Untuk wanita, isteri, suami dan bapa

NIK MOHAMAD ABDUH NIK ABDUL AZIZ | .

Tahniah buat wanita muslimah Malaysia. Antara wanita negara umat Islam yang paling ramai memperagakan pakaian bertudung dan menutup aurat di luar rumah. Ia pastinya berkat usaha semua pihak di jalan dakwah yang menyeru kepada praktis Islam yang lebih baik dalam segenap lapisan dan lapangan kehidupan.

Juga, antara faktor utama adalah akses pendidikan yang lebih baik diperolehi oleh wanita muslimah di negara kita berbanding wanita di negara-negara umat Islam yang lain. Dengan ilmu, ia menyerap cahaya hidayat dengan lebih mudah. Cahaya atas cahaya.

Apa yang kita mahukan ialah keredhaan Allah. Ketakutan pada murkaNya adalah sebab utama wanita muslimah hari ini sanggup bertudung menutup aurat dan menjauhi dunia jahiliyah yang begitu galak berkubang lumpur di penghujung ajal kehidupan dunia ini.

Tetapi saya ingin terus menegur. Teguran atas rasa cinta yang mendalam agar impian indah menjadi kenyataan yang benar dan hakiki di akhirat nanti. Diredhai Allah dan dihadapkan kita dengan pahala yang bertimbun-timbun buat memetik buah-buahan yang yang meranum di kebunan syurga tuhan di akhirat nanti.

Allah mahukan yang cantik daripada kita. Dia maha cantik, maha indah dan maha bersih. Lalu, Dia mahukan hambaNya memujaNya dengan memperagakan sifatNya yang Dia senangi untuk zatNya yang maha sempurna itu. Dia indah dan Dia sukakan keindahan.

Cantik pertama ialah cantik pada hati. Itu pandangan Allah yang pertama pada setiap hambaNya, tak kira siapa pun hambaNya itu.

Cantik hati yang pertama adalah tauhid. Tiada dalam hati selain Allah. Tiada yang setara denganNya. Tiada sekutu yang diimani, disembah, ditakuti dan dicintai selainNya. Tauhid melahirkan ikhlas dalam tindakan. Ertinya, segala tindakan di luar oleh anggota badan adalah daripada biasan keikhlasan di hati yang terhasil dari pancaran tauhid yang indah terbina.

Sesungguhnya segala amalan bermula dengan niat. Niat itu niat yang ikhlas. Tanpa ikhlas, niat adalah kosong atau terus saja membinasakan tuannya.

Mari saya kembali kepada apa yang saya inginkan. Teguran saya..

Syarat keredhaan Allah ialah kepatuhan atau ketaatan kepada arahanNya.

Perhatikan, anda berat untuk solat, tetapi anda solat juga kerana patuh dan takut kepadaNya, maka bagi anda adalah pahala dan redhaNya. HambaKu patuh walaupun dia begitu malas kerana nafsunya yang melawan. Dia mengalahkan nafsunya keranaKu.

Perhatikan juga, anda ringan untuk solat beberapa rakaat di masjid dan di hadapan ramai dengan keinginan untuk dilihat dan dipuji ramai sebagai insan baik dan soleh. Apa yang anda dapat? Pahala? Tidak, ia adalah dosa dan nifak yang akan tambah menyesatkan lagi.

Yang pertama, anda lakukan kewajiban itu kerana patuh. Yang kedua, anda laksanakan kerana kenafsuan diri yang tinggi. Bezakan, patuh padaNya dan patuh pada nafsu.

Ramai yang terkorban. Merasa pahala yang diperolehinya, sedang dosa yang menanggung-nanggung ke atas dirinya.

Tidakkah kalian melihat pada wanita yang bertudung menutup aurat pada sebahagian mereka itu hari ini?

Mereka menduga mereka telah beroleh pahala dariNya, sedangkan sebaliknya pula yang mereka perolehi?! Dosa yang mungkin berganda-ganda..

Pada hari pertama, mereka bertudung kerana keinsafan diri pada ugama. Pastinya mereka bertudung dengan kepatuhan, ketaatan dan dengan air mata syukur. Dari hati yang bertauhid. Indah. Cantik. Ikhlas. Saya sudah semakin muslimah.. Semoga Allah mengampuni saya..

Masa berlalu..

Dunia enggan mengalah.. kejadiannya oleh Tuhannya adalah sebagai ujian buat pematuh dan pentaat kepada ugama Allah.

"Setiap insan akan berpagian setiap hari. Dia meniagakan dirinya. Samada dia membebaskannya atau dia menghancurkannya." - al Hadis

Begitulah ujian dunia. Samada anda disambar dunia atau anda memanfaatkan dunia dengan laba besar buat membebaskan diri daripada api murkaNya nanti.

Wanita diuji dengan sifat kewanitaannya. Suka cantik dan indah. Menyolek dan memperaga diri. Pada tubuhnya, pada pakaiannya dan pada hiasannya. Semakin dipuji semakin menjadi.

