Bantah TPPA: Surat terbuka buat YB Umno BN

SYAHIR SULAIMAN | .

"Telah zahirlah keburukan di darat dan laut dengan sebab apa yang telah diusahakan oleh tangan manusia sendiri, supaya dirasakan kepada mereka sebahagian daripada perbuatan mereka, mudah - mudahan mereka kembali kepada kebenaran” (Rum: 41)

Pendahuluan

Dengan penuh takzim kepada sekalian Yang Berhormat Ahli Parlimen yang bertanggungjawab ke atas kepentingan negara tercinta, saya mengutus surat ini mengenai suatu isu kritikal yang menjadi dilema negara kita sekarang, dan bakal tercatit sebagai noktah penting dalam sejarah negara untuk dikenang generasi akan datang.

TPPA, Perjanjian Bebas Yang Mengikat

Sebagaimana Yang Berhormat sedia maklum, Malaysia bakal menandatangani Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA) pada bulan Februari 2016, sekiranya diluluskan oleh Dewan yang serba mulia dalam perbahasan selama 3 hari yang sangat singkat kelak.

Rundingan TPPA selama 5 tahun tersebut telah pun dimuktamadkan pada 5 Oktober 2015, dan akan diikuti tempoh ratifikasi selama 2 tahun untuk kita meminda undang-undang dalam negara -  lebih 27 akta dan beberapa pekeliling dan aturan Kerajaan - bagi mematuhi peraturan yang terkandung dalam TPPA, seterusnya memberi laluan kepada penguatkuasaan TPPA kepada negara anggota selewatnya pada tahun 2018.
 
Penyertaan Malaysia di dalam TPPA akan meletakkan Malaysia di dalam kelab 12 buah negara di rantau Lautan Pasifik, iaitu Amerika Syarikat, Australia, Brunei, Canada, Chile, Jepun, Malaysia, Mexico, New Zealand, Peru, Singapura, dan Vietnam yang bakal muncul sebagai sebuah blok ekonomi terpenting di dunia, bagi menyaingi kebangkitan gergasi ekonomi dunia yang baru, iaitu Brazil, Rusia, India dan China (BRIC).

Tiadalah salah untuk Malaysia menjalin hubungan dagang dengan dunia luar, namun apa yang menjadikan TPPA begitu kontroversi adalah kerana skop perjanjiannya yang lebih komprehensif dan meluas, meliputi aspek harta intelek, tender kerajaan, syarikat berkaitan kerajaan, buruh, dan alam sekitar, berbanding skop ekonomi dan pelaburan yang terkandung dalam FTA biasa.

Secara keseluruhan, TPPA merangkumi 30 bab meliputi bidang tradisional dan bidang baharu. Ia mengandungi 6,350 muka surat - 595 halaman teks perjanjian, 5,755 halaman lampiran (annexes) berkaitan akses pasaran, syarikat milik kerajaan dan peraturan tempat asal, serta 20 surat sampingan (side letters) yang dipersetujui secara dua hala mengenai isu spesifik.

Hujah Dibalas Hujah

Saya mengucapkan tahniah sekiranya Yang Berhormat berkesempatan untuk mentelaah setiap 6,350 halaman perjanjian tersebut, kerana kami rakyat marhaen di luar ini bukan sahaja tidak berkesempatan, malah tidak berkeupayaan untuk memahami setiap terma yang digunakan dalam perjanjian yang serba mengikat ini.

Dalam memperhalusi kesan perjanjian yang serba mengikat ini, kerajaan hanya melantik konsultan untuk menjalankan kajian impak TPPA selepas rundingan dimuktamadkan pada 5 Oktober 2015, dalam keadaan tiada lagi pindaan yang dibenarkan pada teks perjanjian tersebut. Sewajarnya kerajaan menjalankan kajian sebelum rundingan ditamatkan, tetapi ternyata kita memilih jalan sebaliknya.

Kerajaan melantik sebuah firma audit antarabangsa, PriceWaterhouseCoopers (PWC) yang mengambil masa tidak sampai dua bulan untuk menjalankan kajian kos dan manfaat (Cost & Benefit Analysis) terhadap negara, dan merumuskan bahawa penyertaan Malaysia dalam TPPA akan membawa manfaat kepada ekonomi dengan peningkatan dalam pertumbuhan KDNK, pertambahan pelaburan serta import dan eksport.

Manakala sebuah badan pemikir tempatan, Institut Kajian Strategik dan Antarabangsa (ISIS) mengambil masa sebulan untuk menyiapkan analisa kepentingan negara (National Interest Analysis), dan menyimpulkan bahawa TPPA akan memberi kesan positif kepada kepentingan dan kedaulatan negara.

