Kepentingan kefaqihan dalam siasah

HARAKAHDAILY | .

Cabaran Gerakan Islam: Kepentingan Kefaqihan Dalam Siasah (Siri 2)

Sekularisme pernah dianggap oleh sebahagian besar umat Islam sebagai kaedah terbaik untuk memajukan Islam dan umat Islam. Ini adalah kerana bagi mereka ajaran Islam dianggap sebagai penghalang kepada kemajuan dan kemodenan negara kerana Islam amat mementingkan prinsipnya berdasarkan hukum syarak dan aqidah yang sudah pasti tidak boleh diketepikan dengan mudah.

Doktrin sekularisme yang mengambil Islam sebahagian yang hanya menguntungkan hal duniawi semata-mata serta menolak Islam sebahagian yang lain yang dianggap tidak memberikan keuntungan dan habuan segera di dunia. Doktrin sekularisme ini juga menolak peranan Islam dalam politik dan sikap ini masih berkekalan dalam pemikiran dan amalan sebahagian umat Islam sehingga kini.

Walaupun Islam teguh dengan prinsip dan anjal dengan tindakan, namun Islam apabila berada ditangan mereka yang tidak faqih dengannya dan apatahlagi Islam ditangan mereka yang memiliki niat yang jahat, sudah pasti prinsip Islam dan syaraknya akan diletakkan dikedudukan yang tidak sepatutnya dan dimudah-mudahkan dengan pelbagai rekaan alasan.

Saidina Ali r.a. pernah menyatakan kepada golonga Khawarij yang menggunakan hujah Islam yang diseleweng menurut nafsu duniawi bagi mencapai matlamat mereka dengan berbunyi:

"...قول الحق واراد بها الباطل..."

"..Kata-kata yang benar dan menginginkan kebatilan.."

Alasan golongan sekularisme nasionalis terhadap para pendokong perjuangan Islam ialah pemecahbelah masyarakat yang ianya adalah alasan lapuk yang dikitar semula oleh musuh-musuh sepanjang zaman terhadap kebangkitan Islam pada zaman kini. Baginda Nabi s.a.w. sendiri pernah dituduh pemecahbelah masyarakat apabila Baginda s.a.w. membawa risalah Islam dalam masyarakat Arab Quraisy Mekah. Hakikatnya perpecahan yang berlaku di kalangan masyarakat Islam adalah berpunca daripada penyelewengan ajaran Agama Islam dan juga penerapan doktrin sekularisme dan prinsip sekular dalam pemikiran dan amalan masyarakat Islam. Sekularisme cuba hendak meletakkan Islam seperti amalan agama-agama lain yang memisahkan Islam daripada menjadi pengatur hidup masyarakat dan negara. Perbezaan inilah menjadikan jurang hubungan antara umat Islam semakin luas.

PAS dan gerakan Islam yang lain menghadapi serangan sekularisme dengan penuh bijaksana dan hikmah di samping diteguhkan dengan kesabaran yang tinggi menghadapi kesan buruk pembawakan idea sekular ini. "Muwajahah Silmiyyah" atau Pertembungan Politik dan Demokrasi digunakan sebaik mungkin oleh PAS khasnya sebagai gerakan Islam yang pertama di dunia yang yang terlibat dalam lapangan demokrasi berbanding parti dan gerakan Islam yang lain. PAS mengambil posisi dalam pilihanraya dalam negara sebelum dan selepas kemerdekaan walaupun masyarakat Islam masih dibelenggu pemikiran sekular yang meminggirkan peranan agama daripada lapangan pemerintahan dan politik.

PAS mengemukakan hujah ilmu dan kebijaksanaan dalam lapangan demokrasi dan politik sehingga PAS berjaya memainkan peranan besar sebagai sebuah parti Islam apabila berada dalam kerajaan campuran dengan kerajaan Perikatan. Keberadaan PAS dalam kerajaan setelah kejadian 13 Mei yang menuntut PAS untuk bersama menyelamatkan rakyat dengan penyatuan dan perpaduan daripada berterusan persengketaan yang mampu membawa kepada keruntuhan negara. Inilah sikap dan jiwa besar PAS dalam politik apabila negara dan rakyat adalah keutamaan PAS daripada hanya mementingkan cita-cita politik sempit dan kuasa peribadi.

Dalam kesempatan PAS dalam kerajaan, idea Islamik dan ciri-ciri ajaran Islam berjaya diterapkan dalam pemerintahan kerajaan negara ini.

