masa, tenaga dan kewangan yang lebih, apalah sangat jika diukur dengan sedikit kenaikan tersebut.

2. Dana untuk Kerajaan Negeri menyiapkan rumah kekal akibat banjir sudah mencukupi, baki lagi tertumpu kepada penyelesaian masalah teknikal di lokasi untuk dibangunkan rumah sahaja.

3. Begitu juga dengan tunggakan YIK yang berjumlaah jutaan ringgit tersebut telah diambil tindakan oleh pihak Kerajaan Negeri dengan sebaiknya dan bayaran untuk tunggakan sejumlah RM2 juta telah diselesaikan manakala baki-baki lain sudah diperbincangkan di peringkat kepimpinan Kerajaan Negeri. Isu yang memakan masa bertahun-tahun jika kita menuntut agar diselesaikan dalam masa tidak sampai setahun, ia juga suatu ketidakadilan kepada kepimpinan pada hari ini.

Kerajaan Kelantan- Membangun Bersama Islam telah sekian lama mendidik Adun dan Anggota Pentadbiran PAS bahawa kedudukan mereka bersama rakyat adalah kedudukan khadam atau pelaksana segala tuntutan rakyat. Tanggungjawab ini dijadikan asas utama kepada seluruh kepimpinan PAS yang sedang mentadbir. Oleh itu, mereka diajar berkorban demi rakyat dan elaun yang mereka perolehi bukan setakat untuk keperluan keluarga akan tetapi untuk keperluan tugas bangunkan negeri dan sejahterakan rakyat yang juga adalah anggota keluarga Kerajaan Membangun Bersama Islam.

Dengan kos sara hidup yang semakin naik dan pertambahan anggota masyarakat, ia juga akan menambahkan bebanan Anggota Pentadbir dan Adun. Oleh hal yang demikian, tiada apa yang bertentangan dengan konsep keadilan Islam juga pertimbangan aulawiyyat dalam Islam jika di ukur dengan bebanan serta tanggungjawab yang semakin hebat dipikul oleh mereka. Berlaku adillah, keadilan dalam menilai dan berpandangan dekatkan kalian kepada Taqwa! – HARAKAHDAILY 5/11/2015

Penulis ialah Setiausaha Akhbar Menteri Besar Kelantan

Share on Myspace