Sekadar mengenang hari pelik 26 Jan 2016

DATUK TUAN IBRAHIM TUAN MAN | .

 

Baru 10 hari yang lalu, Peguam Negara Tan Sri Mohamed Apandi Ali memulangkan kertas siasatan SPRM berkenaan siasatan yang melibatkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dalam skandal derma RM2.6 bilion dan SRC International Sdn Bhd.

Pelik #1: Apakah penambahbaikan atau penemuan baru dalam kertas siasatan SPRM terbarunya kepada Peguam Negara sehingga Peguam Negara dapat bertindak seperti Hakim Negara membuat deklarasi untuk tidak mendakwa PM semalam, tetapi tidak 10 hari yang lalu?


Pelik #2: Peliknya, jika 10 hari lalu, SPRM mendapati PM tidak melakukan sebarang jenayah, mengapakah Peguam Negara tidak mengumumkan PM bersih ketika itu?

Sebaliknya, jika 10 hari yang lepas SPRM mendapati PM mungkin telah melakukan jenayah tetiba menukar nada dalam laporan terbaru dan mendapati PM tidak bersalah, mengapa Peguam Negara tidak menghantar semula kertas siasatan kepada SPRM untuk mencari punca perbezaan hasil penyiasatan yang sebegitu ketara? Bukankah itu lagi pelik?

Peliknya, mengapa kertas siasatan yang membersihkan PM pula diterima bulat-bulat tanpa meminta siasatan lanjut dibuat?

Pelik #3: Peguam Negara tidak menolak perlantikan sebagai Pengarah Lembaga Tabung Haji yang boleh dipandang serong oleh masyarakat. Ini pelik. Apakah beliau tidak sensitif mengenai pentingnya jawatan Peguam Negara dilihat bebas ataupun beliau pun tidak cukup makan sehingga perlukan #2kerja?
 
Pelik #4: Peguam Negara menyatakan PM telah memulangkan RM2.03 bilion daripada RM2.6 bilion kepada pendermanya. Peliknya, Peguam Negara langsung tidak nyatakan dan mengambil kisah bagaimana RM570 juga telah dihabiskan PM. Apakah SPRM juga tidak menyentuh bab ini?
 
Pelik #5: Lembaga Tabung Haji semalam menegaskan bahawa ia tiada masalah kewangan. Malah, LTH mengingatkan para pendeposit, bahawa nilai Aset TH mestilah mengambil kira keseluruhan nilai saksama portfolio pelaburan TH. Ini adalah kerana nilai aset yang dinyatakan “tidak mengambil kira portfolio pelaburan seperti saham anak-anak syarikat atau syarikat bersekutu, serta aset perladangan dan hartanah yang diduduki TH.”

Peliknya kita mengikut logik TH, bukankah Bank Negara Malaysia boleh dikira sebagai menyibuk dalam menghantar satu surat kepada LTH bagi menyatakan nilai aset LTH lebih rendah daripada liabiliti jika TH tidak mengalami masalah?
 
Pelik #6: Lagi pelik kalau pakar-pakar di dalam Bank Negara Malaysia terlupa mengambil kira “portfolio pelaburan seperti saham anak-anak syarikat atau syarikat bersekutu, serta aset perladangan dan hartanah yang diduduki TH” ketika menghantar surat amaran sebegitu penting kepada kepada Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Jamil Khir dan Pengerusi TH Datuk Seri Abdul Azeez dan dicckan kepada Datuk Seri Najib Razak dan juga CEO TH Tan Sri Ismee? Atau sememangnya Bank Negara Malaysia sebegitu cuai?

Cuba bayangkan kalau Bank Negara Malaysia yang ‘cuai’ terlupa hantar surat kepada LTH, apakah yang bakal terjadi ke duit pendeposit hari ini?

Apapun tahniah TH, kerana menurut Bank Negara Malaysia, ia telah mengambil langkah pro-aktif bagi memperkukuh amalan pengurusan risiko untuk membolehkan ia mengekalkan kedudukan kewangan yang mampan dan sihat.

Sekadar mengenang hari yang pelik 26 Januari 2016.

Tuan Ibrahim Tuan Man
Timbalan Presiden PAS
27 Januari 2016 / 17 Rabiul Akhir 1437 - HARAKAHDAILY 27/1/2016

Share on Myspace