Dakwah Islam di peringkat tertinggi

DR AZMAN IBRAHIM | .

Antara langkah-langkah penting yang diambil Rasulullah s.a.w selepas Perjanjian Hudaibiyah ialah Nabi s.a.w memerintahkan supaya dihantar surat-surat perutusan kepada Raja dan pemimpin di zaman itu untuk mengajak mereka kepada Islam.

Antara yang dikirimkan surat yang dibawa oleh beberapa orang sahabat terpilih ialah Raja Najasyi, Al Muqauqis Raja Mesir, Kisra Raja Parsi, Qaisar Raja Rom, Raja Oman dan lain-lain lagi.

Mesej penting yang terkandung dalam surat Rasulullah ialah, "Islamlah, nescaya kamu akan selamat."

Berjumpa dengan Raja-Raja besar seperti Raja Rom dan Parsi untuk mengajak mereka kepada Islam adalah satu misi yang sangat hebat dan penuh berisiko. Tetapi sahabat-sahabat Rasulullah r.a telah memikul amanah ini dengan penuh keberanian dan kemuliaan. Islam yang mereka bawa lebih tinggi dari keagungan empayar Rom dan Parsi.

Bila sahabat Nabi Dekyah Al-Kalbi yang membawa surat Rasulullah s.a.w bertemu Raja Rom, maka Raja Rom memerintahkan supaya dicari orang-orang Mekah yang sedang berniaga di Syam lalu dijemput mengadapnya untuk bertanyakan berita serta latar belakang Rasulullah dan kebetulan yang ada di Syam ketika itu adalah pemimpin Mekah, Abu Sufian bin Harb yang belum memeluk Islam.

Maka berlakulah dialog yang menarik antara Abu Sufian dan Raja Rom. Abu Sufian bercakap benar dan Raja Rom mengakui kebenaran tersebut walaupun akhirnya Raja Rom tidak menerima Islam.

Ini adalah sunnah. Ada ketikanya kebenaran diakui sekalipun tidak diterima.

Surat Rasulullah s.a.w kepada Raja Parsi dibawa oleh Sahabat Nabi Abdullah bin Hazafah as Sahmi. Bila melihat kandungan surat tersebut tertulis, "Dari Muhammad Rasulullah kepada Kisra pemerintah Parsi..."

Kisra dengan marahnya berkata, "Seorang hamba yang hina dari rakyatku menulis namanya lebih dahulu dari namaku!" Surat Rasulullah dikoyaknya dengan angkuh. Apabila diberitahu kepada Rasulullah s.a.w., Nabi berdoa... "Allah mengoyak kerajaannya."

Ini adalah jalan dakwah yang pernah dirintis oleh Rasulullah s.a.w. Dakwah Islam disampaikan sehingga peringkat yang tertinggi. Ulama adalah pewaris tugas para Nabi. Kewajipan para ulama adalah menyambung perjuangan Rasulullah.

Kenapa kita pelik bila ulama berada satu pentas dengan pemimpin tertinggi negara untuk menyampaikan dakwah Islam? Yang mengkritik tu tak mengaji sirah ke? - HARAKAHDAILY 19/12/2015

Share on Myspace