Pengangguran: Pekerja asing, peluang kerja tak sepadan pendidikan, kemahiran

DATUK DR MOHD KHAIRUDDIN AMAN RAZALI | .

1. Bagi tahun 2015, Bajet 2016 menyatakan anggaran purata kadar pengangguran ialah 2.9% dan Kerajaan telah menyediakan sebanyak 1.8 juta peluang pekerjaan.

2. Menurut ‘Perangkaan Utama Tenaga Buruh, Malaysia, Januari 2015’ jumlah tenaga buruh yang menganggur ialah berjumlah 442,000 orang daripada 14,043,600 orang.

3. Sepatutnya, jumlah peluang pekerjaan yang disediakan tersebut telah memadai dan lebih daripada cukup untuk menempatkan semua tenaga buruh yang masih menganggur ini.

4. Tetapi, realitinya ialah masih ramai tenaga buruh samada berkategori siswazah dan bukan siswazah masih tidak mendapat tempat dalam pasaran kerja.

5. Menurut kenyataan Kementerian Sumber Manusia, bagi tempoh Januari hingga Mei 2015, Jabatan Tenaga Kerja telah menempatkan 66,650 pencari kerja iaitu hanya 14,314 orang kategori siswazah dan 52,336 orang kategori bukan siswazah.

6. Portal JobsMalaysia pula melaporkan, bagi tempoh Mac hingga Mei 2015, terdapat sebanyak hanya 12,625 kekosongan jawatan bagi kategori siswazah dan 145,828 bagi kategori bukan siswazah.

7. Sedangkan, sejak tahun 2002 hingga 2012, secara puratanya tidak kurang 200,000 orang mahasiswa bergraduasi dan jumlah graduan ini pastinya lebih ramai bagi tahun 2015 dan seterusnya.

8. Demikian, tidak hairanlah jika suatu dapatan lain ada menyatakan bahawa seramai 216,048 orang atau 56% graduan universiti adalah penganggur daripada sejumlah 385,800 penganggur di Malaysia.

9. Dapatan kajian oleh Manpower Staffing Services (M) Sdn. Bhd. turut melaporkan bahawa 3 daripada 5 graduan universiti perlu mengambil masa melebihi 6 bulan untuk mendapat pekerjaan dan 40% yang lain lagi memerlukan masa yang lebih lama daripada itu.

10. Realiti ini lebih jelas lagi dapat dilihat kepada graduan Ijazah Sarjana Muda Pendidikan (ISMP) yang sangat sukar dan perlu menunggu untuk tempoh yang lama untuk mendapat tempat di sekolah sedangkan setiap tahun Kerajaan mengumumkan pembinaan sekolah-sekolah baru.

11. Selain itu, jumlah pekerja asing yang mencecah kira-kira 6 juta orang di negara ini termasuk sehingga 50% daripadanya yang tiada permit, telah menjejaskan kebolehdapatan tempat pekerjaan oleh warga tempatan.

12. Lebih utama ialah menerusi pelbagai insentif dan projek yang digariskan dalam Bajet 2016 ini, peluang-peluang pekerjaan yang diwujudkan mengikut tahap kemahiran dan tahap pendidikan mestilah berkadaran dengan bilangan populasi mengikut tahapan tersebut.

13. Namun, saya khuatir dengan terlalu banyak ‘hard-infrastructure project’ yang diumumkan, peluang-peluang pekerjaan yang dimaksudkan sebahagian besarnya hanya mencakupi sektor perburuhan/pembinaan. - HARAKAHDAILY 9/11/2015
_____

Siri Bahas Bajet 2016 ini adalah daripada teks asal Ucapan Perbahasan Bajet 2016 oleh YB. Dato’ Dr. Mohd Khairuddin Aman Razali at-Takiri, Ahli Parlimen Kuala Nerus.

Bahagian Media & Berita
Ahli Parlimen Kuala Nerus

Share on Myspace