Jelas, inklusifnya PAS memacu negara mesra OKU

MOHAMMAD FAIZAL CHE YUSOF | .

SEBAGAIMANA biasa saya nyatakan dalam pelbagai forum atau wacana, adanya Sekretariat Prihatin OKU dalam Parti Islam Se-Malaysia PAS bukanlah mengulangi gerak kerja pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan yang sedia ada. Adanya sekretariat ini bertujuan khusus menjelmakan hebatnya Islam dalam membangunkan OKU melalui wadah politik.

Saya meyakini betapa pembentukan Malaysia sebagai sebuah negara mesra OKU mampu dicapai melalui kesungguhan badan-badan siasah dalam hal yang sama. Justeru, PAS adalah badan terplilih sebagai pemangkin kepada matlamat tersebut.

Sejak tertubuhnya sekretariat ini, Dewan Muslimat PAS Pusat “DMPP” adalah antara sayap utama PAS yang menyambut dan menyahut agenda pengupayaan OKU melalui parti. Syukur ke hadrat Ilahi, kelangsungan itu kini diteruskan dalam kepimpinan sesi yang telah pun bermula.

Kurang seminggu sebelum berlangsungnya kemuncak konvensyen Jelajah Saidatina Khadijah “Jelas” di Shah Alam 15 November lalu, saya dimaklumkan ruang untuk disertai OKU telah tersedia. Segera saya menghubungi sahabat-sahabat penggiat OKU untuk turut hadir dalam hi_tea yang diadakan yang mana turut diraikan oleh Tuan Guru Presiden.

Bagi memastikan PAS sebagai badan siasah yang mampu membawa perubahan ke arah Malaysia mesra OKU, apa yang mampu kami laksanakan termasuklah menjadikan jentera parti itu bersedia melaksanakan gagasan besar ini. Bagi tujuan itu, kemuncak konvensyen Jelas adalah satu lagi medan terbaik bagi menampilkan inklusifnya Islam.

Inklusifnya PAS untuk semua mesti dijelmakan dalam rupa yang dapat dirasai. Ia bukan sekadar laungan slogan tanpa disusuli suatu tindakan. Jika selama ini komuniti OKU sering merasai ragu-ragu untuk menyertai program politik bukan kerajaan secara terbuka, kami bertanggungjawab untuk memecahkan tembok pemisah itu.

Banyak faktor sebenarnya yang menjauhkan komuniti OKU daripada program atau aktiviti politik. Apatah lagi bila ia melibatkan parti di luar kerajaan. Selain pelbagai momokan dan ugutan, suasana program yang diadakan mewujudkan satu jurang tanpa disedari antara OKU dan hadirin yang lain.

Meminimumkan faktor halangan inilah suatu tugasan yang bukan mudah dan calang-calang. Alhamdulillah setinggi syukur bila usaha kami ini didokong sama oleh sayap utama parti sebagaimana ditunjukkan oleh DMPP melalui Jelas.

Kesedaran DMPP untuk mengenengahkan isu-isu OKU melalui Jelas adalah satu titik awal yang harus dicontohi oleh setiap jentera di dalam parti. Membuka ruang bagi mengenengahkan isu-isu komuniti rentan sering terabai oleh massa tanpa disedari. Itulah antara keistimewaan DMPP yang sedia peka kepada isu yang dipencil.

Lebih daripada itu, sikap petugas program yang langsung tidak kekok memenuhi keperluan sahabat-sahabat OKU yang hadir menambahkan keyakinan saya betapa PAS mampu menjadi agen pemangkin perubahan ke arah membentuk Malaysia mesra OKU. Mungkin ada yang beranggapan layanan sempurna dan istimewa yang diberikan hanyalah berupa suatu protokol program.

Namun pada pengamatan langsung saya, ia bukan sekadar memenuhi protokol program. Itulah suatu hasil tarbiah Islamiah yang membawa natijah inklusifnya PAS untuk semua komuniti termasuk daripada kumpulan rentan.

Bagi pembaca yang baru membaca tulisan saya, mungkin saja memandang biasa-biasa saja apa yang dibangkitkan. Ketahuilah, kesediaan para petugas memenuhi keperluan komuniti OKU dalam program-program sebegini amat besar maknanya buat OKU. Bukan mudah untuk mewujudkan suasana tidak terasing buat OKU yang menghadiri program besar seumpama hi_tea anjuran Jelas baru-baru ini.

Apatah lagi Jelas bukanlah suatu program meraikan komuniti yang biasa diadakan oleh badan-badan kebajikan. Sekadar mengadakan majlis keraian dengan hidangan-hidangan khusus dengan layanan istimewa, ia bukan lagi asing buat komuniti OKU.

Namun apabila program berorientasikan siasah mampu menjelmakan inklusifnya PAS untuk semua, ia adalah usaha yang perlu terus diperkasa.

Melalui usaha sedemikianlah akan membawa Islam kian dilebarkan sayapnya supaya teduhannya mampu memayungi seluruh umat. Kerangka Islam telah tersedia untuk dilaksanakan. Jelmakanlah ia untuk dirasai agar indahnya Islam bukan lagi sekadar di dalam kitab. – HARAKAHDAILY 17/11/2015

Share on Myspace