Mendepani Islam Acuan Barat: Cabaran Gerakan Islam (siri 1)

USTAZ MUHAMMAD NAJHAN HALIM | .

Allah s.w.t. berfirman dalam surah al Kahfi ayat 103:

قُلْ هَلْ نُنَبِّئُكُمْ بِالْأَخْسَرِينَ أَعْمَالًا * الَّذِينَ ضَلَّ سَعْيُهُمْ فِي الْحَيَاةِ الدُّنْيَا وَهُمْ يَحْسَبُونَ أَنَّهُمْ يُحْسِنُونَ صُنْعًا * أُولَٰئِكَ الَّذِينَ كَفَرُوا بِآيَاتِ رَبِّهِمْ وَلِقَائِهِ فَحَبِطَتْ أَعْمَالُهُمْ فَلَا نُقِيمُ لَهُمْ يَوْمَ الْقِيَامَةِ وَزْنًا * ذَٰلِكَ جَزَاؤُهُمْ جَهَنَّمُ بِمَا كَفَرُوا وَاتَّخَذُوا آيَاتِي وَرُسُلِي هُزُوًا *

"...Katakanlah (wahai Muhammad): "Mahukah Kami khabarkan kepada kamu akan orang-orang yang paling rugi amal-amal perbuatannya?"
"..(Iaitu) orang-orang yang telah sia-sia amal usahanya dalam kehidupan dunia ini, sedang mereka menyangka bahawa mereka sentiasa betul dan baik pada apa sahaja yang mereka lakukan".
"..Merekalah orang-orang yang kufur ingkar akan ayat-ayat Tuhan mereka dan akan pertemuan denganNya; oleh itu gugurlah amal-amal mereka; maka akibatya Kami tidak akan memberi sebarang timbangan untuk menilai amal mereka, pada hari kiamat kelak.."
"..(Mereka yang bersifat) demikian, balasannya neraka Jahannam, disebabkan mereka kufur ingkar, dan mereka pula menjadikan ayat-ayatKu dan Rasul-rasulKu sebagai ejek-ejekan.."

Idea serangan pemikiran "Ghazwatul Fikri" dilancarkan terhadap umat Islam bermula kurun ke-19M. Pengalaman Eropah sehingga tercetusnya pemikiran sekularisme dijadikan modal untuk memesongkan umat Islam daripada ajaran agama mereka.

Sekularisme adalah pemikiran bukan menolak agama keseluruhannya tetapi pemikiran menerima sebahagian agama dan menolak sebahagian yang lainnya. Idea sekularisme inilah diserapkan ke dalam pemikiran umat Islam yang akhirnya empayar Islam berjaya diruntuhkan dan umat Islam berjaya dijauhkan daripada ajaran Islam yang sebenar.

Kesan daripada dakyah sekularisme ini maka kedengaran kata-kata dan ucapan daripada mulut orang Islam dan juga penulisan mereka sendiri seperti " tiada kaitan Islam dan urusan duniawi", "tiada campur urusan Islam dan politik", "undang-undang tidak bertamadun dan barbarik" , dan pelbagai lagi ungkapan-ungkapan yang mengecilkan fungsi agama Islam. Kejayaan terbesar serangan pemikiran terhadap umat Islam ialah runtuhnya empayar Islam terakhir iaitu Kerajaan Islam Turki Uthmaniyyah pada tahun 1917 dan kejayaan memesongkan aqidah umat Islam dengan penerimaan idea sekular dalam kehidupan mereka.

Kini idea sekularisme tidak dapat lagi menjadi senjata ampuh musuh Islam, umat Islam kembali sedar akan bahaya sekularisme yang merosakan aqidah dan ajaran Islam. Gerakan Islam muncul satu persatu di setiap negara umat Islam bagi menyedarkan dan membangkitkan semula Umat Islam yang berada dalam kebingungan serta kealpaan disebabkan peninggalan mereka daripada ajaran Islam sebenar.

Kemunculan parti-parti dan gerakan Islam di medan siyasah dan dakwah membawa mesej jelas bahawa Islam bukan sekadar ajaran yang terperap dalam masjid dan ibadah semata-mata tetapi merangkumi keseluruhan aspek kehidupan manusia. Umat Islam mula disedarkan bahawa Islam adalah agama yang syumul dan memiliki sistem yang lengkap dalam aspek ekonomi, sosial dan ekonomi. Maka mulai kedengaran suara dan pandangan umat Islam untuk mengembalikan sistem perundangan Islam dan juga aspek lain daripada Islam.

Strategi sekularisme perlu ditukar dengan satu lagi idea yang lebih halus dan licik. Terhasil satu lagi serangan yang baru iaitu Liberalisme atau Islam Liberal. Islam Liberal atau Liberlisme adalah idea bukan penolakan agama tetapi idea pembebasan daripada sumber agama iaitu wahyu dan akal serta lojik menjadi panduan muktamad dalam penentuan sesuatu hukum dan keputusan.

