Tapis maklumat sebelum dibicara atau disebar

DATUK DR MOHD KHAIRUDDIN AMAN RAZALI | .

Nabi s.a.w. bersabda:

كَفَى بِالْمَرْءِ كَذِبًا أَنْ يُحَدِّثَ بِكُلِّ مَا سَمِعَ

Maksudnya: Cukuplah seseorang berbohong dengan dia menceritakan segala apa yang didengarnya. (Hadis riwayat Abu Dawud dan Ibnu Hibban serta dinilai Sahih oleh Ibnu Abd al-Bar, Ibnu Hajar dan al-Sakhawi)

Pengajaran:

1. Setiap hari kita menerima pelbagai info dan maklumat daripada pelbagai sumber. Apatah lagi di alam langit terbuka menerusi pelbagai aplikasi perhubungan maya seperti muka buku, twitter dan whatsapp.

2. Setiap orang pula mempunyai kecenderungan untuk berkongsi maklumat yang diterima dengan orang lain di sekitarnya.

3. Namun, info yang diterima itu ada yang betul dan ada yang palsu dan salah. Berkongsi info yang betul dan baik memberi manfaat. Sementara menyebarkan info palsu dan salah akan menatijahkan pelbagai kemudharatan, baik terhadap diri sendiri mahu pun terhadap masyarakat.

4. Justeru, Islam menggariskan etika dalam berkongsi maklumat. Antaranya, maklumat yang diterima perlu diperhalusi kesahihan dan ketepatannya. Ia boleh dilakukan dengan menyelidiki tahap kebolehkepercayaan sesuatu sumber. Seorang yang fasik gemar melakukan kemungkaran memiliki tahap kebolehpercayaan yang sangat rendah. Menerima dan menyebarkan maklumat daripada sumber sebegitu tersangat berisiko untuk tergolong sebagai berita palsu atau kurang tepat.

5. Apabila seseorang bermudah dalam menerima maklumat lalu menyebarkan segala apa yang diterima dan didengar tanpa tapisan maka dirinya sangat terdedah untuk  melakukan pembohongan.

6. Bersabar dalam mendapatkan pengesahan info sehingga terlepas menyebarkan satu maklumat yang bermanfaat adalah lebih baik daripada gelojoh lalu tersilap menyebarkan satu khabar angin yang mungkin palsu.

Disediakan oleh:
Datuk Dr Mohd Khairuddin bin Aman Razali at-Takiri
Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat
Ketua Penerangan DUPP - HARAKAHDAILY 26/11/2015

Share on Myspace