Segalanya boleh, asalkan berkuasa

DATUK TUAN IBRAHIM TUAN MAN | .

Selain pertukaran Menteri Besar, sebenarnya banyak lagi polisi-polisi dan laungan yang lalu tidak lagi seiring dengan pentadbiran Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak perlu ditukar dengan kadar segera.

Antara slogan utama yang harus ditukar ialah slogan yang telah menelan duit beratus juta untuk dipromosikan: “1Malaysia: Rakyat didahulukan, pencapaian diutamakan.”

Inilah slogan keramat PM semasa beliau mengambilalih pemerintahan negara dari Tun Abdullah Badawi. 1Malaysia, yang sehingga kini tiada definisi khusus, telah diwar-warkan ke seluruh pelusuk negara, kelihatan sebagai satu konsep yang baru. Tidak berapa lama kemudian, terdedah rupa-rupanya ada slogan yang pernah digunakan di negara lain berbunyi 1Israel. Entah berapa banyak duit yang telah dihabiskan bagi menggaji syarikat asing untuk mempromosikan slogan 1Malaysia sehingga melenyapkan slogan Islam Hadhari yang menjadi wirid rakyat sebelum beliau.

Pelbagai tugu 1Malaysia dibina. Beratus ribu pakaian dan pelbagai tempat dicop lambang ' keramat' yang sinomim dengan nama PM. Cuma sekarang, dengan persepsi dunia terhadap PM sebegitu teruk, apakah logo ini petanda satu kejayaan atau kegagalan?

Hari ini, setelah hampir 8 tahun Najib menjadi PM, ternyata slogan ‘keramat’ itu hanya pemanis ucapan.  Tiada apa lagi yang boleh dibanggakan dengan apa yang dimaksudkan “rakyat didahulukan.“

Rupa-rupanya “rakyat didahulukan” bermaksud rakyat terlebih dahulu disembelihkan. Dalam isu ekonomi, rakyat dibebankan dengan GST meskipun rakyat berteriak sehingga bisu membantahnya. Ketika mempromosikan GST, Pak Menteri melawan arus dengan pendapat rakyat dan pakar ekonomi dan berhujah harga barangan akan turun. Tidak sampai setahun, rakyat terbukti benar dan apabila kos sara hidup naik tanpa terkawal, Pak Menteri pula menyarankan rakyat membuat dua kerja. Rakyat diseru berjimat namun Jabatan Perdana Menteri mendapat peruntukan bertambah saban tahun. Tidak syak lagi, ini maksud sebenar “rakyat didahulukan.”

Lihatlah projek terbaru PM di Kedah pula. Umum mengetahui, rakyat selesa dengan kepimpinan Mukhriz. Namun dalam prinsip “rakyat didahulukan” PM, bantahan daripada rata-rata rakyat yang menyokong Mukhriz diketepikan begitu sahaja. Konsep “kroni diutamakan, dendam politik didahulukan”, kehendak sebilangan pemimpin BN terus mengatasi kepentingan rakyat. Terbukti lagi bahawa slogan “rakyat didahulukan” sekadar slogan kosong.

Masih ingatkah projek PM satu lagi yang menjanjikan kehidupan yang lebih baik buat peneroka iaitu FGV? Saham yang dijual pada harga asal RM4.55 seunit kini hanya tinggal RM1.64. Berapa ramai peneroka yang diberi harapan tinggi bahawa saham ini akan membawa kemewahan kepada mereka sehingga mereka sanggup berhutang untuk membeli saham ini ketika itu? Ada sesiapa yang mengambil tahu kepada mereka tatkala FGV terus menyepi bagaikan tiada apa-apa yang berlaku?

Itu baru peneroka. Bayangkanlah pula kehidupan penoreh getah yang terpaksa merintangi harga getah di bawah paras RM2 sekilo yang kini masuk tahun ketiga. Ada sesiapa yang peduli? Barangkali, inilah bukti rakyat memang “didahulukan”.

Hari ini perjanjian TPPA ditandatangani di New Zealand. Gambar Tok Pa menurunkan tandatangan disebar merata. Seperti GST, TPPA diwar-warkan baik untuk rakyat. Siapa pula yang akan bertanggungjawab nanti kalau Pak Menteri terbukti silap lagi seperti GST yang didakwa akan menurunkan harga barangan? Inilah maksud slogan “rakyat didahulukan.” Bertempiklah rakyat di Padang Merbok, Dataran Merdeka dan seluruh negara, namun suara rakyat terus tenggelam ditelan kehendak pemimpin BN.

Apakah erti "rakyat didahulukan", andainya semua bantahan, teguran memorandum rakyat langsung tidak dipedulikan. Lebih malang, rakyat terus diperbodohkan dengan pelbagai kenyataan menteri dan para pengampu yang mendahagakan belas kasihan bosnya supaya nasibnya tidak menjadi seperti Tan Sri Muhyiddin Yassin mahupun Mukhriz.

Selain “rakyat didahulukan”, PM juga mencanangkan slogan “pencapaian diutamakan.”

Entahlah apakah pencapaian negara yang diutamakan PM selama ia menjawat PM? Jika dilihat dari sudut daya saing ekonomi, Malaysia terus jatuh berbanding negara jiran. Kalau dilihat dari sudut Ringgit, Malaysia mengalami kejatuhan paling teruk di rantau ini. Hutang negara pula tidak pernah turun malah kini mencecah RM600 bilion. Apakah ini juga intipati “pencapaian diutamakan”?

Ataupun rakyat perlu menilai “pencapaian diutamakan” pada badan PM. Kalau rakyat menilai dari sudut skandal, skala liputan skandal kewangan 1MDB boleh dikatakan telah menjadi skandal kewangan tersensasi seluruh dunia. Apakah ini pencapaian yang telah diutamakan?

Jika dilihat dari sudut derma dan pulangan derma, PM sebagai seorang pegawai kerajaan barangkali adalah penerima jumlah dana derma terbesar RM2.6 bilion dan pemulang derma yang terima pertama di dunia. Apakah ini pencapaian yang dikejar?

Jika kehebatan berpolitik dijadikan ukuran, PM sememangnya terkenal hebat kerana masih terus menjadi PM meskipun namanya terpalit dengan pelbagai skandal yang dianggap memalukan negara. Bayangkan kalau di sini ialah Jepun mahupun Korea Selatan, sudah berapa kali PM meletak jawatan. Barangkali inilah maksud sebenar pencapaian yang diutamakan PM?

Hari ini, rakyat Malaysia sudah hampir boleh melupakan cita-cita Wawasan 2020, yang semakin jauh daripada Malaysia. Ia telah menjadi wawasan yang kosong terutamanya apabila fokus pembangunan telah lari dari sasaran yang telah dirancang dan dikeldaikan untuk mengkayakan diri sendiri.

Memandangkan slogan 1Malaysia: “Rakyat didahulukan, Pencapaian diutamakan” sudah tidak lagi sesuai dan dapat dihayati rakyat – eloklah PM juga membuat pengubahsuaian kepada slogan keramatnya sebagaimana pengubahsuaian terhadap Bajet 2016. Sekadar cadangan – cubalah slogan “Segalanya Boleh, Asalkan Berkuasa” – saya boleh jamin rakyat Malaysia pasti dapat menghayatinya dengan penuh mendalam.

Tuan Ibrahim Tuan Man
Timbalan Presiden PAS - HARAKAHDAILY 5/2/2016

Share on Myspace