Musim sejuk di khemah pelarian Syria

DR RIDUAN MOHAMAD NOR | .

KRISIS kemanusiaan pasca Arab Spring semakin memburuk di khemah pelarian Syria di sebelah Jordan terutama dengan kedatangan musim sejuk yang menggigit tulang temulang. Jutaan pengungsi warga syria yang lari daripada konflik berdarah Syria semenjak empat tahun lalu berhadapan dengan situasi yang paling getir apabila musim sejuk menyerkap mereka dengan kekurangan makanan, pakaian, selimut, alat pemanas dan ubatan.

Kemuncak musim sejuk dengan suhu mencecah minus belasan sangat mendera para pengungsi yang tidak pasti bilakah kubangan darah di tanah air mereka akan berhujung. Kemuncak musim sejuk dengan salju putih memenuhi kawasan pengungsian seolah berada di kutub Utara, timbunan salju sehingga beberapa kaki ini juga mengheret duka pelarian. Data kematian akan meningkat setiap hari terutama kanak-kanak, bayi dan warga emas, malah kelaparan luar biasa yang dialami sehingga ada yang terpaksa memakan tikus dan kucing!

Kerajaan Jordan tidak mampu menyediakan kemudahan terbaik untuk para pelarian kerana jumlah pelarian yang meningkat jutaan orang malah merasakan pengungsian sebagai liabiliti kepada negara kerana meningkatkan kos negara daripada sudut keselamatan dan lain-lain lagi.

Pelarian Syria yang berada di sempadan Turki agak bernasib baik kerana keprihatinan kerajaan Pimpinan Erdogan yang menyediakan ruang yang lebih baik untuk pelarian. NGO antarabangsa seperti IHH juga menfokuskan dengan baik untuk bantuan pelarian Syria seperti mewujudkan sekolah-sekolah untuk anak pelarian. Regim Bashar pernah melepaskan air empangan ke Antakia kerana berang dengan sikap kerajaan Turki yang dilihat seolah campurtangan dalam soal pengungsi dari Syria.

Penulis berpeluang beberapa kali mengikuti misi bantuan Muslim Care ke sempadan Turki dan juga Jordan yang merupakan jiran Syria. Kali ini rombongan Muslim Care membawa bantuan musim sejuk seperti selimut tebal, pakaian sejuk, makanan dan sebagainya.

Rombongan kali ini diketuai oleh Johari Ismail dan turut disertai oleh relawan daripada pelajar USIM, kakitangan Islam Maybank, Badan Kebajikan Islam Petronas dan selebriti tanah air seperti Afdlin Shauki, Aziz M.Osman, Ustaz Syed Abd kader, Fazli UNIC.

Dibantu oleh teman-teman relawan Muslim Care di Jordan, antara program-program yang dilaksanakan ialah seperti membeli-belah pakaian keperluan bersama anak-anak yatim pelarian, majlis serahan bantuan musim sejuk kepada 500 keluarga, program motivasi pelajar, menyantuni pelarian di khemah pelarian Dasina yang tidak mendapat bantuan daripada pihak luar.

Berada di khemah pelarian sangat menginsafkan, dengan suhu belasan darjah celcius dan dijangka suhu diparas minus apabila kemuncak musim sejuk. Khemah pelarian tanpa kemudahan yang lengkap, bahkan mereka bekerja di kebun tanaman rakyat tempatan Jordan semata-mata  untuk mendapatkan bekalan eletrik dan juga air.

Rombongan Muslim Care berjaya memberikan senyuman untuk anak-anak pelarian apabila agihan makanan ringan serta menyantuni mereka dengan bernasyid. Jelas tergambar riak gembira pada guratan wajah pelarian apabila menerima barang keperluan musim sejuk. Setiap tahun apabila musim sejuk menjelang, maka berita kematian seolah menjadi perkara rutin, terutama anak-anak kecil pelarian.

Muslim Care yang kini mempunyai lima buah sekolah pelarian Syria akan terus memberikan komitmen berterusan untuk membantu saudara akidah terutama di musim sejuk yang sangat menggigit tulang. Bantuan rakyat Malaysia sangat besar maknanya kepada mereka, luka dan sakit mereka adalah nestapa kita yang pasti dipertanggungjawabkan di hadapan Rabbul Jalil. Jom, kita membantu!  - HARAKAHDAILY 15/11/2015

Share on Myspace