Inilah jalan kami!

DATUK TUAN IBRAHIM TUAN MAN | .

 

UMAT Islam perlu bersatu kerana itu tuntutan agama dan juga tuntutan syarak. Bahkan Allah mengancam golongan yang berpecah belah kerana ia mendedahkan kepada kelemahan dan kemusnahan.

وَالَّذِينَ كَفَرُوا بَعْضُهُمْ أَوْلِيَاءُ بَعْضٍ ۚ إِلَّا تَفْعَلُوهُ تَكُنْ فِتْنَةٌ فِي الْأَرْضِ وَفَسَادٌ كَبِيرٌ

“Adapun orang-orang yang kafir, sebahagian mereka menjadi pelindung bagi sebahagian yang lain. Jika kamu (hai para muslimin) tidak melaksanakan apa yang telah diperintahkan Allah itu, nescaya akan terjadi kekacauan di muka bumi dan kerosakan yang besar.” – (Surah al-Anfal : Ayat 73)

Lantaran itu, umat Islam sepatutnya menjadi model penyatuan ummah mengatasi semangat bangsa, menjauhi asabiyyah, perbezaan suku kaum, warna kulit bahkan agama.

Model penyatuan ini telah muncul dalam sejarah umat Islam sejak zaman lampau. Negara Islam pertama di Madinah merupakan sebuah masyarakat majmuk dengan pelbagai bangsa dan agama. Kerajaan Islam pada era Umaiyah hingga kerajaan Uthmaniyyah telah berjaya membina peradaban dan tamadun manusia dengan kepelbagaian budaya adat istiadat dan agama.

Namun ia mulai hakis bilamana berlakunya penjajahan di kalangan negara Islam lalu mereka mengapi-apikan semangat asabiyyah yang berjaya dibenamkan oleh Rasulullah SAW.

Kini, kita sedang menyaksikan bagaimana musuh memainkan api permusuhan antara kaum dan bangsa. Pertembungan antara mazhab Sunni dengan Syiah diambil kesempatan semaksima demi kepentingan neo-kolonialisme yang sedang menguasai dunia.

Jangan ingat Malaysia terselamat daripada ditiup api permusuhan antara kaum dan bangsa. Realitinya, Malaysia tidak terlepas dari suasana tersebut.

Pertembungan di kalangan orang Melayu yang beragama Islam di negara ini bermula dengan dasar "pecah dan perintah" yang dilakukan oleh Inggeris. Sehingga kini, ia terus berlanjutan dengan pelbagai kemelut yang menjadi punca perpecahan tersebut.

Dari semasa ke semasa, timbul pihak yang menyatakan perlunya penyatuan dan perpaduan. Namun hairannya setiap kali, panggilan penyatuan berlaku tatkala pihak yang diamanahkan kuasa kelihatan tenat dan bergoyah. Tidak pernah lagi suara penyatuan dilaungkan ketika mereka yang berkuasa dalam keadaan selesa.

Dari sudut politik, ada yang menuduh pertembungan antara PAS dengan Umno dilihat menjadi punca. Bukankah PAS pernah bersama Umno-BN di tahun 1970-an? Namun, PAS dikhianati, negeri Kelantan jatuh ke tangan Umno sebelum Almarhum Tuan Guru Nik Aziz Nik Mat menerima mandat rakyat Kelantan untuk memerintah sejak 1990 sehingga hari ini. Ketika itu, Umno kuat. Tiada sesiapa yang mengajak perlunya PAS-Umno bersatu tatkala Umno terus melakukan pelbagai diskriminasi terhadap kerajaan negeri Kelantan.

Sejarah PAS yang panjang membuktikan bahawa PAS merupakan parti yang sanggup mengadakan tahaluf siyasi dengan semua pihak. Selagi mana ia tidak dikhianati, PAS akan menjaga kerjasama dan muafakat tersebut.

PAS pernah bekerjasama dengan Parti Negara. PAS pernah juga menyertai BN. PAS pernah bersama S46. PAS pernah bersama BA. PAS bersama PR. Dan kini PAS bersama PKR. Inilah keanjalan politik PAS yang inklusif berbanding parti-parti lain.

Hari ini, isu penyatuan kembali hangat apabila Umno melalui ucapan Presidennya Datuk Seri Najib Razak menghulurkan tali silaturrahim mengajak PAS bersama membina negara berteraskan syariah di tengah-tengah perhatian rakyat sedang menyaksikan perbalahan antara beliau bersama Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Tun Dr Mahathir Mohamad.

Pelbagai komentar dan pandangan dari pelbagai pihak - termasuk oleh Datuk Mohd Puad Zarkashi yang memberikan bayangan seolah-olah dua orang yang menentang kerjasama PAS dengan Umno iaitu Timbalan Presiden (saya) dan Naib Presiden PAS (yakni merujuk kepada YB Iskandar Samad).

