Maulidur Rasul: Nilai dan kelebihan

NIK MOHAMAD ABDUH NIK ABDUL AZIZ | .

Kita baru selesai dan berbahagia dengan sambutan tahunan Maulidur Rasul sallaLlahu alaihi wasallam pada bulan Rabiul Awwal tahun 1437H yang bersamaan hujung Disember yang menutup tirai tahun 2015 Masehi.

Perbincangan ilmiah mengenainya agak menarik walaupun kadang-kadang terganggu dengan gegak masalah-masalah khilafiat yang sering mendorong ketegangan urat leher di antara para peminat pertikaian di dalam soal-soal cabang mengikut aliran dan mazhab masing-masing.

Biarkan. Isi-isi ilmiah yang boleh dikongsi bersama masih terlalu banyak. Rasulullah adalah nyawa, nafas, nadi dan ruh kehidupan alam semesta. Membongkar sirahnya adalah seperti membongkar dan menggali segala kekayaan khazanah alam sehinggakan ahli dan pemiliknya adalah sekaya-kaya manusia di muka bumi. Jiwa yang kaya raya tidak lagi perlukan kekayaan wang yang melimpah ruah. Bukankah lambakan wang itu sekadar memuaskan jiwa yang kosong? Apa lagi yang diperlukan jiwa jika ia telah penuh dengan kekayaan cahaya iman dan kebenaran?

Mari mulakan dengan apa yang Allah mulakan di dalam al Quran. Bermula kelahiran junjungan nabi kita yang agung adalah didahului dengan peristiwa serangan tentera bergajah (Ashabul Fil) yang diketuai Abrahah, gabenur kerajaan Habasyah di Yaman ke atas kota Mekah.

Al Quran merakamkan cerita serangan itu dengan penuh kekuatan buat jiwa yang beriman dengan ketuanan dan ketuhanan Allah ke atas kaabah, rumah-NYA yang dibina oleh kekasihnya Ibrahim alaihissalam sejak ribuan tahun.

Kisahnya adalah kekalahan Abrahah dan kehancuran segala tipu daya manusia ke atas rumah Allah itu. Seperti kata Abdul Muttalib kepada Abrahah sebelum serangan bermula, "Aku adalah tuan unta-unta yang kamu rampas. Adapun rumah (kaabah) itu, ia ada tuannya sendiri."

Tetapi kisah ini nilai dan kelebihannya adalah seperti mana kata Ibnu Kathir di dalam kitab tafsirnya, "Tetapi kisah ini hakikatnya adalah satu petanda dan tapak kepada kebangkitan rasul agung. Pada tahun itulah, mengikut pandangan paling masyhur, baginda dilahirkan. Dan kekuasaan yang menghancurkan tentera Abrahah itu bagaikan berkata, Wahai Quraisy, kamu tidaklah ditolong dek kemuliaan kamu ke atas tentera Habasyah. Bahkan ia adalah bantuan dan pengawasan buat rumah Allah yang Kami akan memuliakan, mengagungkan dan meninggikannya nanti dengan kelahiran dan kebangkitan Rasul agung sallallahu alaihi wasallam."

Ya, Maulidur Rasul, ceritanya bermula dengan kisah kehancuran kegelapan yang menjengkelkan dengan kehadiran kerajaan cahaya yang kekal abadi buat alam ini. Cahaya Maulidul Rasul tak pernah dan takkan padam lagi. Apabila matahari enggan berundur, tiada malam yang mampu menobatkan kerajaan kegelapan.

Itulah ruh yang sepatutnya disemai sepanjang sambutan tahunan memperingati Maulidur Rasul. Semaian yang membarakan kehangatan beriman dan berjuang untuk ugama Islam dan nabinya yang mulia. Ia bukan sekadar alunan nasyid dan selawat ke atas baginda yang menggamit rindu tanpa kebangkitan daripada kegelapan yang melitupi dan menidurkan umat Islam hari ini.

Maulidur Rasul juga bukan sekadar kisah hari lahir dan hari kanak-kanak baginda yang penuh dengan nilai murni manusiawi melalui ikatan kasih sayang, kerinduan, kesedihan, kemiskinan dan kesukaran. Bahkan ia adalah cerita cahaya yang bekerja keras sepanjang masa, saat ia mula membesar dan menyinari. Rasulullah, cerita besarnya bukan pada hari Abrahah dihancurkan. Cerita besarnya bermula apabila Abrahah dilupakan dan kegelapan kembali bertakhta di kota Mekah tanpa peringatan lagi untuk didengari.

Kisah Abrahah hanyalah pancingan daripada Allah agar Quraisy bangkit bersama nabi agung menyelamatkan manusia sebagaimana Allah menyelamatkan kaabah daripada Abrahan dan tenteranya. Ia bukan sekadar cerita lara halwa telinga dan hati, bahkan ia seruan agar mereka bangkit beriman dengan tauhid dan mendukungnya sepenuhnya.

Hari ini, umat Islam dalam ragam masing-masing. Berlegar antara iman dan syirik serta ketaatan dan kafasikan sehinggakan kadang-kadang terjadi perlanggaran terhadap batas-batas iman dan kekufuran. Kealpaan dan kelalaian adalah begitu subur dan mencengkam.

