Gala Aspirasi Seni 1.0 melonjakkan hiburan Islami

DR RIDUAN MOHAMAD NOR | .

MENGEMUKAKAN kesenian Islam sebagai alternatif kepada masyarakat moden yang telah terbiasa dengan hiburan sensasi, ranggi, bernuansa Barat serta jauh daripada panduan patuh Syariah adalah satu cabaran. Islam datang merengkuh manusia dengan pakej yang lengkap, meliputi dan sesuai dengan fitrah manusia yang seimbang.

Tanpa menolak keinginan manusia untuk berhibur dalam batas-batas sempadan yang diizinkan. Batas dan nuansa inilah yang membezakan artis jahiliah, an-Nadhar bin al-Harith dengan seniman Islami, Hassan bin Tsabit dalam fasa Makkah, juga penghibur arogan Yahudi, Ka'ab bin Asraf versus Abdullah bin Abi Rawahah dalam fasa Madinah yang bersimbah cahaya hidayah.

Islam menolak hiburan yang memuja nafsu serta memicu kehidupan bobrok, melalaikan serta menjauhkan manusia daripada al-Khalik. Fitrah manusia yang ingin berhibur dimanfaatkan dengan baik oleh ilmuwan Islam di sepanjang zaman.

Medium popular ini digunakan untuk membentuk cara fikir, menyuntik kesedaran bahkan memugar semangat perlawanan untuk membentengi agama dan paling penting ialah mengajak manusia untuk hidup bertuhan.

Alam Nusantara di awal kedatangan Islam menjadi saksi sejarah bagaimana kegeniusan ulama menukar bentuk hiburan masyarakat nusantara yang telah mengalami zaman Indianisasi dalam tempoh yang panjang.

Hiburan lisan bersendi mitos khayalan seperti Hikayat Awang Sulong Merah Muda bertukar dengan kisah kepahlawan Islam seperti 'Hikayat Muhammad Ali Hanafiah', 'Hikayat Amir Hamzah' dan sebagainya. Begitu juga di ranah Jawa dengan kegeniusan Wali Songo menukar Epik Mahabrata, Ramayana dengan kisah kepahlawan Islam melalui medium hiburan wayang kulit.

Zaman edan ini menyaksikan bagaimana medium hiburan digunakan untuk menjauhkan umat Islam daripada Tuhan. Protokol Zionist mensasarkan hiburan sebagai senjata ampuh mereka, menguasai buana ini dengan cara hidup hedonis, bohemis dan bertuhan hawa nafsu serakah.

Budaya pop yang menyerang umat dalam dekad 60-an, seterusnya woodstock yang menaufan anak muda, juga akhirnya puluhan genre lain yang membuahkan hidup gembira tanpa batas.

Tak kepalang kerosakan yang terhasil daripada budaya hedonisme akibat seni yang bercanggah dengan Islam. Ummah terlalai dalam anggukan keseronokan tanpa nilai. Maka kumpulan Islam wajib mengetengahkan hiburan alternatif yang jauh mendidik dan mengisi nurani masyarakat yang makin tempang.

Kehadiran program Gala Aspirasi Seni 1.0 adalah antara projek mengarusperdanakan hiburan Islam. Program yang akan berlangsung pada 20 Februari ini akan menampilkan puluhan penghibur Islam tanah air dengan dokongan kuat Pusat Zakat Selangor, kumpulan-kumpulan bercitra Islam, JAIS, usrah anak-anak seni.

GAS 1.0 ini juga menampilkan ramai selebriti dakwah tanah air yang akan berganding bahu dengan penggiat seni Islam tanah air. Gerak sepak mula Shah Alam ini akan menjalar ke seluruh negara kita sebagai usaha dakwah yang komprehensif.

Jom kita memeriahkan GAS 1.0 ini, bawa bersama ahli keluarga, teman-teman, jiran tetangga anda. Kami menjanjikan kelainan dan nafas baru dalam hiburan kontemporari. – HARAKAHDAILY 5/2/2016

(Penulis ialah pendokong kesenian Islam tanahair, pendakwah dan penulis)

Share on Myspace