Meniru Kota Madinah hadapi fitnah

NIK MOHAMAD ABDUH | .

WALAUPUN hari ini negeri Kelantan diserang dengan pelbagai kritikan, tohmahan dan fitnah ke atasnya, tetapi tiada siapa pun boleh menafikan bahawa dengan kritikan, tohmahan dan fitnah seumpama itulah Kelantan terus kekal ditadbir oleh PAS dengan cita-cita Islamnya yang mulia sejak 25 tahun lalu.

Itulah yang dilalui oleh Kelantan.

Bezanya kini, penyerang Kelantan dari dalam menyamai keaktifan penyerang Kelantan dari luar atau lebih aktif. Agama sentiasa menyampaikan pesan berguna bahawa musuh dari dalam adalah lebih besar bahayanya ke atas jamaah dan lebih besar dosanya ke atas pelakunya.

Ketika serangan dalaman berlaku di kota Madinah ke atas Rasulullah sallaLlahu alaihi wasallam melalui lidah para munafikin yang menjarah keamanan dan kestabilan, ia adalah ujian ketahanan, kesabaran dan istiqamah daripada Allah ke atas para sahabat baginda.

Suasananya perit dan menyempitkan, tetapi masyarakat Madinah menghadapinya dengan tabah. Akhirnya fitnah terpelanting keluar dan Allah meluaskan kuasa sunnahNya menapis yang benar daripada yang bohong.

Pesan buat pejuang Islam, kadang-kadang Allah menyibukkan kita dengan urusan dalaman sehingga mengganggu tumpuan kita menghadapi musuh luar, bahkan mengganggu rentak pembinaan diri dan dalaman. Tetapi itulah takdir Allah ke atas para nabi dan pejuangnya sepanjang zaman.

Laluinya dengan semangat 'meniru' laluan mereka yang terdahulu. Yang benar akan kekal. Yang batil akan pergi hanyut ditelan nafsu dan duniawi. – HARAKAHDAILY 10/12/2015

Share on Myspace