Pasti: Mendepani cabaran dan mengurus perubahan

DR RIDUAN MOHD NOR | .

Pasti: Mendepani Cabaran dan Mengurus Perubahan (Siri 2)

PAS sebagai sebuah harakatul ummah yang merespon perkembangan semasa pendidikan tidak sunyi daripada menghadapi cabaran. Pusat Asuhan Tunas Islam (Pasti) cuba dijenamakan dengan baik, terutama dengan persaingan dengan institusi pendidikan pra sekolah yang lain serta cabaran daripada regim penguasa.

Ustaz Abu Bakar Chik, sebagai ketua Dewan Pemuda PAS Pusat memberikan penumpuan besar terhadap perkembangan Pasti kerana reputasi Pasti akan juga mengheret nama baik atau buruk Dewan Pemuda.

Dewan Pemuda PAS Pusat telah mengadakan pelbagai usaha untuk mengenengahkan Pasti kepada masyarakat terutama ahli-ahli PAS. Pada 23 September 1989 Dewan Pemuda mengeluarkan arahan supaya kempen digerakkan ke seluruh negara.

Pada 14 Januari 1990, Pasti menganjurkan Pertandingan Mencipta Logo Pasti dan pertandingan ini dimenangi oleh Raja Abdul Aziz Raja Azlan dari Kampung Pandan, Kuala Lumpur.

Logo rasmi Pasti tersebut mula digunapakai secara rasmi semenjak 21 Julai 1991. Bagi mengukuhkan lagi organisasi PASTI, mulai 16 Januari 1993, semua Pasti diarahkan supaya berdaftar dengan Pasti Pusat bagi mengelakkan tekanan kerajaan yang mahu prasekolah didaftarkan dengan kerajaan, dan Dewan Pemuda PAS Pusat turut mengesahkan struktur baru organisasi penyelarasan Pasti semua peringkat pada 26 Januari 1994.

Menjelang bulan September 1999 Ketua Pengarah Pasti Pusat telah mengarahkan setiap Dewan Pemuda PAS Kawasan menubuhkan Pasti baru di kawasan masing-masing.

Dewan Pemuda PAS Pusat juga telah mengadakan bengkel penyelarasan Pasti di peringkat pusat pada 10 Disember 1989 diikuti oleh penyelarasan secara rasmi mulai 14 Januari 1991.

Kemudian, satu Konvensyen Pendidikan Prasekolah telah diadakan di Kota Bharu pada 15-16 November 1991 untuk membentuk landasan pergerakan Pasti, diikuti oleh Bengkel Kurikulum dan Latihan Perguruan Pasti di Terengganu pada 9 September 1992 serta Bengkel Kurikulum dan Pembinaan Modul Pasti di Selangor pada 25-27 Oktober 1992.

Selain penysunan kurikulum dan pengurusan pada Januari 1994, Pasti telah merancang untuk mewujudkan penyelarasan organisasi dan pentadbiran, kurikulum, latihan, buku teks, hari persekolahan, pakaian seragam dan keperluan elaun guru dan sebagainya.

Pada 12 Ogos 1995, pihak pengurusan Pasti telah mengadakan satu taklimat khas penggunaan buku Pasti kepada semua pengurus untuk penyelarasan semula buku teks Pasti.

Pasti semakin berkembang dengan baik terutama di negeri Kelantan, Selangor, Terengganu dan Kedah. Ia juga berkait rapat dengan kesungguhan petugas Pasti yang merupakan kelompok kelas menengah Melayu, keluaran uuniversiti dalam dan luar negara.

Selangor kini menjadi negeri mempunyai paling banyak bilangan Pasti, ini kerana tahap pendidikan ibu bapa yang lebih baik (Selangor negeri maju) mereka memilih anak-anak untuk mendapat pendidikan Islam dan Pasti disinonimkan dengan pendidikan Islam untuk anak-anak.

Di Kelantan pula, Pasti berkembang dengan pesat kerana PAS mempunyai cawangan yang banyak di Kelantan dan cawangan pula memainkan peranan untuk memajukan Pasti di negeri tersebut.

Kejayaan Pasti diterima oleh masyarakat Melayu juga berkaitan dengan komitmen para guru yang gigih mengajar walaupun dengan elaun yang relatif kecil. Usaha untuk memperkasakan bidang keguruan juga dilihat sebagai strategi penting untuk terus meningkatkan perkhidmatan Pasti kepada masyarakat.

Dewan Pemuda PAS Pusat telah mengarahkan pihak Pasti untuk mewujudkan sebuah badan khas perguruan Pasti yang akhirnya telah mencetuskan pula kepada Majlis Guru Pasti pada 17 Julai 1994.

Pihak Pasti juga telah memberikan latihan keguruan kepada guru-guru Pasti bagi memperkayakan ilmu dan membina kemahiran mengajar, antara kursus yang diselaraskan oleh Pasti pusat ialah kursus asas perguruan Pasti, kursus persijilan perguruan Pasti dan kursus perguruan Dalam Perkhidmatan Pasti telah diadakan.

Guru-guru Pasti menerima latihan dalaman menerusi sektor latihan iaitu peringkat sijil, bengkel, seminar dan latihan luaran seperti mengikuti Diploma Pendidikan awal kanak-kanak anjuran Universiti Utara Malaysia.

Pada 30 November sehingga 1 Disember 1996, Majlis Konvokesyen Guru Pasti telah diadakan kali pertama di Markas Tarbiah PAS Taman Melewar Kuala Lumpur. Manakala mulai tahun 2000, Kursus Guru Pakar Pasti mula diperkenalkan bagi terus memantapkan elemen keguruan dalam pendidikan Pasti.

Pasti juga menggalakkan penyertaan ibu bapa dan penjaga dalam merancakkan lagi program pengoperasian pendidikan prasekolah di mana setiap Pasti telah digalakkan untuk ditubuhkan Jamaah Ibu Bapa dan Guru (JIBG) mulai tahun 2002.

Pasti juga telah menyatukan masyarakat yang pelbagai latar belakang sosio-politik, sosio-ekonomi, anak-anak penyokong Umno juga belajar di Pasti termasuk lain-lain kaum bukan Melayu seperti kaum India, Cina, Kadazan dan Siam.

Kewujudan Pasti menjadi nukleus kepada kesedaran dan sokongan terhadap PAS dan terus mendapat sokongan masyarakat. Pasti terus berkembang walaupun mendapat halangan yang kuat daripada Akta Pendidikan 1995 (Akta 550), ini dibuktikan dengan jumlah bilangan kelas Pasti di seluruh negara terus meningkat.

Contohnya pada tahun 1994 kewujudan PASTI sebanyak 744 cawangan, meningkat kepada 855 cawangan pada tahun 1996 dan sehingga tahun 2004 pelajar Pasti di seluruh negara ialah seramai 55,480 orang.

Pasti telah dikenalpasti sebagai sebuah institusi pendidikan prasekolah yang telah mengangkat nama PAS sebagai sebuah parti politik yang berjaya menyediakan khidmat pendidikan kepada masyarakat.

Inilah juga faktor mengapa Pasti menjadi institusi pendidikan PAS yang paling banyak menghadapi cabaran dan kekangan, antaranya seperti tekanan daripada pihak Jabatan Agama Islam Negeri, polis dan juga kementerian pendidikan. – HARAKAHDAILY 28/12/2015

(Penulis ialah AJK PAS Pusat, AJK Lujnah Tarbiah Pusat)

Share on Myspace