Idea kepimpinan Ulamak yang dilontarkan dalam PAS melonjakkan PAS ke tahap yang baru dalam gerakan Islam. PAS sebagai sebuah gerakan Islam diperkukuh dengan benteng ilmuan dan ulamak di samping adanya aktivis dan profesional yang sama-sama berganding bahu di atas paksi wehdatul fikri dan amal yang menerima prinsip kesyumulan Islam. Majlis Syura Ulamak dijadikan badan tertinggi dalam PAS adalah untuk mempastikan PAS berjalan dalam landasan syarak dan hukum. Walaupun PAS aktif dalam bidang politik demokrasi yang sepanjang masa hanya dimonopoli oleh sekularis dan pragmatis, keberadaan PAS sentiasa dipandu dengan kompas syarak untuk mempastikan PAS tidak tergelincir mengikut arus dan aliran kesongsangan aqidah dan tindakan.

Sesetengah gerakan Islam di dunia yang ditubuhkan pada asalnya dengan cita-cita murni untuk menegakkan Islam telah tergelincir dan lari daripada perjuangan bahkan bertukar prinsip daripada Islamis kepada sekularis dan liberalis kerana gagal mempertahankan dasar dan landasan perjuangan dek termakan umpan musuh Islam sehingga dilunakkan perjuangan Islam kepada telunjuk musuh. Ini dilihat berpunca daripada kegagalan gerakan Islam bersedia dengan serba kemungkinan yang mampu melumpuhkan perjuangan termasuk termakan pemikiran hasil kelicikan dakyah musuh.

Oleh kerana itu, PAS yang bersiyasah di arena politik demokrasi tetap memilih kepimpinan ulamak sebagai asas kemantapan kepimpinan disamping seiring sejalan dengan golongan profesional dan aktivitis yang tetap dihargai sebagai penggerak utama gerak kerja parti.

Kefaqihan dalam siyasah Islam inilah terbentuk daripada konsep kepimpinan ulamak dalam PAS yang mampu memahami sumber-sumber syarak Al Quran dan As Sunnah serta merujuk kepada kaedah Ijmak dan Qiyas sekaligus mampu mengintergrasikan situasi politik dan isu semasa dengan sumber syarak. Inilah yang menjadikan PAS sentiasa berada dihadapan dalam segenap langkah politik walaupun dilihat oleh mereka yang tidak faham Islam sebagai ketinggalan dan kemunduran.

Sebagai contoh, pendekatan "Tahaluf Siyasi" atau Persefahaman Politik antara PAS dengan parti-parti yang berlainan dasar dan aqidah perjuangan berjaya dimerterai dengan asas menentang kezaliman dan kepincangan urustadbir negara sehingga menatijahkan kemenangan dalam pilihanraya. Antara lain, Unity Government (UG) yang dicadangkan oleh Tuan Guru Presiden PAS telah diperakui dan ditiru dengan "Konsensus Nasional" dan "Save Malaysia" oleh pelbagai pihak sebagai langkah terbaik meredakan keadaan politik tanahair. Begitu juga idea dicetuskan oleh Tuan Guru Presiden sendiri dengan mengemukakan gagasan "Kerajaan Teknokrat" iaitu kerajaan yang dipimpin dari kalangan tokoh akademik dan ilmuan dan bukannya daripada pihak ahli politik. Walaupun kedua-dua idea ini tidak menjadi realiti, namun kebijaksanaan serta keberanian memgemukakan idea matang dalam politik ini adalah daripada kefaqihan PAS dalam politik Islam.

PAS yang berpegang kepada prinsip Eksklusif dalam Aqidah perjuangan dan Inklusif atau anjal dalam tindakan dan strategi membawa PAS ke era "Politik Matang dan Sejahtera" sesuai dengan usia PAS yang mencecah 64 tahun yang memiliki sejarah perjuangan serta lautan pengalaman. Perkara Thawabit yakni tetap seperti Aqidah perjuangan yang tidak terdorong kepada mengejar duniawi dan habuan kebendaan menjadikan PAS sentiasa kukuh dengan dasar perjuangan Islam disamping perkara yang bersifat mutghoiyirat atau berubah-ubah dalam strategi dan tindakan sentiasa diambil peluang oleh PAS untuk memenangkan perjuangan Islam.