Malah kerajaan turut menangkis segala tohmahan yang menyatakan TPPA akan menggugat Agama Islam, Perlembagaan, Bumiputera, Keselamatan Makanan, Hak Cipta, dan Ubat-Ubatan.

Di pihak kerajaan pula, siri taklimat dan penerangan tentang TPPA giat dijalankan ke seluruh negara. Rakyat diberikan jaminan bahawa TPPA ini serba indah dan Malaysia bakal ditimpa malang sekiranya tidak menandatangani TPPA sekarang, sebagaimana yang terkandung dalam sesi taklimat Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA) bersama Ahli Parlimen bertarikh 12 Januari dan dokumen Jawapan Kepada Kebimbangan, Salah Faham dan Tuduhan bertarikh 11 Januari.

Tiga hujah yang dikemukakan oleh Kerajaan untuk menyokong penyertaan Malaysia ke dalam TPPA, dan wajar dinilai oleh Yang Berhormat, antaranya:

1. Peningkatan pelaburan yang menyumbang kepada pewujudan peluang pekerjaan.

- Menurut simulasi yang dijalankan oleh PWC, kesan TPPA kepada pertumbuhan ekonomi Malaysia tidaklah terlalu besar – hanya menyumbang kenaikan 1.1% KDNK dan kenaikan 0.9% eksport negara pada 2027, satu lonjakan yang sangat rendah dan tidak signifikan kepada ekonomi negara yang berkembang pada kadar 4%-6% setahun.

- Model ekonomi CGE yang digunakan oleh PWC mengunjurkan GDP akan meningkat sebanyak USD107-211 bilion dalam tempoh 10 tahun sekiranya Malaysia menyertai TPPA, atau hanya USD10 bilion setahun (RM40 bilion). Namun, jika andaian model CGE tersebut direndahkan daripada ‘baseline GDP growth’ 5.0% kepada 4.0% sebagaimana negara maju yang lain, peningkatan GDP Malaysia hanyalah pada kadar USD85-168 bilion, atau hanya USD8 bilion setahun.

2. Akses pasaran ke negara-negara ahli TPPA yang Malaysia belum ada FTA, iaitu Amerika Syarikat, Kanada, Mexico dan Peru.

- Hakikatnya, sebagaimana dilaporkan oleh kajian PWC, jumlah dagangan Malaysia ke Amerika Syarikat telah mencecah RM116 bilion dan dijangka terus meningkat, walaupun tanpa TPPA, bermakna lonjakan yang bakal diterima Malaysia adalah sangat minima.
 
- Malah, kajian PWC turut mengunjurkan nilai imbangan dagangan yang lebih rendah sekiranya Malaysia menyertai TPPA, pada kadar USD29.7 bilion berbanding USD42.3 bilion sekiranya tidak menyertai TPPA.

3. Integrasi lebih menyeluruh dalam rantaian bekalan di peringkat serantau dan global bagi perusahaan kecil dan sederhana (PKS).

- Selain TPPA, Malaysia sedang dalam proses rundingan empat FTA yang lebih meluas di peringkat serantau dan global, iaitu Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP) melibatkan kesemua 10 negara ASEAN dan enam rakan FTA ASEAN iaitu China, India, Jepun, Korea Selatan, New Zealand dan Australia; Malaysia-EU melibatkan  Malaysia dan Kesatuan Eropah yang terdiri daripada 27 buah negara; Perjanjian Perkongsian Ekonomi Malaysia - EFTA (MEEPA) di antara Malaysia dan European Free Trade Association yang terdiri dari Iceland, Liechtenstein, Norway dan Switzerland; dan ASEAN-Hong Kong melibatkan kesemua 10 negara ASEAN dan Hong Kong.

Selain itu, tiga hujah dikemukakan oleh kerajaan berkenaan kesan buruk sekiranya Malaysia tidak menyertai TPPA, dan wajar dibahas oleh Yang Berhormat, antaranya:

1. Malaysia akan kurang daya tarikan sebagai destinasi pelaburan bagi pelabur-pelabur yang mengeksport produk dan perkhidmatan ke pasaran TPPA.

- Realitinya, faktor utama yang menjadi daya tarikan sesebuah negara untuk menjadi destinasi pilihan pelabur adalah kestabilan politik, iklim pelaburan yang kondusif, dan kualiti modal insan tempatan, di samping karenah birokrasi dan amalan rasuah yang rendah.

- Antara indeks antarabangsa yang mengukur tahap dayasaing negara adalah World Competitiveness Ranking (IMD), Ease of Doing Business (World Bank), dan Corruption Index (Transparency International).

