Nasihat buat G25

ASRI ED-DIWANIE | .

Fahamilah tuntutan agama Islam berkaitan khalwat. Jangan hanya menggunakan buah fikiran walaupun sudah memiliki ijazah Doktor Falsafah. Khalwat dalam agama Islam ada perbahasannya yang wajib difahami dan ditaati.

Dalam Kitab Al-Tasyri’ Al-Jinaie Al-Islami, Syeikh Abdul Qadir Audah mentakrifkan khalwat sebagai salah satu perbuatan maksiat yang hukumnya haram dan bagi sesiapa yang melakukan perbuatan tersebut maka dikenakan hukuman takzir.

Khalwat yang dimaksudkan ialah perbuatan lelaki dan perempuan bukan isteri atau mahram yang berada dalam keadaan yang boleh menimbulkan syak bahawa perbuatan maksiat akan berlaku jika tidak ada pencegahan.

Dalam memahami isu khalwat ini, marilah kita hayati sepotong ayat Al-Quran:

وَلَا تَقْرَبُوا الزِّنَا إِنَّهُ كَانَ فَاحِشَةً وَسَاءَ سَبِيلاً

Maksudnya: dan janganlah kamu menghampiri zina, sesungguhnya zina itu adalah satu perbuatan yang keji dan suatu jalan yang buruk (yang membawa kerosakan). (Al-Isra’:32)

Ayat di atas adalah berbentuk larangan dan haram melakukannya. Ia juga menjelaskan tentang pengharaman mendekati perbuatan zina.

Salah satu wasilah kepada berlakunya zina ialah khalwat yang bercampur di antara lelaki dan perempuan yang bukan mahram di tempat sunyi yang tertutup.

Sementara dalam hadis, Nabi SAW ada mengingatkan:

أَلَا لَا يَخْلُوَنَّ رَجُلٌ بِامْرَأَةٍ لَا تَحِلُّ لَهُ فَإِنَّ ثَالِثَهُمَا الشَّيْطَانُ

Maksudnya:Ketahuilah, janganlah kamu bersunyi-sunyian dengan perempuan yang tidak halal bagi kamu kerana sesungguhnya pihak yang ketiga adalah syaitan. (Riwayat Ahmad/Tirmizi)

Dalam hadis yang lain, Nabi SAW menegaskan:

إيَّاكُمْ وَالْخَلْوَةَ بِالنِّسَاءِ ، وَاَلَّذِي نَفْسِي بِيَدِهِ مَا خَلَا رَجُلٌ بِامْرَأَةٍ إلَّا دَخَلَ الشَّيْطَانُ بَيْنَهُمَا

Maksudnya: Berhati-hatilah, jangan sampai kamu berkhalwat dengan perempuan, demi yang jiwaku ada di tangan-Nya, tidaklah bertemu seorang lelaki dan perempuan di suatu tempat sunyi kecuali syaitan mendampinginya (menggodanya). (Riwayat Tibrani)

Hadis tersebut menjelaskan tentang larangan berdua-duaan antara lelaki dan perempuan ajnabi kerana yang ketiga selepas mereka ialah syaitan.

Syaitan adalah makhluk Allah yang telah bersumpah untuk menggoda keturunan Nabi Adam supaya mengikuti jalan yang direntangnya iaitu ke neraka.

Para ulama telah mengklasifikasikan kesalahan khalwat sebagai suatu kesalahan yang haram dan kesalahannya termasuk dalam kesalahan takzir berdasarkan kaedah:

مَا أَدَّى إِلَى الحَرَامِ فَهُوَ حَرَام

Maksudnya: Apa sahaja yang membawa kepada perbuatan haram, maka ia adalah haram.

Mengikut kaedah fiqh ini, khalwat dihukumkan haram kerana ia boleh membawa kepada berlakunya zina.

Zina adalah perbuatan yang diharamkan oleh syarak yang wajib dikenakan hukuman had dan mengikut kaedah diatas apa sahaja yang membawa kepada perbuatan haram, maka ia adalah haram.

Di Malaysia, elemen-elemen khalwat telah diperuntukkan di dalam enakmen perundangan negeri-negeri umpamanya termaktub dalam Enakmen Kanun Jenayah Syariah Kelantan, Seksyen 5(2) 1985.

Bagi mensabitkan kesalahan-kesalahan khalwat yang dilakukan, pihak penguatkuasaan atau pendakwaan perlu memenuhi kriteria berikut iaitu:

i. Berdua-duaan atau bersekedudukan lelaki dan perempuan yang mendatangkan syak.

ii. Bersekedudukan seseorang lelaki atau ramai lelaki dengan seorang perempuan bukan mahram.

iii. Bersekedudukan lelaki dan perempuan yang bukan suami/isteri atau mahramnya.

Bersekedudukan yang dimaksudkan ialah di mana-mana tempat yang terselindung atau di dalam rumah atau bilik dalam keadaan yang boleh menimbulkan syak bahawa mereka sedang melakukan perbuatan yang tidak bermoral.

Maka keadaan ini adalah termasuk dalam suatu kesalahan dan boleh diselidiki sama ada dengan intipan, masuk secara senyap dan serbu tempat tersebut.

Perbuatan khalwat yang dilakukan di rumah persendirian juga termasuk dalam kategori di atas sekiranya ada mendatangkan syak pada perbuatan tersebut.

Kenyataan yang dikeluarkan oleh G25 berkaitan cadangan pemansuhan hukuman khalwat sebelum ini ternyata tersasar daripada landasan Syariat. Hayati dan fahamilah wahai G25 serta kembalilah!

* Pohon sampaikan kepada G25 - HARAKAHDAILY 11/12/2015

Share on Myspace