Amanahkah PAN?

ALANG IBN SHUKRIMUN | .

NAMPAKNYA kebelakangan ini ramai pimpinan PAN begitu terkesan apabila ramai tidak menggelarkan parti mereka sebagai 'amanah'. Banyak kenyataan yang dikeluarkan seolah kesal dan kecil hati jenama yang diletakkan sendiri oleh mereka tidak diiktiraf masyarakat.

Nampaknya isu-isu bertaraf keyboard warrior sebeginipun perlu dijawab oleh pemimpin bertahap nasional. Rasanya sikit masa lagi mungkin mereka anjur sidang media pula.

Saya antara mereka yang enggan memanggil mereka amanah. Bagi saya mereka tidak layak guna nama tersebut. Kalau tukar kepada khianat, mungkin sesuai. Tetapi saya tidaklah sampai menggelar mereka dengan nama sedemikian. Sekadar meringkaskan dengan akronim P.A.N sahaja. Mungkin kalau diubah kepada nama selain amanah, saya boleh pertimbangkan. Asalkan jangan panjang sangat.

Maaf. Ini pendirian saya. Dan saya tidak fikir memanggil PAN dengan tujuan menghina. Ia hanya singkatan kepada Parti Amanah Negara. Ringkas dan mudah untuk ditulis. Mereka juga lebih masyhur dengan nama tersebut. Ia sudah dikenali ramai.

Ada sebab tersendiri saya berpendirian sebegini. Selain dari apa yang telah disebutkan, ini beberapa lagi alasan saya:

1. Nabi SAW tidak akan menggelarkan sesuatu gelaran yang tidak layak bagi seseorang walaupun mereka yang menamakannya sendiri. Contohnya ketika si Nabi palsu, Musailamah mengutus surat membahasakan dirinya Musailamah Rasulullah, baginda membalas surat dengan menggelar Musailamah al-Kazzab (pembohong). Begitu juga bapa saudara baginda. Masyarakat arab mengenali dengan Abul Hakam, bermakna bapa kebijaksanaan, tetapi baginda menggelarkan sebagai Abu Jahal yakni bapa kebodohan.

Tindakan Nabi adalah kerana mereka tidak layak dengan nama sedemikian. Masyarakat boleh keliru dengan nama. Apabila yang buruk dipanggil baik, orang akan beranggapan mereka tidak salah.

Lepas ini pasti ada yang label saya menggelar PAN dengan abu jahal dan musailamah. Biarlah. Mulut orang memang tidak berhenti mengata. Cuma jangan pula kata Nabi kita juga kaki label. Kami cuma mahu memberi contoh, betapa nama yang diberi tidak boleh bersalahan dengan sifat. Walaupun anjing dipanggil kambing, ia tetap najis.

2. Saya tidak mahu memburukkan makna amanah itu sendiri. Ia adalah salah satu sifat wajib bagi sekalian Nabi. Amanah adalah sifat yang sangat terpuji. Sekiranya diletakkan pada mereka yang sebenarnya tidak amanah, ia akan mencemarkannya.

Sama seperti mereka yang ada nama syed. Orang kenal itu daripada keturunan Nabi. Tetapi jika berperangai buruk, sedikit sebanyak akan mencemar nama baginda SAW.

Saya masih ingat nama anak bekas Presiden Libya Saiful Islam bin Muammar Gaddafi. Namanya pedang Allah, tapi perangainya terhadap negara dan rakyat sangat buruk.

Parti Islam Semalaysia, akronimnya PAS, bukannya 'Islam'. Supaya orang tidak terkeliru antara PAS dan Islam. Bahkan Presiden PAS beberapa kali telah menyebut, PAS bukan agama.

3. Walaupun PAN bukan nama rasmi, tetapi biasanya penama tidak kisah nama lain diguna selagi nama itu tidak negatif dan dikenali. Contohnya United Nation. Nama sebenarnya UN tetapi orang Malaysia panggil PBB. International Unity of Muslim Scholar (IUMS), orang kita ringkaskan menjadi KUIS. ISIS juga dinamakan masyarakat dunia, sedangkan mereka membahasakan diri sebagai daeesh (داعش). Semua mereka tidak kisah.

4. Kalaupun mereka terdesak mahu digelar amanah, sekurang-kurangnya ia mesti termaktub dalam perlembagaan. Soalan cepumas untuk mereka adalah, "perlembagaan... mana perlembagaan?". Yang saya tahu nama mengikut perlembagaan masih lagi Parti Pekerja Malaysia (PPM) yang diasaskan tokoh Sosialis Ganga Nanyar.

Mungkin analogi melalui gambar yang saya kemukakan itu lebih mudah difahami. Alkisah satu pihak telah mencuri seekor lembu. Untuk mengelabui mata masyarakat, lembu itu dipasang belalai, kemudian dipaksa masyarakat memanggilnya gajah bagi menutup kesalahan yang dilakukan.

Ada juga yang ikut kemahuan pencuri itu. Yang ikut antaranya sebab memang tidak kenal gajah, dan ada yang jenis terlajak baik tidak mahu guris hati pencuri. Tetapi orang yang kenal gajah sebenar kebanyakannya enggan mengikut kemahuan pencuri itu. Lembu tetap digelar lembu. Lalu pencuri itu marah, dan menuduh bermacam perkara kepada orang yang tahu hakikat sebenar ini.

Saya tidak paksa orang lain panggil amanah. Panggillah mahu panggil apapun. Tapi untuk saya gelar mereka itu 'amanah', hati saya masih belum mampu benarkan. Namun kalau mereka gentleman dan menyerahkan kembali kepada rakyat kerusi yang dimenangi melalui lambang bulan dahulu, saya bersedia untuk fikirkan kembali perkara ini. – HARAKAHDAILY 9/12/2015

Share on Myspace