Idea liberalisme atau Islam Liberal adalah lebih beracun daripada sekularisme. Ini adalah kerana Sekularisme adalah prinsip yang jelas difahami bercanggah dengan Islam. Adapun liberal dan Islam Liberal adalah prinsip yang tidak menolak Islam tetapi ia adalah prinsip yang membebaskan Islam daripada hanya terikat kepada al Quran dan As Sunnah dengan menjadikan sumber nas akal dan lojik mengatasi kedua-duanya.

Lantaran daripada idea liberalisme inilah lahirnya pandangan seperti penafsiran semula agama, penafsiran semula kitab-kitab tafsir, penolakan fungsi dan peranan hadis, penolakan pandangan para alim ulamak, pengkajian semula hukum-hukum Islam yang qati'e seperti arak, judi, hukum menutup aurat dan selainnya.

Begitu juga pandangan dibolehkan penangguhan hukum hudud dengan alasan masalah ekonomi, tidak kondusif dan pelbagai hujah lagi yang bersifat lojik semata-mata untuk mengikiskan peranan agama Islam daripada dimartabatkan dalam masyarakat dan negara. Mereka yang berfikiran liberalisme ini menafikan bahawa mereka menolak hukum agama, tetapi mereka mencipta pelbagai hujah dan alasan lojik untuk menolak segala hukum agama sedaya mereka mampu. Pandangan mereka seperti menolak perlaksanaan hukum hudud sebagai contoh dikemukan hujah oleh mereka dengan mengambil kisah penangguhan hukum hudud pada zaman Saidina Umar r.a. dijadikan sandaran mereka. Ini adalah sikap ketidaktanggungjawaban mereka dalam ilmu Islam sehingga sanggup menyelewengkan fakta sebenar.

Liberalisme menjadikan asas kepada prinsip Islam yang mereka gunakannya bagi menggantikan Sekularisme yang sudah tidak lagi relevan bagi menghadapi kebangkitan Islam dan umatnya. Liberalisme yang berpaksikan hujah lojik akal semata-mata tetapi berlapikkan agama adalah senjata terkini musuh Islam yang disuntik dalam pemikiran umat Islam melalui penulisan orientalis, syarahan atas nama intelektual mencari kelemahan Islam, pengkaderan tokoh Islam Liberal dan lain-lain lagi. Hasilnya umat Islam semakin berpecah dan tidak sehaluan fikrah sekaligus mewujudkan lagi musuh penghalang kepada kebangkitan Islam.

Mutakhirnya seperti isu undang-undang khalwat yang dipertikaikan oleh sebahagian pihak atas kepentingan hak peribadi adalah rentetan kesan pemikiran liberalisme Islam. Sebahagian daripada orang Islam sendiri termakan dengan hujah liberalisasi agama barat dan mengambil prinsip barat dalam beragama. Apabila menganggap bahawa agama hanyalah urusan peribadi yang tiada kena mengena dengan maslahah masyarakat dan negara.

Prinsip perjuangan hak asasi barat diambil mentah-mentah tanpa tapisan dan nilaian mengikut acuan Islam. Sejarah mencatatkan bahawa perjuangan hak asasi barat sebenarnya adalah ditimbulkan oleh golongan orang kaya yang hidup bermewah-mewahan tanpa batasan undang-undang dan agama. Cetusan idea ini ialah semata-mata untuk mempertahankan cara hidup mereka daripada dirampas dek kerana kerisauan perubahan sistem kerajaan dan dasar negara yang boleh bertukar-tukar.

Liberalisme Islam turut meresapi parti politik di Malaysia apatahlagi parti berkenaan mendakwa bahawa dia juga parti Islam. Mereka turut menyokong idea-idea liberalisasi agama ini dan yang terbarunya menyokong usaha melucutkan undang-undang khalwat dalam sistem perundangan Mahkamah Syariah. Bahkan sebahagian gerakan Islam di dunia tidak terkecuali daripada diresapi dengan pemikiran liberalisme Islam atas hambatan untuk mendapatkan kemenangan dengan segera dan memperolehi sokongan politik serta demi menjaga kepentingan kuasa-kuasa besar dunia seperti Amerika dan sekutunya.

Berhati-hatilah kita dengan kepandaian dan kepintaran musuh-musuh Islam. Mereka mengkaji dan meneliti ilmu-ilmu dan sejarah Islam lalu diekploitasikan dengan tujuan menyesatkan dan merosakan pegangan Umat Islam daripada ajaran Islam.

Catatan
Alfaqir Ila Robbihi
Ustaz Muhammad Najhan Halim
Setiausaha Dewan Ulamak Pas Selangor
Pengarah Penerangan Dewan Ulamak PAS Selangor - HARAKAHDAILY 2/1/2016

Share on Myspace