Wahai saudaraku AJK Lujnah Pengkritik...

DR AZMAN IBRAHIM | .

Wahai saudaraku Ahli Jawatankuasa Lujnah Pengkritik yang dihormati…

Ketika saudara rancak menaip kritikan itu dan ini di hadapan skrin dalam bilik berhawa dingin, sahabat yang dikritik itu sebenarnya sedang berpeluh di medan.

Saudara tak perlu membelanjakan apa-apa untuk mengkritik. Sekadar pastikan bil telefon dibayar dan fb boleh online, maka kritikan boleh dihamburkan. Sahabat kita yang dikritik mereka mewakafkan masa, tenaga, buah fikiran dan membelanjakan wang dari poket sendiri demi perjuangan ini.

Ketika saudara AJK Lujnah Pengkritik biasanya sedang tidur lena di waktu dinihari, cubalah sesekali bangun dan mesej tanya orang yang dikritik di mana mereka ketika itu. Saya bimbang orang yang dikritik masih lagi di perjalanan demi tugasan perjuangan walau embun jantan telah turun membasahi bumi.

Ketika saudara mengkritik kononnya ketidakhadiran Presiden PAS ke Parlimen, cuba saudara check kehadiran saudara ke mesyuarat PAS cawangan. Saya risau kehadiran saudara ke mesyuarat PAS cawangan pun tak lulus.

Ketika saudara yang mengkritik sedang seronok bercuti bersama anak dan isteri, cuba saudara tanya anak-anak sahabat yang dikritik, berapa hari seminggu mereka berpeluang duduk bersama bapa mereka.

Ketika saudara mengkritik kononnya kegagalan orang itu dan ini melaksanakan tanggungjawab, mampukah saudara andainya digalas dengan tanggungjawab tersebut untuk melaksanakan hanya ¼ daripadanya?

Saudaraku AJK Lujnah Pengkritik. Pejuang Islam ini bukan maksum sehingga tak boleh ditegur. Tetapi relakah saudara untuk selamanya meletakkan diri di luar medan sebagai pemerhati dan pengkritik saja tanpa kita ingin bersama bergelumang di medan?

Saudaraku AJK Lujnah Pengkritik. Orang yang membuat kerja memang akan kelihatan kelemahan dan kekurangan. Ianya berbeza dengan orang yang tak melakukan apa-apa. Maka tak akan terlihat kecacatannya. Saudara memilih maqam terhormat untuk tak bekerja supaya saudara sentiasa kelihatan sempurna. - HARAKAHDAILY 7/12/2015

Share on Myspace