Tumbangkan kerakusan dan kezaliman

MOHAMMAD FAIZAL CHE YUSOF | .

HIMPUNAN bantah TPPA telahpun berlangsung dengan jayanya pada sabtu lepas, 23 Januari 2016. Tentunya ukuran kejayaan itu bergantung dari mana kita menilai sudut pandang.

Dari sudut Parti Islam Se-Malaysia PAS sendiri, himpunan itu telah cukup untuk memberi kepuasan kepada para penyokong dan pendokong PAS dari seluruh Negara. Bukan sekadar dari semenanjung, bahkan ada yang datang dari kepulauan Borneo, semata-mata ingin menyatakan kebersamaan mereka dengan PAS membantah TPPA.

Biarpun pada impian saya ingin lebih ramai badan-badan Masyarakat sivil yang menyertai himpunan yang menolak kerakusan TPPA itu turut serta, dari sudut pandang lain telah ada kekuatan yang terbina. Himpunan itu cukup jelas memberi suatu gambaran betapa pendokong PAS masih ada kekuatan tersendiri.

Kekuatan inilah yang ingin saya fokuskan dalam tulisan ini bagi memperkuatkan usaha kita menumbangkan kerakusan pemerintahan yang ada pada hari ini. Saya ketepikan segala cerita suka duka di sebalik kejayaan himpunan ini untuk membawa sekalian pendokong PAS fokus dengan gerak kerja mendatang.

Dalam menilai pelbagai kenyataan dan komitmen kerajaan Barisan Nasional hari ini, hampir pasti kerajaan 47% ini akan menandatangani perjanjian yang sebenarnya penjajahan terhormat dalam TPPA. Peringkat pertama iaitu menandatangani TPPA hampir pasti akan berlaku.

Sebaik negara menandatangani TPPA, akan ada satu proses lagi iaitu meratifikasikan penjajahan rakus Amerika melalui TPPA ini. Sebaik meratifikasikan TPPA, kerajaan Malaysia pada waktu itu tiada pilihan lagi selain akur dengan penjajahan terhormat ciptaan Amerika. Pada waktu itu, kita hanya mampu berputih mata dan menadah telinga derita daripada TPPA.

Justeru, usaha kita pada hari ini tidak mudah. Usaha kita untuk menghapuskan kerakusan pemerintahan hari ini cukup sukar dan mencabar. TPPA akan menjadi rangsangan paling ampuh untuk BN mempertahankan kerajaan yang ada dengan apa cara sekalipun.

Suasana geopolitik hari ini bukan lagi rahsia untuk sesebuah kerajaan mempertahankan parti pemerintah di sesebuah negara lain demi kelangsungan agenda mereka. Apa yang berlaku dengan skandal aliran dana 2.6b cukup untuk memberi kefahaman kepada kita permainan geopolitik hari ini.

Memandangkan medan yang kita sertai ialah medan pilihan raya, undi setiap pemilih berdaftar itu amat bernilai. Mahu tidak mahu, medan permainan ini perlu kita kuasai sehabis daya yang mampu.

Tingkatkanlah usaha mendekati rakyat dengan agenda berkebajikan. Fahamilah nilai negara berkebajikan yang sedang PAS pelopori sebelum dan sebaik pemerintahan dikurniakan Ilahi.

Cukupkanlah setiap jentera, petugas dan penggerak dengan ilmu yang mampu memahamkan rakyat agenda yang dibawa.

Itulah sebabnya pada waktu ini, kami di Lajnah Kebajikan dan Kemasyarakatan PAS Pusat giat menjelajah ke seluruh negara untuk memahamkan setiap penggerak lajnah peri penting memahami agenda negara berkebajikan yang PAS cetuskan sejak 2011 lalu. Buktikan betapa Islam itu bukan suatu retorik semata-mata bahkan ia benar-benar rahmat untuk kelangsungan kehidupan.

Jadikan himpunan bantah TPPA baru-baru ini sebagai pemanas badan untuk kita turun ke medan tempur yang menentukan jatuh bangun negara dalam pilihan raya yang akan datang. Rapatkan ukhuwah, giatkan usaha untuk mendaulatkan syariat Tuhan. – HARAKAHDAILY 27/1/2016

Share on Myspace