'Samseng': Almarhum Tok Guru pesan bawa Kamus Dewan

HARAKAHDAILY | .

Perginya Murabbi Ummah telah menyentap seluruh jiwa dan emosi pendukung gerakan Islam. Tangisan dan esakan dari pendukung gerakan Islam bukan saja di hari pemergiannya, tetapi air mata itu akan terus mengalir jika menatap gambar, mendengar luahan dan amanat terakhirnya.

Melihat wajahnya yang menyimpan seribu ketenangan, sudah cukup meruntun hati dan perasaan. Wajah bersih Murabbi Ummah sesuci sang bayi yang baru lahir dari rahim ibunya.

Malam Jumaat 13 Februari 2015, stesen televisyen yang sentiasa menyiarkan rakaman hiburan dihentikan kerana menghormati pemergian Murabbi Ummah, Ulama tersohor dunia, Datuk Bentara Setia Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Siaran mengaji dengan bacaan Yaasin dan surah-surah dalam al-Quran diperdengarkan sehingga awal pagi. Manakala stesen radio membuat siaran langsung ketika pengebumian Tuan Guru selama satu jam.

Menerima sistem pesanan rengkas (SMS) daripada Setiausaha DMPP, Che Azlina Che Haron mengatakan; “Al-Fatehah. Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat baru saja meninggal dunia, 9.40 malam.”

Tiba-tiba air mata saya mengalir, laju. Saya tidak rapat dengan Tok Guru. Jauh sekali sering berjumpa dengannya. Sepanjang menjadi Wartawan Harakah, seingat saya ketika Tok Guru menyampaikan tazkirah kepada Dewan Muslimat PAS Kawasan Gombak sekitar tahun 1997-1998.

Kali kedua saya bertemu dengan Tok Guru apabila Harakah mengadakan tazkirah ringkas di surau Harakah Unit Editorial tingkat 2. Saya dapat menatap wajah tenangnya dan mendengar amanat lebih dekat. Namun, saya tidak mengajukan sebarang pertanyaan.

Selepas itu saya datang ke rumah Tok Guru di Pulau Melaka bersama wartawan Kelantan, Salmah Mat Hussin untuk sesi temubual pendidikan anak-anak. Sekali lagi saya dapat menatap wajah Tok Guru dengan lebih dekat. Bagaimanapun, Tok Guru menyerahkan sesi temubual tersebut kepada isterinya, Datin Tuan Sabariah Tuan Ishak.

Saya masih ingat, Tok Guru datang ke ruang tamu meminta maaf dengan saya dan menyerahkan sesi temubual itu kepada isterinya kerana isterinya lebih memahami soal pendidikan anak-anak.

Isu samseng’ yang menjadi kontroversi suatu ketika dahulu membuatkan saya bertemu sekali lagi dengan Tok Guru. Saya bertemu Tok Guru di Seri Kelantan, rumah Menteri Besar Kelantan yang disediakan oleh kerajaan jika Tok Guru ada urusan kerja di Kuala Lumpur.

Tok Guru pesan kepada saya bila jumpa nanti bawa Kamus Dewan. Pada hari yang dijanjikan, saya datang ke Seri Kelantan membawa Kamus Dewan berwarna biru, ketika itu.

Sukar untuk kulupa, Tok Guru turun dari tingkat atas berjumpa saya di ruang tamu. Turut hadir ketika itu, setiausaha politik, Annual Bakri. Tok Guru memakai baju Melayu telok belanga biru lembut berkopiah putih.  

Tok Guru tanya saya, “Ada bawa Kamus Dewan”. Tok Guru minta saya buka muka surat yang ada perkataan `samseng’ dan minta saya membaca maksud tersebut. Saya baca maksud samseng yang dicatat dalam Kamus Dewan. Tok Guru jelaskan kepada saya dengan memberi contoh-contoh sehingga saya faham dan mudah untuk saya laporkan dalam akhbar Harakah.

Saya tidak kerap bertemu Tok Guru sebagaimana sahabat seperjuangan saya Salmah Mat Hussin. Namun, aura Tok Guru sebagai seorang pemimpin tertinggi PAS, menjadikan saya seolah-olah dekat dengannya.

Ketika Tok Guru berbicara dengan saya, bagaikan seorang ayah memberi nasihat kepada anaknya. Walaupun ketika itu saya baru menjadi wartawan sekitar empat tahun tapi seronok berjumpa Tok Guru.

Inilah pengalaman saya sepanjang menjadi wartawan bertemu mata dengan Tok Guru. Selebihnya, hanya jumpa di kejauhan. Mengambil gambar dan ucapan dalam program atau majlis anjuran PAS.

Tulisan di atas adalah petikan ruangan Setulus Hati Seulas Bicara buku `Memoir Tok Guru di Hari Wanita’ hasil karangan Saidah Hairan.

Share on Myspace