TPPA memudaratkan rakyat dan kedaulatan negara

USTAZ IDRIS AHMAD | .

TPPA, satu perjanjian yang mengikat dan mengunci negara kecil oleh negara maju melalui syarikat gergasi dari negara AS, Kanada dan Australia. Ia merupakan sebuah perjanjian mega yang terbesar di dunia.

Hampir tidak ada bidang dalam urustadbir negara yang tidak terkesan; tender kerajaan, status syarikat milik kerajaan, kuasa menggubal dan menguatkuasakan undang-undang, bekalan ubatan dan kos kesihatan, kualiti alam sekitar, pengambilan tenaga kerja professional, eksploitasi sumber bumi negara, kos sara hidup, perbankan, polisi kewangan, dasar pemeliharaan hak dan kedudukan bumiputera, status syariah dalam perundangan dan industri halal negara, kos pendidikan, kepentingan dan kedudukan usahawan tempatan, syarat dan peraturan pelaburan, kuasa legislatif dan kehakiman, kuasa agensi tempatan, peraturan tender dan pengambilan pekerja syarikat luar, regim percukaian, sosio-budaya dan pertahanan negara.

Pengakuan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamad menyatakan bahawa iamengambil masa dua tahun untuk meminda 26 undang-undang bagi memenuhi keperluan TPPA.

Antara perkara yang akan dipinda untuk Akta Buruh yang bakal melayakkan buruh asing menjawat jawatan tertinggi dalam kesatuan sekerja. Bukan mustahil satu hari nanti yang menjadi Ketua Union di kilang ialah Nepal, Myanmar, Bangla.

TPPA mempunyai peruntukan yang sangat lemah. Manakala syarikat perlombongan diberi kuasa untuk bertindak menyaman kerajaan yang menyekat perlombongan. Jika sebuah komuniti lokal menyekatkan aktiviti perlombongan, syarikat boleh mengeluarkan saman kepada kerajaan.

Menurut Persatuan Sahabat Alam atau Friends of the Earth (FOE) menyatakan TPPA memberi ruang sangat luas kepada aktiviti perlombongan kepada syarikat antarabangsa tanpa mengambil kira kesan kepada alam sekitar dinegara yang menyertai TPPA.

Matthew Rimmer, seorang profesor mengenai hak intelektual, undang-undang dan pakar polisi perdagangan dari Queensland University of Technology, Australia menyatakan perwakilan AS telah melakukan "greenwashing" ke atas TPPA iaitu mendakwa ia nampak seperti perjanjian yang mesra alam sekitar tetapi pada hakikatnya adalah perjanjian yang bakal menjejaskan alam sekitar dengan lebih parah.

Beberapa seksyen yang lain yang sangat berat kesannya ada kaitan dengan isu jenama, paten farmasi, perlindungan hakcipta dan "rahsia dagangan" (trade secrets).

Perjanjian itu antaranya akan melibatkan peraturan ubat generik yang murah dan mempunyai kandungan dan kesan sama dengan ubat asli. Ubat generik tidak lagi dibenarkan dijual di negara ini. Ini bermakna ubat hanya boleh dibeli secara langsung daripada syarikat farmasi asal yang akan menyebabkan kos ubat mahal di dalam satu tempoh. Ini berlaku kerana dalam perjanjian TPPA dalam hak harta intelektual ke atas ubat dikuatkuasakan untuk melindungi syarikat gergasi farmaseutikal antarabangsa.

TPPA dikuatkuasakan tarif dan kuota ini bakal dikurangkan sekaligus memberi kesan kepada pendapatan para petani. Begitu juga dengan tarif beras yang bakal dikurangkan selepas daripada TPPA ditandatangani sedangkan pada masa yang sama Amerika Syarikat yang mahukan beras dimasukkan dalam perjanjian ini tidak mahu mengurangkan subsidi yang diberikan kepada petani mereka.

Hal ini akan menyebabkan harga beras AS menjadi rendah daripada pasaran, sekaligus pendapatan para pesawah dalam negara akan terjejas di samping kesukaran menembusi pasaran negara lain. Tindakan ini jelas menguntungkan Amerika serta merugikan para pesawah padi di Malaysia.

Ya, bagus kerana kita dapat beras murah, dan berkualiti tetapi di manakah letak konsep food security. Rakyat akan makan beras AS yang murah dan sedap dan berkualiti. Mereka menjual harga murah kerana negaranya masih memberi subsidi.

Apa akan terjadi kepada rakyat Malaysia jika negara yang kita import beras mengalami masalah pengeluaran kerana bencana alam dan sebagainya.

Saya menegaskan TPPA memudaratkan rakyat dan kedaulatan negara dan wajib ditolak. - HARAKAHDAILY 27/1/2016

Penulis yang juga Ahli Parlimen Bukit Gantang turut menyentuh perkara di atas semasa membahaskan usul TPPA pada persidangan khas parlimen 26 Januari 2016.

Share on Myspace