Bagaimana Islam menyatukan manusia?

NIK MOHAMAD ABDUH NIK ABDUL AZIZ | .

Manusia sering berpecah belah. Mereka berperang dan berbunuhan sesama sendiri. Dulu hinggalah kini. Seperti satu keyakinan sudah tertanam teguh di dalam sesetengah manusia bahawa peperangan adalah bagai nyawa kehidupan.

Kini, peperangan lebih ditakuti. Dengan senjata moden yang semakin menggila ciptaannya, dalam sekelip mata saja, puluhan ribu, malah ratusan ribu nyawa manusia boleh melayang dan kehidupan hancur teruk. Pun begitu, peperangan dan perbalahan terus berlangsung. Keperitan tidak pernah mengajar manusia.

Apabila perdamaian berlaku, ia seperti waktu emas bagi kehidupan. Ia saat bahagia yang dikecapi manusia dan seluruh kehidupan. Tetapi untuk menikmati saat itu, ia juga sesukar memperolehi emas.

Semuanya kerana sifat manusia yang tamak dan enggan berkongsi sesama mereka. Mereka ingin menguasai dan merajai. Mereka tidak pernah merasa cukup, sering menunjuk kekuatan dan tiada timbang rasa dan belas kasihan.

Tetapi, manusia juga tidak pernah berhenti untuk berdamai dan hidup bersatu. Ada jiwa yang lebih teguh dah tidak kalah untuk memperakui bahawa manusia adalah seperti haiwan buas di hutan rimba. Bahkan mereka beriman bahawa manusia adalah makhluk yang mulia dan tercipta untuk membangunkan muka bumi.

Lahir dalam lipatan sejarah jiwa-jiwa yang hebat memimpin ke arah perdamaian. Ada yang sedia mati demi sebuah perdamaian. Justeru kadang-kadang peperangan berlaku dengan hak, bukan hanya sekadar melampias nafsu serakah manusia yang tamak dan haloba. Sebagaimana kejahatan menolak kebaikan, begitulah kebaikan perlu membalas balik demi kelangsungan kehidupan yang lebih baik.

Sejarah Islam 1,400 tahun adalah rakaman kejayaan umat manusia hidup bersatu padu dan kejayaan Islam merangka asas-asas penyatuan umat manusia yang lebih kekal dan sentiasa dinamik mendepani zaman dan perubahan.

Hari ini umat Islam hidup berpecah-belah dan mudah sekali dipecah-belahkan oleh anasir buruk dan kufur yang kembali menguasai kehidupan selepas ugama Islam ditinggalkan oleh umatnya sendiri. Maka perpecahan, pergolakan dan peperangan berlangsung tanpa solusi ke arah kesatuan yang benar.

Hari ini, Amerika yang mendakwa diri sebagai polis dunia untuk kedamaian, Amerika itulah yang datang membunuh manusia di seluruh dunia, terutama di bumi umat Islam. Kuasa-kuasa besar melutut di hadapan kekuasaan bangsa Yahudi Zionis, sekutu Amerika yang mencatur dunia untuk matlamat dan kepentingan khusus negara mereka, Israel yang dibina di atas tanah Palestin yang dijajah.

Jadi bagaimanakah boleh ditemui jalan ke arah kesatuan yang benar? Jawaban kita mudah, kembali kepada ugama Islam. Islam hari ini mampu memindahkan manusia daripada kegelapan peperangan dan perbalahan sebagaimana Islam telah berjaya melakukannya dulu pada zaman kegelapan jahiliyah.

Mari kita melihat asas-asas yang perlu dibina dan bagaimana Islam berjaya melepasi kongkongan yang sering membantutkan kemahuan tinggi umat manusia untuk bersatu.

Kesatuan adalah didorong oleh kepentingan bersama yang perlu dijaga. Semakin banyak dan luas kesamaan itu ditemukan, semakin membesar dan melatakan ruang kesatuan dibina.

Rasa kepentingan dan kebersamaan yang pertama adalah daripada dalam sebuah keluarga yang kecil yang menjadi nukleus dan batu-bata kepada pembinaan sebuah masyarakat yang lebih besar.

Maka keinginan untuk bersatu dan hidup saling berkerja sama adalah bermula dari dalam setiap keluarga. Setiap ahli keluarga akan saling membantu sesama mereka, menjaga kepentingan kelompok mereka daripada dicerobohi dan bersedia merebuti malah mencerobohi kepentingan kelompok lain.

Terjadi perbalahan di kawasan kejiranan kerana perebutan dan ketamakan bagi menjaga kepentingan keluarga masing-masing. Justeru walaupun sebuah keluarga boleh bersatu teguh, tetapi faktor kekeluargaan tidak akan mampu menjadi asas penyatuan bagi sebuah kampung kerana ia hanya menjaga sebuah keluarga sahaja tanpa rasa tanggung jawab untuk turut menjaga kepentingan keluarga yang lain.

