Catatan Dari Parlimen: PAS dikaitkan dengan IS pula?

SYED AHMAD FADHLI | .

Sementara menunggu Tuan Guru Presiden PAS keluar dari pintu Dewan, saya sempat mengikuti sidang media oleh PAN di ruang khas media yang terletak bersebelahan sahaja pintu masuk dewan.

Sidang media tersebut berkenaan isu terrorisme, eksterimisme dan fahaman IS yang dikatakan kian menular di Malaysia.

Pada asalnya, saya menyangka ia hanyalah sidang media biasa, namun tidak pula saya menyangka 2 Ahli Parlimen PAN (dulunya Ahli Parlimen PAS) itu sanggup mengaitkan PAS dengan fahaman IS dan dikatakan ini "prakeganasan".

Sungguh, ini tuduhan yang berat terhadap PAS.

Mereka mendakwa kini PAN menjadi mangsa dilabel "murtad, munafik dan pengkhianat" oleh para penceramah PAS. Dikaitkan dengan pelbagai insiden di Terengganu dan Perak disamping mendakwa menjadi PAN mangsa cacian di Facebook.

Mereka turut membangkit semula isu budaya "Takfiri" pada tahun 1980an di Terengganu dahulu. Secara tidak langsung, ia merujuk kepada "Amanat Haji Hadi", isu yang sering diulang-tayang oleh UMNO untuk memburukkan imej PAS dan mengaitkan PAS dengan keganasan.

Adakah PAN begitu terdesak kehabisan modal dan sengaja ingin mengamalkan politik simpati, agar umum melihat PAN menjadi mangsa buli PAS?

Baru sahaja keluar daripada PAS beberapa bulan, tiba-tiba PAN pula ingin menjadi penyambung lidah taktik lama UMNO dahulu iaitu cubaan mengaitkan PAS dengan fahaman keganasan, pelampau dan IS?

Bahkan, yang lebih menyakitkan hati apabila 2 Ahli Parlimen PAN ini dengan sewenangnya berkata Presiden PAS merestui perbuatan ini apabila hanya berdiam diri terhadap isu yang mereka bangkitkan ini.

Apa lagi yang mereka mahu sebenarnya?

Adakah tindakan melompat keluar parti dan dibawa bersama kerusi yang dimenangi atas tiket PAS itu tindakan bermaruah, mulia lagi terpuji?

Apabila orang berkata ini adalah pengkhianatan yang nyata, mengapa pula marah dan melenting?

Bukankah gelaran, elaun dan pelbagai kelebihan sebagai YB yang dinikmati sekarang itu adalah hasil daripada kemenangan atas tiket PAS?

Oh, mungkin mereka sudah terlupa apa yang tercatat atas kertas undi dahulu, watikah parti mana yang dipakai, apatah lagi Baiah Janji Setia yang dilafaz dan ditandatangan sendiri dalam keadaan sedar lagi waras.

Saya tidak menafikan akan wujudnya segelintir kecil ahli dan penyokong PAS yang bertindak agak kasar dan melampau dalam hal yang disebut itu tetapi ia bukanlah pendirian, keputusan dan arahan parti.

Kita begitu marah apabila berlakunya serangan di Barat, mereka sering mengaitkan keganasan itu dengan Islam sedangkan ia bukanlah diajar oleh Islam.

Jadi, mengapa pula atas kes yang didakwa berlaku itu, tiba-tiba PAN ingin mengaitkan PAS dengan unsur IS itu?

Sebelum Tuan Guru Presiden PAS menaiki kereta untuk menghadiri mesyuarat di Pejabat Agung PAS, sempat saya memaklumkan serba ringkas berkenaan sidang media PAN dan tuduhan terhadap PAS itu.

Ketika itu, pihak media tidak menyedari Presiden PAS bertolak pulang, jikalau tidak, pasti mereka begitu pantas menyerbu untuk mendapatkan respons balas PAS terhadap tuduhan itu.

Terfikir pula, PAN mendakwa mereka menjadi mangsa pelbagai label oleh PAS, tetapi adakah mereka tidak sedar bahawa para pimpinan PAN yang melabel PAS sebagai UG, jumud, kolot lagi ekstrem itu bukankah ia juga bentuk pelabelan?

Kita boleh berbuat sesuka hati kepada pihak lain, tetapi apabila kita pula yang terkena, kita pula yang marah. Tidak faham, politik jenis apa sebegini. - HARAKAHDAILY 24/11/2015

Penulis ialah Pegawai Lajnah Hal Ehwal Parlimen PAS.

Share on Myspace