DAP: Politik orang gila

SYARHAN HUMAIZI HALIM | .

1. Satu persatu dilihat tindakan DAP makin menggila. Ibarat orang gila yang bercakap seorang, mengancam orang ramai bahkan dia akan beritahu bahawa dia bukan orang gila. Tidak ada orang gila yang mengaku dia gila bahkan dia akan kata orang lain gila. Begitu jugak orang jahat tidak akan mengaku dia jahat bahkan dia akan menunding jari ke arah orang lain mengatakan jahat. Ini politik DAP.

2. Tuduhan DAP ibarat orang gila yang bercakap tiada asas dan tidak memandang realiti kehidupan akibat akal sudah menjadi tidak waras. Atas sikap apa DAP mengatakan Exco-Exco PAS dalam Kerajaan Selangor "berbuat jahat" apabila memperjuangkan hak-hak rakyat. DAP melalui Setiausaha Agungnya Lim Guan Eng mengeluarkan kenyataan demikian akibat "tidak puas hati" apabila desakan mereka untuk keluarkan PAS dari Kerajaan Selangor tidak berjaya. Hasilnya dengan tekanan demikian mereka menjadi umpama "orang gila".

3. PAS mendukung usaha dan dasar yang dibuat oleh Kerajaan Selangor. Apatah lagi pembentangan bajet oleh YAB Dato Menteri Besar Selangor, Mohamed Azmin Ali bertemakan "Membangun Smart Selangor Yang Peduli" amat menitik beratkan soal kebajikan rakyat. Justeru atas dasar inilah Exco-Exco dan seluruh ahli PAS akan menggembleng tenaga bersama-sama menjayakan agenda Kerajaan Selangor ini.

4. Realitinya rakyat Selangor sendiri boleh melihat kesungguhan dan khidmat bakti yang dilakukan oleh Exco-Exco PAS bahkan khidmat bakti itu bukan sahaja dilakukan melalui saluran kerajaan semata-mata bahkan PAS di Selangor itu sendiri melalui ahli-ahlinya sentiasa menyantuni dan mendahului untuk gerak kerja memberi kebajikan kepada rakyat. Apatah lagi sikap "menggila" DAP itu jugak mengaitkan dengan Kerajaan Kelantan yang sudah sememangnya dikenali sebagai Kerajaan yang bersih sejak zaman Almarhum Tuan Guru Nik Abdul Aziz sendiri. Tuduhan DAP mengatakan hendak menghalang PAS dari buat jahat sebenarnya memakan diri DAP sendiri kerana rakyat Selangor boleh menilainya dengan baik.

5. Dewan Pemuda PAS Selangor menasihat dan menegur agar DAP di Selangor mengambil sikap untuk sama-sama berusaha membangunkan Kerajaan Selangor. Peduli rakyat menjadi agenda utama bukan mengizinkan sikap prejudis sebahagian pimpinan DAP mengganggu gerak kerja serta khidmat bakti untuk rakyat Selangor. – HARAKAHDAILY 16/11/2015

SYARHAN HUMAIZI HALIM
Ketua Pemuda PAS Selangor
16 November 2015 / 4 Safar 1437H

Share on Myspace