Apabila mereka tersedar, mereka bersumbukan rasa cinta pada al Rasul dan al Quran sebagai sumber cahaya dan harapan. Al Quran dilagukan dan selawat dialunkan. Begitulah kita hari ini.. umat amar makruf dan jihad bergantikan umat selawat dan salam.

Justeru kebangkitan yang diharapkan tidak kunjung tiba. Umat terus terpesorok di hujung perlumbaan. Mereka bertanya dan bersoal sesama sendiri penuh kehairanan, mengapakan umat Muhammad begitu terhina hari ini?

Mari kita perhatikan, selepas kebangkitan al Rasul bermula, para sahabat yang menjadi generasi awal pembinaan sebuah perjuangan yang panjang telah memahami dan menyedari beberapa kewajiban yang menghubungkan mereka dengan nabi yang diutuskan Allah itu.

Pertama, kewajiban beriman kepada kerasulannya dengan penuh teguh. Firman Allah, "Wahai orang-orang yang beriman, berimanlah kepada Allah dan rasulNya.. "

Ia adalah seruan yang mengisyaratkan tuntutan peneguhan iman selepas iman. Sebagaimana iman kepada Allah adalah peneguhan makna tauhid dan penyuciannya daripada syirik, begitu erti beriman kepada al Rasul. Ia adalah peneguhan makna nubuwwah dan keunggulannya ke atas segala manusia dan kepimpinan mereka. Maksudnya, Allah mengingatkan kita bahawa tiada erti iman tanpa kesan dan perubahan yang nyata pada kehidupan. Iman adalah agen penting perubahan daripada dalam diri bermula.

Kedua, kewajiban mencintai al Rasul. Sabda baginda, "Tidak beriman seseorang kamu sehinggalah aku ini dicintainya melebihi cintanya terhadap ayahnya, anaknya dan seluruh manusia."

Ia bukan sekadar sebutan iman yang boleh tenggelam timbul di antara warna warni kepercayaan yang banyak di dalam diri. Bahkan ia membuakkan rasa hebat dan rindu yang memanjang. Ia mencambahkan kesegaran kasih cinta dan keinginan untuk bertemu dan bersama.

Ketiga, kewajiban untuk taat dan patuh kepada al Rasul. Firman Allah, "Wahai orang-orang yang beriman, taatilah Allah dan taatilah al Rasul.. "

Ia bukan sekadar berlabuh pada perhentian cinta yang terhasil daripada iman yang menebal. Tidak, bahkan ia menyelinap ke dalam segala urat nadi untuk mahu mendengar dan mahu patuh. Ia adalah iman dan cinta yang begitu mendalam sehingga sanggup menjual diri sepenuhnya kepada orang yang diimani dan dicintai.

Justeru pada peringkat ini, ciri-ciri pembohongan dan kemunafikan semakin menjarak dan berpisah daripada hakikat keimanan kepada al Rasul. Ketaatan tidak boleh dihasilkan oleh hati yang berpura-pura bahkan kalimat-kalimat cinta pun hanya bermain di bibiran sahaja.

Allah mahu yang cantik dan bersih. Pada setiap masa dan ketika, pengasingan iman dan kemunafikan berlaku di dalam kehidupan kita. Seperti zahir dua tubuh badan yang kelihatan sihat, hakikatnya, masa yang berlalu adalah proses pemisahan orang yang benar-benar sihat daripada orang yang hanya menunggu masa kesakitan menjemputnya.

Begitulah iman dan cinta kepada Allah dan al Rasul. Taat dan patuh adalah ujian buat mereka yang berpura-pura. Anda taat, anda mkmin. Anda enggan, anda munafik. Firman Allah, "Barang siapa yang taatkan al Rasul, maka dia telah taat kepada Allah."

Keempat, kewajiban membantu al Rasul dan ugamanya. Ia adalah kemuncak kesedaran yang dihasilkan oleh iman yang teguh kepada al Rasul. Rasulullah berjuang untuk menyampaikan risalahnya kepada umatnya. Baginda dihalang dan diperangi. Saat itu, tiada kekuatan buat baginda selepas Allah bagi menghadapi tentangan selain orang-orang yang bersamanya dengan iman, cinta dan taat.

Membantu al Rasul dengan dakwah dan jihad adalah kemuncak ketaatan. Ia adalah perlumbaan merebut kelebihan beriman kepada 'nabi cahaya' yang menerangi kegelapan dan menghasilkan kemenangan yang sebenar.

Allah mudahkan kita memahami kewajiban di atas dalam satu ayat yang nyata. Firmannya, "Maka orang-orang yang beriman dengannya (al Rasul), memuliakannya, membantunya dan mengikuti cahaya yang diturunkan bersamanya, mereka itulah orang-orang yang beroleh kemenangan." (al A'raf: 157)

Ayat ini menjelaskan kewajiban umat nabi agar beriman, mencintai, mentaati dan membantu al Rasul.

Jika anda memahami ini, tidakkah jelas di hadapan kita bahawa sambutan Maulidur Rasul pada kebanyakannya adalah laungan-laungan cinta yang hampir kosong daripada nilai dan kelebihannya yang sebenar. Maka ia menjadi jawaban paling jelas, mengapa umat Islam hari ini hanyalah umat selawat dan salam, bukan umat amar makruf dan umat jihad sebagaimana itulah tuntutan iman yang hakiki terhadap al Rasul.

* Artikel ini adalah untuk siri 'Terang Rembulan' dalam akhbar Harakah

Share on Myspace