Membina sifat prihatin ummah

DATUK DR MOHD KHAIRUDDIN AMAN RAZALI | .

Sayyidatuna Khadijah radiyallahu anha berkata ketika menenangkan perasaan Nabi SAW sebaik menerima wahyu pertama menerusi Jibril alaihissalam:

فَوَالله لا يُخْزِيكَ الله أَبَدًا، وَالله إِنَّكَ لَتَصِلُ الرَّحِمَ، وَتَصْدُقُ الْحَدِيثَ، وَتَحْمِلُ الْكَلَّ، وَتَكْسِبُ الْمَعْدُومَ، وَتَقْرِي الضَّيْفَ، وَتُعِينُ عَلَى نَوَائِبِ الْحَقِّ.

Maksudnya: "Maka demi Allah, kamu sama sekali tidak akan dikecewakan oleh Allah. Demi Allah, sesungguhnya kamu bersungguh-sungguh menyambung hubungan kerabat (silaturrahim), kamu bercakap benar, kamu menanggung orang-orang yang lemah, kamu memberi kepada yang papa, kamu memuliakan tetamu dan kamu membantu manusia dalam musibah". (Hadis disepakati oleh Bukhari dan Muslim)

Huraian

1. Ucapan beliau ini menggariskan kepada umat beberapa sifat keperibadian Rasulullah SAW sebelum baginda menjadi Nabi lagi.

2. Kesemua sifat itu menggambarkan betapa Nabi SAW seorang yang sangat prihatin dan mengambil berat permasalahan dan kesusahan umat.

3. Antaranya:

I) Menyambung Hubungan Antara Kaum Kerabat.

Hanya mereka yang mengambil berat perihal orang lain mampu untuk sentiasa menjaga hubungan kerabat dan persaudaraan kekeluargaan khususnya apabila terputus atau diputuskan dengan pelbagai sebab.

II) Bercakap Benar

Hanya mereka yang tulus dalam berinteraksi dengan orang lain mampu sentiasa bercakap benar dengan manusia.

III) Menanggung Golongan Lemah

Golongan lemah tidak mampu memenuhi keperluan hidupnya akibat ketidakmampuan jasadnya antaranya kerana dimamah usia. Hanya seorang yang mempunyai perasaan belas kasihan dan prihatin kepada manusia lain mampu menanggung kesusahan golongan sebegini.

IV) Memberi Kepada Yang Papa

Golongan yang papa walaupun mungkin telah berusaha memerlukan bantuan dalam meneruskan kehidupan. Peribadi yang prihatin kepada masalah kemanusiaan tidak akan tergamak membiarkan mereka terus dilanda kesusahan.

V) Memuliakan Tetamu

Tetamu datang mungkin tanpa dijangka dan dijemput. Ia mengganggu jadual peribadi seseorang. Namun, sifat prihatin yang mengatasi kepentingan perbadi akan mendorong insan mulia untuk sentiasa memuliakan tetamunya sekurang-kurang 3 hari 3 malam dengan penginapan dan makanan selayaknya.

VI) Membantu Manusia Berhadapan Musibah

Musibah berlaku melibatkan kehilangan nyawa, kerosakan jasad dan kehilangan harta. Hanya insan prihatin mampu menghulurkan bantuan di situasi getir sebegini.

4. Maka demikianlah selayaknya umat Muhammad mewarisi keperibadian Nabi SAW. Di saat masyarakat berhadapan kesempitan ekonomi, tuntutan keprihatinan ummah adalah sangat mendesak. Jika berjaya dilaksanakan, lahirlah di kala itu umat dan masyarakat yang berkasih sayang.

Sekian.

Dato' Dr Mohd Khairuddin Aman Razali at-Takiri
Ketua Penerangan Dewan Ulamak PAS Pusat
Ahli Parlimen Kuala Nerus - HARAKAHDAILY 12/1/2016

Share on Myspace