Saya ingin mengingatkan beliau bahawa keseluruhan pimpinan PAS tidak pernah menentang sebarang bentuk kerjasama dengan mana-mana pihak kerana ia adalah perintah Allah.

PAS menyatakan dengan tegas kita perlu bersatu di atas landasan yang digariskan oleh Allah; iaitu “Bertolong bantulah kamu dalam perkara kebaikan dan taqwa, dan jangan bertolong bantu dalam perkara dosa dan permusuhan”.

INILAH prinsip Islam yang menjadi pegangan PAS.

PAS sedia kerjasama dalam menentang kemungkaran pemerintah, rasuah, salah urus tadbir negara, kezaliman, penganiayaan, perjanjian yang tidak ditepati dan berat sebelah yang menyusahkan rakyat serta sistem federalisme yang tidak dilaksanakan.

Atas dasar inilah PAS sanggup mengadakan kerjasama dengan mana-mana pihak. Namun kerjasama ini bukanlah bermakna PAS harus korbankan dasar dan perjuangan demi mencapai kemenangan politik pilihan raya sahaja.

Perlu diingatkan, jalinan dan kerjasama hubungan antara kerajaan negeri dengan kerajaan pusat adalah sebahagian daripada sistem federalisme yang tidak boleh dicampur-adukkan dan diklasifikasikan sebagai kerjasama politik antara dua parti. Cuma ada sebilangan pemimpin Umno yang tidak keliru akan perkara ini, mungkin kerana telah biasa dengan sistem federalisme yang telah dirosakkan oleh Umno sendiri.

Datuk Seri Najib telah menyatakan hasrat bagi melaksanakan pemerintahan negara berlandaskan syarak. Ini tentunya khabar gembira kalau ia benar-benar lahir dari keinginan yang bersungguh-sungguh PM. Sebagai parti yang sedang memerintah beliau mesti membuktikan hasrat tersebut. Laksanakanlah dalam ruang yang sedia ada dengan merintis perubahan kepada keadilan sosial dan ekonomi rakyat.

Di saat rakyat menderita dengan tekanan hidup akibat kenaikan kos hidup, rakyat melihat Umno gagal menjaga bangsa dan agama, maka jangan kegagalan ini disalahkan PAS, hanya kerana PAS menolak perlawaan Umno, kerana lebih 50 tahun Umno diberi kepercayaan oleh orang Melayu Islam untuk mentadbir negara.

Sebagai sebuah negara yang majoritinya Muslim, ia adalah menjadi kewajipan kita untuk kembali kepada petunjuk Ilahi dalam mengurus tadbir yang baik. Istilah 'good governance' ialah kerajaan yang mengurus tadbir berdasarkan panduan al-Quran dan as-Sunnah. Mana mungkin manusia mampu mengurus bumi Allah dengan mengenepikan petunjuk dari Pencipta muka bumi (Allah).

Berdasarkan itu, PAS, sebagai parti pembangkang hari ini, sedia membantu dan terus menjadi sebagai pendesak kerajaan bagi melaksanakan perintah Allah dan menegakkan syariat sebagaimana yang dituntut oleh Allah. Tetapi ini bukan bermakna PAS bergabung dengan Umno atau menyertai BN. Ini telah ditegaskan oleh Presiden berulang kali.

PAS tidak mahu memikul pengkhianatan Umno kepada agama. Lebih 50 tahun negara ini tidak pernah merasai berjalannya hukum Allah secara menyeluruh, riba, rasuah, pusat maksiat berleluasa sehingga remaja seolah-olah tiada hala tuju.

PAS juga tidak akan merelai perpaduan bagi mendokong tindakan yang bertentangan dengan Islam seperti kesanggupan 'menghalalkan' pelbagai penipuan, penyelewengan, rasuah dan perkara bertentangan dengan syarak demi mempertahankan kuasa satu-satu pemimpin.

Realitinya, negara perlu diselamatkan daripada kerosakan yang semakin parah dari segala sudut hasil daripada pemerintahan Umno-BN. Suara negara semakin kelam kerana isu yang melanda kepimpinan negara.

Dan cara menyelamatkannya bukan dengan memberikan talian hayat dan sokongan kepada Umno untuk terus melakukan penyelewengan tanpa rasa bersalah. Umno mesti disedarkan dengan ancaman bahawa mereka akan ditolak rakyat jika meneruskan cara pemerintahan yang sedia ada.

Dan PAS akan meneruskan tugas dalam mendesak Umno menggugurkan dasar nasionalismenya dan menerima perjuangan Islam. Dan ini hanya boleh berlaku dengan PAS terus menjadi saingan kepada Umno.

Inilah jalan kami. - HARAKAHDAILY 14/12/2015

TUAN IBRAHIM TUAN MAN
Timbalan Presiden PAS

Share on Myspace