Memorandum bersama menyokong Kerajaan Kelantan

Wan Hairul Anuar Abdullah | .

Mutakhir ini, serangan demi serangan bertubi-tubi terhadap Kerajaan Negeri Kelantan pimpinan PAS dilakukan samada dari dalam mahupun dari luar.

Bermula dengan serangan yang dilakukan oleh DAP apabila usaha Kerajaan PAS Kelantan mahu melaksanakan Qanun Jenayah Syariah II di Kelantan. Pelbagai tuduhan dan penghinaan dilemparkan oleh DAP ke atas Kerajaan Kelantan ditambah lagi dengan musibah banjir teruk yang melanda beberapa kawasan pada tahun yang lalu.

Tindakan DAP ini memperlihatkan gambaran bahawa DAP tidak senang dengan konsep pemerintahan yang membawa konsep Membangun Bersama Islam  yang telah berjaya dilaksanakan oleh PAS selama 25 tahun sejak 1990 lagi. Walaupun pelbagai tekanan dan sekatan yang dihadapi oleh Kerajaan PAS Kelantan, namun ia berjaya mengharungi dengan teguh dan istiqamah.

Tidak cukup dengan itu, selama ini bermacam-macam bentuk usaha yang dilakukan oleh Kerajaan Persekutuan Umno BN untuk merampas Kelantan daripada PAS. Sekatan demi sekatan dan dinafikan hak, seperti dirampas royalti minyak, tidak diberi peruntukan persekutuan, mengadakan kerajaan dalam kerajaan, janji projek pilihan raya dan pelbagai lagi semata-mata untuk meruntuhkan Kerajaan Kelantan yang dipimpin berlandaskan prinsip Islam dan ketelusan.

Sehingga kini sejak 25 tahun yang lalu, tiada satu kes pun penyelewengan dan penyalahgunaan kuasa telah disabitkan dan didakwa terhadap mana-mana pimpinan kerajaan baik dari Menteri Besar, Exco Kerajaan, Adun sehinggalah pegawai di peringkat bawahan.

Oleh itu, maka tiada alasan syarie yang diharuskan oleh islam agar Kerajaan PAS Kelantan harus bertukar kepada pihak lain.

Begitu juga serangan dalaman sejak akhir-akhir ini sedang rancak diusahakan secara terancang oleh beberapa individu dalaman parti termasuklah juga daripada parti orang kecewa iaitu PAN yang turut menyatakan hasrat ingin merampas pemerintahan daripada PAS.

Mereka yang pernah berada dalam PAS sudah mengenali bagaimana jerih dan payahnya PAS mengambil alih kuasa pemerintahan daripada Umno BN pada tahun 1990 pimpinan Al Marhum Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat. PAS berjuang dengan segala pengorbanan dan kesabaran akhirnya dikurniakan kemenangan ini oleh Allah s.w.t.

Mereka juga tahu bahawa legasi pimpinan Al Marhum Tuan Guru disambung oleh pimpinan sekarang yang diketuai oleh Menteri Besar Ustaz Datuk Ahmad Yakob serta para pimpinan yang lain meneruskan kesinambungan konsep pemerintahan berteraskan Islam yang menekankan prinsip ketelusan dan kejujuran.

Namun, niat jahat dan dendam serta kekecewaan mereka kerana beberapa sebab tertentu seperti kalah dalam pemilihan jawatankuasa PAS, tidak dilantik sebagai exco kerajaan serta ditolak oleh ahli PAS, mereka mula menjadi duri dalam daging dan bergerak bagi memburukkan Kerajaan PAS Kelantan dengan pelbagai tuduhan kononnya demi menyelamatkan kerajaan. Perbuatan mereka ini sebenarnya secara langsung memberikan kelebihan kepada musuh politik untuk dijadikan sebab kepada kejatuhan kerajaan Islam yang dibina selama ini.

Oleh kerana itu, kami gabungan dan persepakatan beberapa NGO ingin menyatakan bahawa, Kerajaan PAS Kelantan tidak harus dijatuhkan dan diubah pemerintahannya selagi ia ditadbir dengan berlandaskan hukum syarak dan selari kehendak Islam.

Sekiranya adanya kekurangan dan kecacatan pada pentadbiran maka hendaklah dipanjangkan melalui saluran yang betul. Ahli parti sepatutnya mengetahui bahawa PAS mempunyai sikap terbuka kepada ahlinya untuk mengkritik tetapi ada disana cara dan kaedah yang sesuai yang disediakan oleh parti dan bukannya dengan cara terbuka dan melalui facebook dan lelainnya sekaligus tidak memberikan kesan yang baik dan membina.

Pihak kami juga menggesa kepada pihak tertentu di luar sana di kalangan ahli PAS dan parti kecewa agar janganlah disebabkan kebencian kepada PAS, kerajaan Islam pula yang dijadikan mangsa. Pihak kalian telah mengambil alih tugas Umno BN yang selama ini tidak pernah senang dengan kejayaan demi kejayaan yang telah ditunjukkan oleh PAS dalam Kerajaan Kelantan walaupun pelbagai hak dinafikan dan sekatan dikenakan.

Pihak kami juga memberi sokongan dan dokongan yang penuh terhadap Kerajaan Kelantan pimpinan PAS dan berbangga dengan usaha-usaha yang dibuat bagi memartabatkan Islam di negeri ini yang akan dijadikan contoh kepada negeri-negeri yang lain dalam Malaysia.
Moga Allah s.w.t. mengekalkan Kerajaan Kelantan pimpinan PAS.

Kami dari kalangan NG0-NGO sepakat berdiri teguh di belakang kerajaan negeri Kelantan dan menyatakan sokongan yang tidak berbelah bahagi demi kelangsungan pemerintahan Islam di negeri Kelantan.

Wan Hairul Anuar Abdullah
Setiausaha Agung,
Pertubuhan Pendukung dan Pencinta Ulamak (GENG USTAZ).
17 November 2015 / 4 Safar 1437H

Memorandum ini diserahkan oleh Pertubuhan Pendokong dan Pencinta Ulamak (GENG USTAZ) bagi mewakili NGO yang dipersetujukan bersama yang disenaraikan di bawah:

1. PERTUBUHAN PENDOKONG DAN PENCINTA ULAMAK (GENG USTAZ)
2. MUSLIM CARE MALAYSIA SOCIETY
3. PERTUBUHAN RABITHAH ASATIZAH UMMAH (ASATIZAH)
4. ALUMNI PONDOK PASIR TUMBUH KELANTAN
5. PERTUBUHAN CAKNA PALESTIN MALAYSIA (CAKNA PALESTIN)
6. PERTUBUHAN DAIE DAN ILMUWAN MUSLIM (DAIM)
7. PERTUBUHAN ITTIHAD SAUDARA PROFESIONAL (ISP)
8. TAUTAN RAHMAT
9. GERAKAN ANAK TERENGGANU INSAF (GANTI)
10. GENERASI AL FATEH
11. PERSATUAN PRIHATIN SAHABAT SABAH (PPSS)
12. LANGAT ISLAMIC GENERATION (LIG)

INDIVIDU YANG TURUT MENYOKONG MEMORANDUM INI:

1. BOB LOKMAN (PENDAKWAH & BEKAS AHLI SENI)
2. MUSTAFA KAMAL (ARTIS)

Share on Myspace