Rugi RM800 juta jangan jadi alasan hapus skim LPG subsidi

HARAKAHDAILY | .

1. Dewan Ulamak PAS Pusat (DUPP) melihat dalam keadaan kelembapan ekonomi semasa dan kemerosotan hasil pendapatan negara khususnya berikutan kejatuhan harga minyak dunia, Kerajaan begitu terdesak menggunakan pelbagai cara dan pendekatan untuk mengambil duit secara langsung daripada poket rakyat.

2. Pelaksanaan GST, rasionalisasi subsidi minyak serta pengenalan sistem harga apungan, kenaikan kadar tol dan tambang pelbagai perkhidmatan pengangkutan awam tersebut semuanya adalah suatu hasil kepada Kerajaan yang dirampas terus daripada rakyat. Rakyat dipaksa menanggung beban kewangan yang diakibatkan oleh kelemahan urustadbir kewangan negara oleh Kerajaan.

3. Terbaru, dihebohkan pula tentang kerugian yang terpaksa ditanggung oleh Kerajaan sebanyak RM800 juta yang berpunca daripada ketirisan skim gas petroleum cecair (LPG) bersubsidi. Jumlah tersebut adalah 40% daripada jumlah keseluruhan subsidi yang diperuntukkan Kerajaan iaitu RM2 bilion setahun.

4. Berdasarkan kenyataan oleh Ketua Setiausaha KPDNKK dan Timbalan Menteri Kewangan kelmarin, DUPP berpandangan ia adalah signal awal bahawa skim LPG bersubsidi ini juga tidak mustahil akan dihapus atau ‘dirasionalisasikan’ dalam masa terdekat.

5. Sepatutnya Kerajaan menyemak semula dan tegas menguatkuasakan undang-undang berkaitan bagi menyelesaikan masalah ini kerana ia berpunca daripada penyeludupan, penyelewengan dan penyalahgunaan yang dilakukan oleh pembekal dan peniaga tertentu.

6. Tidak sepatutnya orang awam yang sekadar menjadi pengguna di rumah kediaman ditarik hak mereka untuk menikmati subsidi ini hanya disebabkan kesalahan yang dilakukan oleh pihak lain. Sekiranya ia tetap dihapuskan, sekali lagi rakyat terpaksa ‘berkorban’ demi negara.

7. Jangan kerana "marahkan nyamuk kelambu dibakar" atau memang Kerajaan berniat membakar kelambu dengan menjadikan nyamuk sebagai alasan? Kalau begitu akan lebih banyak lagi kelambu rakyat dibakar oleh kerajaan!!!

Sekian.

 “Beristiqamah Hingga Kemenangan”

DATUK DR. MOHD KHAIRUDDIN AMAN RAZALI AT-TAKIRI
Rabu, 6 Januari 2016 | 25 Rabiul ‘Awwal 1437 - HARAKAHDAILY 6/1/2016

Share on Myspace