Kesian Malaysia

DATUK TUAN IBRAHIM TUAN MAN | .

Tindakan Peguam Negara membersihkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak melalui kenyataan bahawa Najib telah memulangkan kembali wang derma yang diterima adalah ibarat menjirus air panas di atas luka pesakit kencing manis.

Walau selepas itu luka tersebut dibalut dengan pembalut, ia tidak membantu penyembuhan sebaliknya ia hanya mempercepatkan kaki dipotong.

Manakala tindakan Peguam Negara mengarahkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menutup kes berhubung dana derma RM2.6 bilion pula ibarat orang yang jack kereta yang pancit tayar sehingga kereta terbalik. Ia bukan dapat pujian sebaliknya mendapat cercaan dan kutukan orang ramai.  

Rakyat melihat adegan politik ini dengan dua watak di mana seorang bersikap seolah-olah macam badut manakala seorang lagi seperti Pak Pandir yang sedang cuba membuat rakyat merasa bodoh dan ketawa. Inilah keadaan sebenar negara yang amat menyayatkan hati semua.

Hari ini, negara diterajui oleh satu team barisan kepimpinan yang hanya fikir kepentingan peribadi bukan lagi masa depan negara. Mereka terlupa mereka juga mewakili orang Islam. Tindakan mereka hari ini menyebabkan orang Islam pada amnya merasa malu.

Tiada satu rakyat Malaysia yang berfikiran waras yang merasa bangga tentang kehebatan PM mendapat derma RM2.6 bilion. Kesemua mereka merasa mual dan jijik dengan apa yang berlaku.

Kepada para pemimpin Umno, tak marah ke, kalau dana yang sepatutnya digunakan untuk Umno, dipulangkan. Berapa kerat pemimpin dalam Umno yang tahu duit ini pernah datang dan kemudian dipulangkan? Bayangkan kalau baki RM2 bilion dibawa bincang di dalam Umno, apakah anda percaya ada siapa-siapa di dalam Umno yang sudi wang itu dikembalikan?

Yang mempercayai Peguam Negara dan PM hari ini mungkin tinggal para ahli Parlimen Barisan Nasional menyokong penuh Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA) tempoh hari.

Pada asalnya, PAS menjangka sekurang-kurangnya 10 ke 20 orang Ahli Parlimen BN yang akan membantah TPPA demi kedaulatan negara. Namun, apa yang berlaku sangat mengecewakan. Ahli Parlimen BN menyokong TPPA sebagaimana mereka merasakan tiada kepelikan dalam keputusan Peguam Negara.

Benarlah apa yang diungkap oleh pujangga: "kita hanya boleh mengharapkan keadilan daripada sistem dan pejuang yang adil” malangnya di Malaysia, kedua-duanya tiada. Yang ada hanyalah sekumpulan manusia yang diamanahkan rakyat berusaha mempertahankan karier politik seorang yang menerima dana RM2.6 bilion.

Bayangkan sebanyak 26 undang-undang yang terpaksa dirombak bagi disesuaikan dengan kehendak TPPA sedangkan akta yang ada tersebut digubal demi menjaga negara.

Kemelut yang melanda negara, nilai ringgit dan harga minyak yang lemah, bebanan ekonomi yang sedang ditanggung rakyat dan hilangnya daya saing negara kini menuntut rakyat bangkit membuat perubahan.

Sebagaimana yang kita ikrarkan dalam himpunan membantah TPPA di Padang Merbok jangan lagi memberi undi kepada mana-mana ahli parlimen yang menyokong TPPA, mari kita sama-sama gerakkan usaha dan gemblengkan tenaga bagi membangkitkan kesedaran rakyat demi masa depan negara.

Buat masa ini, negara tidak perlu dikejutkan dengan satu lagi skandal kewangan.

Oleh itu, buat Lembaga Tabung Haji (LTH), memandangkan LTH sedang menunggu keputusan Ketua Audit Negara sebelum memutuskan jumlah dividen dan bonus, saya menyarankan agar laporan audit Ketua Audit Negara terhadap LTH juga didedahkan dalam waktu tersebut.

Ini kerana penafian masalah LTH yang dibuat oleh ahli-ahli parlimen BN yang memacu LTH seperti Pengerusi Lembaga Tabung Haji Datuk Seri Azeez Abdul Rahim yang mempertahankan pembelian tanah TRX sudah tidak lagi akan diyakini rakyat.

Hanya dengan cara pengesahan kesihatan kewangan oleh Ketua Audit Negara dan juga Bank Negara Malaysia, keyakinan rakyat terhadap LTH akan dipulihkan selepas terjejasnya keyakinan mereka ekoran pendedahan surat amaran Bank Negara Malaysia yang telah diakui benar oleh Pengerusi LTH sendiri. Lebih elok, jika Pengerusi LTH tidak lagi dilantik daripada kalangan orang politik. - HARAKAHDAILY 29/1/2016

Penulis ialah Timbalan Presiden PAS.

Share on Myspace