Bergaduh bukan kerana masalah rakyat

USTAZ IDRIS AHMAD | .

Pertembungan kem Najib dan Muhyiddin semakin panas. Pertarungan untuk merebut kuasa bukan untuk membela rakyat.

Saya tidak berhajat untuk  campur tangan urusan Umno, kerana ia merupakan urusan rumahtangga Umno.

Cuma saya ingin mengingatkan, siapa pun naik dan memimpin Umno, dasar dan matlamatnya sama. Sejarah mengajar kita siapa pun memimpin Umno, nasib rakyat tidak  berubah.

Bergaduh bukan kerana membela nasib rakyat dan permasalahan negara. Yang pastinya pergaduhan di dalam Umno kerana engkau dapat, aku tidak.

Selalunya pergaduhan di dalam Umno apabila negara mengalami krisis ekonomi, kerana kek semakin kecil, yang hendak makannya banyak.

Apabila makan tidak cukup, maka mereka menggigit sesama sendiri. Inilah yang berlaku pada tahun 1987 sehingga lahir Parti S46, tahun 1998 lahir Parti Keadilan.

Sekarang rakyat dihimpit dengan kos sara hidup dengan kenaikan harga barang akibat daripada kejatuhan nilai ringgit.

Banyak barang keperluan harian diimport, seolah-olah negara Malaysia ini bumi sahara yang tidak boleh tumbuh sebarang tumbuhan. Import makanan sahaja kerajaan terpaksa membelanja RM22 bilion setahun. Sekarang semakin meningkat, akibat Ringgit Malaysia semakin menjunam.

Mereka bukan bergaduh kenapa kontrak lebuh raya yang tidak pro rakyat, sebaliknya pro kroni. Lebuh raya Plus sepatutnya tamat pada tahun 2018, dilanjutkan hingga 2038.  

Mereka bergaduh bukan kerana cukai GST, yang dianggap cukai pukat sorong, sehingga memberi kesan kenaikan harga barang.

Mereka bergaduh bukan kerana subsidi RM150 juta ditiadakan pada tahun 2016, untuk bil elektrik RM20 ke bawah. Sepatutnya subsidi ini dikekalkan, barulah berbaloi dengan penamatan subsidi petrol.

Mereka bergaduh bukan kerana peruntukan IPTA dikurangkan, sehingga akan memberi kesan kepada kenaikan kos yuran dan kos sampingan.

Mereka bergaduh bukan kerana tambang LRT, Komuter, bas naik. Sedangkan ini ialah pengangkutan rakyat biasa. Tiba-tiba kenderaan rakyat ini pula yang dinaikkan tambang.

Sepatutnya jika benar kerajaan hendak manfaat betul-betul subsidi yang bersasar, tambang pengangkutan awam ini tidak perlu naik.

Mereka bergaduh bukan kerana RUU Majlis Keselamatan Negara 2015 yang mencabul kedaulatan rakyat. Seolah-olah mencabul hak rakyat dengan memberikan kuasa kepada pihak Perdana Menteri dan ini amat merbahaya kerana tidak ada kuasa pengimbang. - HARAKAHDAILY 8/12/2015

Share on Myspace