Maka berlaku usaha memupuk kepentingan bersama di antara kelompok kejiranan atau kampung atau daerah yang lebih besar. Akhirnya, walaupun mungkin sebuah keluarga itu terpaksa kehilangan kepentingannya, tetapi ia boleh menerima dan meredhainya demi kepentingan dan kebaikan kelompoknya yang lebih besar.

Manusia akhirnya sedar bahawa mereka perlu melepaskan kepentingan khusus masing-masing demi kepentingan bersama yang lebih besar dan umum bagi mencapai kesepakatan dan kesatuan yang lebih besar dan diperlukan.

Dari situlah, manusia mengagungkan kelompok kekabilahan ke atas kekeluargaan dan kedaerahan ke atas kedesaan. Walau bagaimanapun, ia terus tidak memadai kerana walaupun sebuah kabilah besar berjaya disatukan, tetapi ia pastinya akan bertembung pula dengan kabilah lain yang turut menjaga kepentingan khusus mereka. Begitulah yang berlaku ke atas kesatuan yang berdasarkan kedaerahan dan kenegerian. Ia akan bertembung dengan daerah dan negeri lain apabila konflik kepentingan berlaku.

Kerana gagal mewujudkan kefahaman yang menemukan noktah bagi 'kepentingan bersama manusia', maka perpecahan dan perbalahan terus berlaku dan sukar dimatikan kerana sentimen tiap-tiap kumpulan untuk menjaga hak dan kepentingan masing-masing.

Dalam konteks negara Malaysia misalnya, parti Umno yang memerintah berhadapan kesukaran untuk menyatukan negara kerana Umno sering mengangkat dan menunjukkan kepada kepentingan bangsa Melayu. Ia meresahkan bangsa Cina dan India kerana pastinya kerajaan akan menjaga kepentingan puaknya iaitu bangsa Melayu.

Maka kerajaan Malaysia telah berusaha meluaskan kerangka kepentingan bersama yang lebih besar bagi mengelakkan permusuhan di atas dasar perkauman. Lalu dicetuskan konsep negara bangsa. Slogan 1 Malaysia ditanam agar rakyat Malaysia bersatu menjaga kepentingan negara dan bangsa Malaysia mengatasi kepentingan kelompok warna kulit dan kenegerian. Ia berjaya menyatukan sentimen rakyat Malaysia bagi menjaga kepentingan bersama walaupun terpaksa mengorbankan kepentingan khusus keluarga, kampung, negeri dan warna kulit masing-masing.

Walau bagaimanapun, kesatuan di atas jenama negara bangsa terus gagal menemui noktah perpaduan umat manusia.

Amerika hampir berjaya menghapuskan sentimen warna kulit. Daripada perkahwinan campur antara kulit putih dan kulit hitam yang menjadi fenomena biasa sehinggalah kejayaan mereka memilih pemimpin kulit hitam sebagai presiden di negara mereka, Amerika terus dianggap punca kerosakan dunia.

Bagaimanakah Amerika yang berjaya menyatukan negaranya yang besar, tiba-tiba gagal menjadi contoh kejayaan buat dunia? Ya, sebabnya mudah. Amerika meletakkan kepentingan Amerika mengatasi kepentingan manusia seluruhnya. Amerika berjuang untuk bangsa Amerika, bukan untuk manusia dan dunia.

Begitulah manusia bersilat dan berteka-teka mencari formula terbaik membina asas dan faktor penyatuan umat, tetapi masih gagal. Ada blok-blok negara yang dibentuk berdasarkan ideologi pemikiran dan ugama. Walaupun ia berjaya menyatukan di antara beberapa negara, tetapi ia tetap bagai api yang bersedia mencetuskan peperangan di antara negara-negara besar sebagaimana berlakunya perang dunia 1 dan 2 pada abad ke-20 dulu.

Sekarang kita melihat betapa sukarnya penyatuan umat. Kerana berebut kepentingan antara kelompok, alangkah sukarnya manusia menemui formula paling mujarab.

Apakah cadangan Islam untuk penyatuan? Apakah faktor dan asas utama yang berjaya dibangunkan oleh Islam dan umatnya sehingga mereka berjaya dalam sejarah hebatnya menyatukan umat manusia, seterusnya berjaya membina tamadunnya yang gilang-gemilang dalam sejarah manusia?

Jawabannya ialah faktor Islam. Anda pastinya bertanya, bukankah agama-agama itu memecah-mecahkan antara manusia dan telah terjadi banyak berbalahan dan persengketaan ugama sepanjang zaman?

Ia persoalan yang baik. Tetapi Islam mampu menjawabnya. Kita bincangkan nanti di keluaran akan datang.

*Artikel ini adalah untuk siri kolum 'Terang Rembulan' dalam akhbar Harakah.

Share on Myspace