2. Syarikat-syarikat tempatan dan asing yang kini beroperasi di Malaysia mungkin akan mengecilkan skala operasinya.

- Kajian PWC mendapati tiga sektor yang bakal mendapat manfaat adalah perniagaan yang berorientasikan eksport seperti tekstil, komponen automotif, dan elektrikal & elektronik (dikuasai firma Amerika Syarikat dan Eropah).

- Manakala 3 sektor yang bakal mendapat kesan negatif adalah industri yang menghadapi persaingan yang lebih sengit pasca-TPPA seperti minyak & gas, minyak sawit, dan pembinaan, di mana sektor ini merupakan penyumbang utama kepada ekonomi negara dan dikuasai syarikat tempatan.

3. Malaysia akan berdepan dengan persaingan lebih sengit dari Vietnam dan Singapura dalam menarik pelaburan asing. Dan sekiranya Indonesia, Thailand dan Filipina memilih untuk menyertai TPPA kemudian hari, Malaysia akan ketinggalan lebih jauh.

- Elemen tariff dan duti hanyalah faktor sampingan yang menjadi pertimbangan pelabur, bukannya faktor penentu sebagaimana faktor kestabilan politik dan transparensi dalam pasaran tempatan.

Hakikat Globalisasi dan Penjajahan Moden

Menurut Syeikh Prof. Dr. Yusuf al-Qardhawi, pengertian Globalisasi (al-‘Awlamah) hampir sama dengan nilai Kesejagatan (al-‘Alamiyyah) yang dibawa oleh Islam, sebagaimana disebutkan dengan jelas dalam Al-Quran: “Dan tiadalah Kami mengutus kamu melainkan untuk (menjadi) rahmat bagi semesta alam” (Al-Anbiya’: 107).

Namun, menurut Syeikh al-Qardhawi, globalisasi dalam gambaran yang sangat ketara pada hari ini bererti membaratkan dunia (Westernisation) atau mengamerikakan dunia (Americanisation), dengan tujuan untuk menguasai dunia di bawah satu ungkapan yang lunak iaitu Globalisasi bagi menjayakan agenda pemaksaan pengaruh Amerika dan Eropah ke seluruh dunia.

Untuk makluman Yang Berhormat, perbahasan mengenai sikap dan pendirian Islam terhadap globalisasi moden ini telah dikupas dengan teliti oleh Datuk Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang (TGHA) di dalam kertas kerja beliau yang yang diterjemahkan daripada Bahasa Arab berjudul ‘Globalisasi: Pendirian Islam Mengenainya’, dibentangkan sempena Kolokium Antarabangsa Penyatuan Umat Sedunia di Tehran (Urusetia Penerangan Negeri Terengganu, 2003).

Di dalam kertas kerja tersebut, beliau telah menggariskan bentuk dan pendekatan globalisasi di zaman moden ini, seterusnya mengemukakan tindakan dan strategi yang perlu diambil oleh dunia Islam, dengan mengambil pandangan tokoh ilmuan Islam kontemporari, termasuklah Syeikh Prof. Dr.Yusuf al-Qardhawi, Prof. Dr. Najmuddin Erbakan, Syeikh Dr. Fathi Yakan, dan Syeikh Mohammad Hussin Fadlullah.

Antara sikap yang perlu diambil oleh Malaysia dalam menghadapi cabaran globalisasi ala-Barat dan ala-Amerika ini adalah membebaskan diri daripada penjajahan pemikiran sekular agar dapat kembali kepada agama pemahaman dan pelaksanaan Islam yang sempurna, serta mengurangkan pergantungan kepada Amerika dengan meningkatkan kerjasama sesama negara umat Islam dan negara serantau.

Sewajarnya Yang Berhormat menyarankan agar kepentingan Malaysia dilindungi secara bermasyarakat madani dikalangan negara serantau (ASEAN), negara satu umat dan seagama (OIC) dan juga satu kemanusiaan (NAM) dengan adil dan saksama, serta membebaskan Malaysia daripada bergantung dengan Dolar Amerika kepada Dinar atau mata wang Asia, tanpa bermusuh dengan sesiapa dan tidak berpihak kepada sesiapa.

Penutup

Berdasarkan pertimbangan di atas, jelas menunjukkan bahawa tiada keperluan untuk Malaysia terikat dengan perjanjian TPPA yang tidak menjamin kesejahteraan hidup rakyat, dan tidak membawa manfaat yang besar kepada ekonomi negara, berbanding risiko dan kerugian yang tidak dapat dipastikan.

Mungkin Yang Berhormat fikir saya ini seorang pesimis. Sebenarnya saya sangat optimis dan yakin akan kemampuan kita sendiri, khususnya kebolehan yang ada di kalangan generasi muda, yang akan mewarisi negara tercinta ini dan memimpinnya ke persada antarabangsa. – HARAKAHDAILY 21/1/2016

Share on Myspace