Tidakkah dia memerhatikan pada hatinya? Tidakkah dia memerhatikan di manakah Allah melihat pada dirinya?

Semakin bertambahkah indah dan cantik hatinya itu dengan mencantikkan peragaan tubuh, pakaian dan hiasannya? Bukankah hikmah menutup aurat itu adalah pada menutup fitnah kecantikan pada diri dan tubuh wanita? Agar dibezakan wanita muslimah yang putih bersih hatinya dengan tauhid daripada wanita kafir yang hitam hatinya dengan zulumat syirik dan kufur?

Kepatuhan dan kataatan mula melusuh dan meluntur. Tiada lagi cantik, indah dan putih niat hatinya yang lahir daripada tauhid diri kepada Allah.

Para ulama menamakan patuh kepada syariat sebagai 'imtithal' (الامتثال) iaitu mengikuti perintah Allah.

Perhatikan contoh kedua. Seseorang itu taat kepada ibu bapanya kerana dia tahu dan diterima seluruh manusia bahawa ibu bapa adalah insan termulia. Dia lalu mentaati kedua ibu bapanya dengan sepenuh hatinya.

Seorang lagi taat kepada ibu bapanya kerana sebab yang sama, tetapi dia juga mentaati kedua-duanya kerana 'imtithal' atau mengikuti arahan Allah. Lalu dia meletakkan batasan bahawa dia mentaati kedua ibu bapanya itu selama mana ia tidak melanggari batas-batas ugama. Jika tidak, dia akan mentaati Allah dan tidak lagi kedua-duanya.

Tidakkah anda melihat perbezaan di antara dua ketaatan di atas? Satunya berpahala besar, manakala satu lagi adalah kosong. Ia ketaatan yang sama saja dengan ketaatan orang bukan Islam kepada ibu bapa mereka. Ketaatan semulajadi tanpa 'imtithal'. Kosong.

Sungguh saya merasa bimbang melihat perkembangan dunia peragaan dan fesyen wanita muslimah hari ini. Adakah benar mereka patuh pada arahan syariah di tempat pertama atau mereka terleka dan terjebak dengan ketundukan kepada perubahan dunia fesyen semasa?

Semakin hari semakin singkat. Semakin hari semakin ketat. Semakin hari semakin nipis. Semakin hari semakin berkelip berkilau. Semakin hari semakin menjadi.

Begitukah hati yang indah bersih mentafsir arahan Allah? Atau ia adalah dunia dan nafsu yang semakin memijak-mijak kesucian niat dan keikhlasan di hati dengan janji-janji memukau syaitan yang membenci wanita muslimah bertudung dan menutup aurat?

Jika begitu, maka ia adalah balikan yang dahsyat. Daripada pahala yang bertimbun-timbun kepada dosa yang berganda-ganda.

Setiap kita boleh menyembunyikan niat di hati masing-masing. Belah dan bedahlah hati itu, niat anda takkan terbongkar. Ia milik anda dan Allah. Tiada siapa boleh menghukum kita pada niat kita.

Tetapi Allah menghukum anda dengan niat anda itulah. Baik hati anda, dibaikkan anda pada zahir dan lahir anda. Justeru zahir diri adalah cerminan batin dan dalam diri.

Ertinya, anda boleh saja memakai kopiah atau tudung bagi menutup nifak serta buruk diri dan niat anda dengan Allah. Tetapi anda juga takkan mampu menahan kehendak Allah menzahirkan buruk hati anda pada tubuh dan perbuatan anda. Hari ini anda menutupnya, esok pasti Allah membongkarnya. Tutupan anda takkan terdaya di hadapan bukaan Allah.

Lihatlah orang yang menutup nifak dan buruk diri mereka dengan memakai pakaian orang-orang yang soleh, melakukan ibadah bersama-sama di masjid dan berkata-kata manis. Tetapi saatnya apabila Allah membongkar, terserlahlah sifat malasnya, tergesa-gesa, menunjuk-nunjuk diri secara nyata dan mengeluarkan kata-kata yang tidak manis lagi. Tutupannya tiba-tiba terbuka tanpa disedarinya.

Maka, aduhai wanita muslimah..

Kembalikan dirimu pada asal kecantikanmu. Cantikmu pada cinta tuhanmu menciptakanmu sebagai teman dan pasangan Adam di syurga. Mengapa harus engkau melupai dirimu dan melekakan dirimu dengan hiasan duniawi yang kotor?

Cantikkah dirimu di sisi tuhanmu yang maha melihat saat kau memotong atau memilih pakaian dan kain tudungmu yang semakin hari semakin singkat, nipis, ketat, sendat, berteres-teres, berpusar-pusar dan berkelip-kelip itu?

Wahai wanita, isteri, suami dan bapa..

Bertaqwalah kepada Allah seupayamu..
Berpesan-pesanlah dengan kebenaran dan kesabaran..
Jagalah diri dan ahli keluargamu daripada panas api neraka..
Berlumba-lumbalah mengejar kebaikan.
Semoga kita beroleh kemenangan abadi. - HARAKAHDAILY 6/1/2016

Share on Myspace