Yang terbaru, PAS yang memulakan langkah pendekatan "Politik Matang dan Sejahtera" telah menyatakan kesudian PAS untuk memberikan khidmat nasihat kepada Kerajaan Persekutuan pimpinan UMNO BN dalam mengangani bersama masalah yang sedang ditanggung oleh negara dan rakyat. PAS tidak lagi hanya ingin berada di posisi membangkang semata-mata sahaja tetapi tidak membawa cadangan membina untuk sama-sama berganding bahu menyelamatkan negara dan rakyat dalam negara ini. PAS dalam "Buku Hijau"nya telah memberikan pandangan dan cadangan membina serta alternatif yang lunak kepada kesejahteraan rakyat dan negara. Sebagai contoh PAS yang tidak menyokong dan membantah dengan tegas akan perlaksanaan GST atau Cukai Servis dan Perkhidmatan, telah mengemukakan cadangan alternatif iaitu "Cukai Lebihan Simpanan" sebanyak 2.5% sahaja yang mengambil prinsip semangat sistem zakat dalam Islam.

Inilah pendekatan baru PAS berasaskan kepada Kefaqihan dalam Politik Islam yang mengutamakan jalan perdamaian daripada pertembungan dan perbalahan.

Renungilah firman Allah s.w.t. dalam surah ali Imran ayat 159:

فَبِمَا رَحْمَةٍ مِنَ اللَّهِ لِنْتَ لَهُمْ ۖ وَلَوْ كُنْتَ فَظًّا غَلِيظَ الْقَلْبِ لَانْفَضُّوا مِنْ حَوْلِكَ ۖ فَاعْفُ عَنْهُمْ وَاسْتَغْفِرْ لَهُمْ وَشَاوِرْهُمْ فِي الْأَمْرِ ۖ فَإِذَا عَزَمْتَ فَتَوَكَّلْ عَلَى اللَّهِ ۚ إِنَّ اللَّهَ يُحِبُّ الْمُتَوَكِّلِينَ

"Maka dengan sebab rahmat (yang melimpah-limpah) dari Allah (kepadamu wahai Muhammad), engkau telah bersikap lemah-lembut kepada mereka (sahabat-sahabat dan pengikutmu), dan kalaulah engkau bersikap kasar lagi keras hati, tentulah mereka lari dari kelilingmu. Oleh itu maafkanlah mereka (mengenai kesalahan yang mereka lakukan terhadapmu), dan pohonkanlah ampun bagi mereka, dan juga bermesyuaratlah dengan mereka dalam urusan (peperangan dan hal-hal keduniaan) itu. kemudian apabila engkau telah berazam (sesudah bermesyuarat, untuk membuat sesuatu) maka bertawakalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Mengasihi orang-orang yang bertawakal kepadaNya."

Perkara "Thawabit" atau tetap seperti perjuangan memartabatkan hukum Syariah Islam yakni Hudud, Qisas dan Takzir serta lelain peraturan Islam, PAS tidak pernah dan tidak sama sekali pada masa depan akan melonggarkannya. Akan tetapi perkara yang melibatkan hal "Mutaghoiyirat" atau strategi dan tindakan yang berubah-ubah sentiasa menjadi pilihan PAS untuk dieksploitasikan sebaik mungkin. Umpamanya kaedah "Tahaluf Siyasi" iaitu Persefahaman Politik atau "Taawun Siyasi" iaitu Kerjasama Politik akan tetap diambil sebagai strategi penting dalam menghadapi resam dan rencah politik yang beraneka ragam.

Justeru itu, para pejuang Islam dan juga ahli politik amatlah dituntut agar memiliki KeFaqihan yang mendalam ilmu Politik Islam dan hukum hakamnya. Ini adalah kerana politik dalam Islam juga tertakluk kepada 5 hukum dan prinsip syariah sepertimana dalam jurusan agama yang lain iaitu, wajib, haram, harus, sunat dan makruh. Begitulah juga politik Islam sewajibnya mengambil tauladan yang begitu banyak yang diwariskan oleh Baginda Nabi s.a.w. dalam sirahnya dan juga kisah pengajaran daripada Al Quran.

BERISTIQAMAH SEHINGGA KEMENANGAN

Disediakan oleh:
Ustaz Muhammad Najhan Shahir Halim
Setiausaha Dewan Ulamak PAS Selangor
Pengarah Penerangan Dewan Ulamak PAS Pusat - HARAKAHDAILY 18/1/2016

Share on Myspace