Bohong, PAS bukan tongkat kepada Umno

MOHAMMAD FAIZAL CHE YUSOF | .

SAYA mulakan bicara hujung minggu ini dengan satu potong ayat Al-Quran dari surah An-Nur yang bermaksud: “Sesungguhnya perkataan yang diucapkan oleh orang-orang yang beriman ketika mereka diajak ke pada Kitab Allah dan Sunnah RasulNya, supaya menjadi hakim memutuskan sesuatu di antara mereka, hanyalah mereka berkata: Kami dengar dan kami taat: dan mereka itulah orang-orang yang beroleh kejayaan.” [An-Nuur:51]

Dari pengajaran ayat di atas, sifat orang beriman itu senantiasa patuh dan taat bila diajak kepada Allah dan Rasul. Tidak ada dalih, dan tidak ada alasan untuk mereka mengelak diri dari patuh sepenuhnya kepada tuntutan Allah dan Rasul.

Itulah kejayaan hakiki seorang yang beriman, mampu patuh dan taat kepada setiap suruhan syariat. Moga kita digolongkan dalam kumpulan orang-orang yang dianugerahi kejayaan.

Demikianlah tugas yang dipikul oleh pendukung dan penyokong Parti Islam Se-Malaysia (PAS). Pada setiap masa dan saat, tugas kita adalah mengajak setiap umat manusia untuk patuh kepada arahan dan tegahan dari Allah S.W.T dan Rasul SAW.

Tugas kita ini tidak dibatasi masa dan sempadan. Tugas kita ini melangkaui fahaman dan kepelbagaian kumpulan. Justeru, tugas kita ini perlu juga dibawa kepada mereka yang dalam politiknya memusuhi kita.

Inilah yang sedang dibawa oleh pimpinan dalam mendepani parti melayu dalam negara, United Malay National Organisation (Umno). Lebih tepat lagi, gagasan menyeru kepada Allah dan Rasul ini sedang digerakkan agar mampu diterima oleh ahli-ahli, pendukung dan penyokong Umno.

Natijah yang disasarkan kepada gagasan ini adalah sokongan sebulat padu seluruh umat Islam kepada usaha mendaulatkan syariat secara sebenar di Negara ini. Bukan soal tongkat kepada Umno atau penasihat murahan sebagaimana yang dimainkan media.

Menggerakkan gagasan ini dalam suasana semasa tentu sekali meruntun suatu komitmen dan iltizam yang amat. Tidak kurang risiko diperlekeh, dihina dan dipersenda sudah pasti beriringan dengan apa yang diusahakan.

Sewajarnya kita lebih jelas dalam mendepani situasi ini secara kolektif atau berjemaah. Bagi memahamkan lagi gerak kerja yang berlaku, beberapa penegasan dari pucuk pimpinan molek saya ulangi di sini secara umum.

Selagi mana Umno dengan dasar kebangsaan yang tidak berteraskan Islam, selagi itulah PAS sebagai sebuah badan siasah berpaksikan Islam akan menentang Umno untuk tunduk kepada Islam. Penentangan boleh berlaku secara halus, lembut dan pada waktunya berbentuk agresif.

Mana-mana pimpinan atau ahli PAS yang condong kepada Umno, mereka boleh terus bersama menyertai Umno dan tinggalkan PAS (Ustaz Idris Ahmad, Naib Presiden). Tidak ada keperluan untuk PAS bersama Umno dalam satu wadah atas apa jua alas an seumpama minyak yang tidak akan bercampur air.

Tiada kerjasama politik antara PAS dan Umno. Apa yang berlaku hanyalah tanggungjawab selaku kerajaan memerintah di peringkat negeri dan persekutuan (Ustaz Datuk Ahmad Yakob, Timbalan Dewan Ulamak). Justeru, hebahan PAS yang akan bergabung dengan Umno adalah karut dan merapu (Datuk Mohd Khairuddin Aman Razali, Ketua Penerangan Dewan Ulamak).

Kerosakan yang dilakukan oleh Umno hingga membawa penderitaan kepada rakyat terlalu ketara dan perlu dipulihkan oleh PAS (Iskandar Samad, Naib Presiden). PAS hanya perlu berkerja kuat untuk pastikan Umno tumbang dan digantikan dengan PAS.

Nah, tidak timbul buat masa ini PAS nak bergabung dengan Umno dalam satu pentas politik. Selagi mana Umno dengan dasarnya, biarlah kita menjadi penentangnya hingga syariat mampu didaulatkan.

Bagaimana caranya untuk berhadapan dengan Umno dalam pilihan raya umum akan datang, tidak perlulah kita fikirkan kerana itu tanggungjawab pimpinan yang diberi amanah untuk merencanakannya. Fokus kita hari ini adalah memahamkan seluruh masyarakat termasuklah ahli-ahli dan penyokong Umno tentang apa yang dibawa oleh PAS.

Begitu juga kita ada tanggungjawab kepada mereka yang berada dalam jentera  dan pentadbiran kerajaan. Selainn mendekati mereka untuk menjelaskan tentang apa yang kita bawa, bantulah seadanya untuk mereka melunasi tanggungjawab mereka kepada rakyat dan Negara melalui pelbagai saluran dan aktiviti yang ada.

Media-media utama yang bukan mendukung aspirasi PAS sudah tentu akan menyiarkan apa sahaja yang dirasai menguntungkan mereka termasuklah paparan berkaitan gabungan PAS Umno walaupun bukan suatu kebenaran. Begitu juga ungkapan yang menggambarkan gabungan PAS Umno perlu diabaikan bilamana ia mungkin saja mengganggu focus utama kita memperkasakan PAS.

Selamanya PAS tindak mungkin menjadi pembantu atau tongkat kepada Umno melainkan PASlah yang akan menggantikan Umno menerajui pemerintahan bila diizinkan Allah SWT sentiasalah berpaut kepada Allah kerana gerak kerja ini berteraskan syariat yang telah ditetapkan di dalam Al-Quran dan sunnah Rasul-Nya. - HARAKAHDAILY 3/1/2016

Share on Myspace