Boikot media putar belit

DR AZMAN IBRAHIM | .

“PAS Sedia Lupakan Kesalahan Umno kata Setiausaha Agung PAS.” Begitulah bunyi laporan dalam portal The Malaysian Insider (TMI).  

Datuk Setiausaha Agung PAS telah memberikan penjelasan terperinci terhadap berita yang telah di‘spin’ oleh portal berita internet ini.  Tafsiran sendiri yang memutar belit kenyataan pihak lain serta meletakkan tajuk yang direka sendiri untuk kelihatan sensasi dan mampu menarik pembaca adalah satu jenayah media yang tak beretika.  

Ini juga bukanlah kali pertama The Malaysian Insider menyiarkan berita putar belit. Malah sudah banyak kali dan berulang-ulang kali. Yang selalu menjadi mangsa ialah PAS. Bermakna agenda tersembunyi The Malaysian Insider terhadap PAS sudah terang lagi bersuluh.

Dahulu saya juga pernah menulis artikel untuk The Malaysian Insider walau tak pernah dibayar apa-apa ketika TMI kelihatan membawa imej sebagai suatu media maya yang bebas, tapi tidak lagi sekarang. Syukur kepada Allah kerana saya tak pernah merasa walau satu sen duit dari TMI.

Kita sedia faham bahawa laman berita seperti The Malaysian Insider terlibat dalam bisnes media. Punca pendapatan utama mereka adalah dari sumber iklan syarikat-syarikat gergasi.

Tarikan utama syarikat-syarikat gergasi untuk mengiklankan produk dan perkhidmatan mereka ialah kepada portal berita yang mendapat hit yang tinggi.

Mereka mendapat hit yang tinggi kerana kita pembaca yang melawat laman mereka dan membaca berita yang disiarkan walau kita tahu itu bukan lagi satu media yang beretika. Dalam tak sedar kita sebenarnya turut menyumbang kepada nama baik portal berita ini.

Cuba kita semua pakat boikot dan jangan buang masa melawat laman seperti ini, boleh bayangkan apa akibat yang mereka akan tanggung.

Kehilangan pelawat bermakna hit mereka menurun. Tak ada pelawat risikonya syarikat pengiklan akan lari. Syarikat pengiklan lari, mereka akan kehilangan sumber kewangan. Lepas tu boleh faham sendiri apa yang bakal berlaku. Nampak tak cara mudah untuk kita mengajar mereka?

Saya selalu mengingatkan kawan-kawan penulis serta pengiat media bahawa apa yang kita ketip pada papan kekunci komputer akan ada perhintungan dosa dan pahala di hadapan Allah. Kalau yang menulis tu bukan Islam, awak tetap ada tanggungjawab moral.

Malah kalau tanya apa agama sekalipun sama ada kristian, budha, hindu dan agama-agama lain, saya yakin semua agama melarang fitnah dan putar belit.

Mustahil yang menulis itu tak beragama sehingga mereka merasa bebas untuk melakukan apa sahaja. - HARAKAHDAILY 21/12/2015

Penulis ialah Pengerusi Kumpulan Aktivis Media Independen (KAMI) Terengganu.

Share on Myspace