24/11: Ulang tahun PAS 64, menongkah arus

ALANG IBN SHUKRIMUN | .

TARIKH yang cukup bersejarah hari ini. Tanggal 24 November 64 tahun yang lalu, sebuah parti politik berteraskan Islam di Malaysia secara rasminya ditubuhkan.

Diberi nama Persatuan Islam Se-Malaya, kewujudannya bukan sekadar parti politik biasa, tetapi sebagai sebuah gerakan massa yang memperjuangkan Islam secara syumul. Walaupun nama dan tabiatnya bersifat parti politik, tetapi gerakerjanya mengimbangi antara siasah, dakwah dan tarbiah.

Parti ini meneruskan kesinambungan abang-abangnya terdahulu. Setelah dasar pecah perintah penjajah berjaya memisahkan tanah air umat Islam, Sarekat Islam yang berpusat di Indonesia tidak lagi berjaya digerakkan di Malaysia.

Baton perjuangan disambut gerakan Hizbul Muslimin, namun jangka hayatnya ditakdirkan tidak panjang. Belum sampai setahun, parti tersebut diharamkan dan ramai pemimpinnya ditangkap atas berbagai-bagai dakwaan.

Beberapa kepimpinannya memilih Umno sebagai wadah baru, dengan harapan mampu menghidupkan perjuangan Islam dengannya. Tetapi setelah beberapa tahun mencuba, Islam tidak mendapat tempat di sana.

Para Ulama beberapa kali bersidang mencari penyelesaian, sehinggalah mengambil keputusan untuk sekali lagi berdaftar sebagai parti. Akhirnya lahirlah PAS, sebagai mata rantai kepada gerakan Islam terdahulu yang diasaskan oleh baginda SAW.

Adat sebagai sebuah parti politik, PAS telah menyertai pilihan raya sejak pertama kali ia diadakan sehinggalah yang terkini. Jikalau tidak kerana penipuan dan berat sebelah pemimpin negara sekarang, sudah tentu PAS sudah bertukar sebagai sebuah kerajaan. Namun Allah telah aturkan jalan yang sebaiknya untuk PAS, agar kemenangan itu benar-benar bermakna.

Walau bagaimanapun, kerja-kerja dakwah memahamkan bergerak selari dengan kemajuan politik yang diraih. Tiada siapa mampu menyangkal peranan PAS dalam meletakkan martabat Islam dalam negara ini.

Hari ini walaupun masih banyak kekurangan Islam di negara ini, kita boleh berbangga bahawa kedudukan Islam di Malaysia merupakan yang terbaik berbanding kebanyakan negara Islam yang lain, termasuk bekas pusat khilafah Islam, Iraq, Syria dan Turki. Kefahaman dan sensitiviti rakyat terhadap Islam amat tinggi berbanding mana-mana negara umat Islam yang lain.

Dari segi penubuhannya, PAS merupakan parti politik tertua di Malaysia setelah Umno diharamkan akhir dekad 80-an. Adalah suatu pembohongan jika dikatakan dengan usia sematang itu, PAS tidak pernah diganggu kontroversi dan krisis.

Sepanjang pelayarannya membelah arus politik dan perkembangan semasa, telah banyak fitnah dan mehnah yang dihadapi. Sedikit sebanyak perkara tersebut memberi kesan dalam mematangkan PAS sebagaimana yang ada pada hari ini.

Setiap kali kepimpinan PAS mengambil pendekatan politik yang berskala besar seperti meminda perlembagaan, bekerjasama atau berputus hubungan dengan mana-mana pihak, pasti ada ahli yang tidak berpuas hati. Timbullah berbagai gerakan picisan mendakwa PAS sudah lari daripada perjuangan asal. Maka muncul Akim, Islah, Hamim, Berjasa, Jati, dan terbaru Pan memberi asakan agar PAS lemah.

Setiap kumpulan ini pada kemunculannya awalnya sangat menarik perhatian. Tetapi lakunya hanya ibarat goreng pisang panas, laris pada awalnya tapi tidak lagi dihirau setelah lama. Walaupun tetap memberi kesan kepada kestabilan PAS, tetapi sejarah membuktikan PAS tidak tergugat lama dengan masalah tersebut.

PAS dipandu dengan Nur Allah, yang dijamin tidak akan padam selama-lamanya. Kepimpinan yang dipilih melalui konsep syura bijak mengurus konflik sehingga PAS bangkit kembali dan semua serpihannya kini ibarat hidup segan, mati tak mahu.

Hari ini, PAS semakin utuh di arena politik negara. Gerak gerinya sentiasa diperhati kawan dan lawan. Setiap tindakan dan kenyataannya mendapat liputan luas media masa berbagai latar belakang. Berbagai-bagai lapisan dan kumpulan memberi komentar dan ulasan kepada setiap strategi PAS, antara menyokong jua membantah.

Memang pendekatan yang PAS ambil banyak mencarik adat dan menongkah arus semasa menyebabkan ia jadi bualan umum, tetapi pada akhirnya semua akur dan menjumpai hikmahnya.

Ahli PAS bukan ahli sembarangan. Mereka diasuh dan ditarbiah untuk sanggup berkorban demi jemaah. Sayang mereka terhadap PAS setanding sayangnya muslim terhadap Islam itu sendiri. Muktamar terbaru yang dikenali sebagai muktamar terhangat dalam sejarah, telah menunjukkan bahawa ahli PAS yang ada hari ini masih mewarisi semangat dan akidah perjuangan ahli-ahli Badar terdahulu.

Insya-Allah, PAS akan terus kekal memandu ummah dengan cahaya Islam. Masa depan adalah milik kita sekiranya kita kekal di atas prinsip dan dasar agama. Diharapkan kepimpinan yang ada bekerja kuat menakhodai bahtera milik semua ini. Kami di peringkat bawahan akan sentiasa patuh dan taat selagi bukan kemungkaran yang diperintahkan.

Semoga PAS dan seluruh anggotanya terus istiqamah memburu janji Allah. Berjuanglah tanpa gentar dan ragu lagi. Pastikan keduanya milik kita; Putrajaya dan juga SYURGA! – HARAKAHDAILY 24/11/2015

Share on Myspace