Cadangan balas buat Peguam Negara

HARAKAHDAILY | .

 

Pada asalnya skandal RM2.6 bilion ini hanya melibatkan PM. Kini, ia dilihat telah melibatkan Peguam Negara sekali semenjak Peguam Negara ‘membersihkan’ nama PM dalam skandal derma RM2.6 bilion dan SRC International.

Lihat kekerapan Peguam Negara muncul di media menjadi jurucakap dalam kes derma RM2.6 bilion yang terbukti belum berakhir meskipun beliau telah mengakhirinya tanpa melibatkan mahkamah.

Gelagat Peguam Negara sehingga terpaksa mendedahkan bahawa seorang putera kepada Almarhum Raja Abdullah Abdulaziz Al Saud adalah individu yang menderma RM2.6 bilion telah menimbulkan kejanggalan pada pandangan rakyat kerana beliau dilihat berlebih-lebih tatkala PM yang dituduh menerima dana RM2.6 bilion langsung tidak membuat sebarang penjelasan.

Terbaru, media melaporkan bahawa Peguam Negara Tan Sri Mohamad Apandi Ali sedang menimbang untuk meminda undang-undang bagi meningkatkan hukuman ke atas mereka yang membocorkan rahsia negara dan wartawan yang melaporkannya.

Tidak dinafikan bahawa soal amanah dalam menjaga rahsia sesebuah organisasi dan negara adalah amat penting. Namun, bagi mereka yang membocor rahsia atas prinsip ‘amal makruf nahi mungkar’ adalah jauh lebih mulia daripada mereka menggunakan “rahsia” sebagai alasan untuk tidak mengambil sebarang kesalahan yang telah berlaku.

Oleh itu, saya menyarankan agar Peguam Negara menimbangkan dahulu meminda undang-undang agar mereka yang melindungi pesalah boleh dihukum penjara seumur hidup. Elok juga kalau Peguam Negara dapat mengkaji semula hukuman terhadap mereka yang diberi amanah tapi terbukti melakukan salahguna kuasa dan rasuah sehingga merosakkan nama baik negara agar mereka juga dihukum penjara seumur hidup.

Kesemua institusi pihak berkuasa hanya boleh berfungsi sebagai ‘check and balance’ kepada badan eksekutif sekiranya Jabatan Peguam Negara dapat mengekalkan kebebasan dan integritinya. Tanpa Jabatan Peguam Negara yang bebas dan adil, maka akan hancurlah integriti negara.

Susah bagi Peguam Negara untuk menafikan bahawa keputusan beliau berhubung skandal RM2.6 bilion telah menyebabkan imej dan kebebasan Jabatan Peguam Negara diragui oleh rakyat.

Peguam Negara perlu bersifat adil dan juga kelihatan adil. Malangnya, rakyat berpendapat bahawa kedua-dua elemen ini tiada pada Peguam Negara.

Oleh itu, PAS mencadangkan agar Peguam Negara menumpukan tenaga untuk memulihkan imej jabatannya daripada membazirkan masa memikirkan bagaimana untuk menyelamatkan pihak tertentu dengan idea-idea tidak membantu seperti penjara seumur hidup kepada wartawan yang melaporkan rahsia yang dibocorkan.

Buat Peguam Negara, ingatlah pesanan Rasulullah di dalam satu hadith yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah r.a.

Ketika Rasulullah S.A.W. menyampaikan khutbah, tiba-tiba masuk seorang badwi dari padang pasir yang jauh, terus bertanya kepada Rasulullah. "Wahai Rasulullah, bilakah berlakunya kiamat?" Rasulullah S.A.W menjawab: "Apabila dipersia-siakan amanah."

Dunia akan kiamat dan dihancurkan oleh Allah, menjadi punah ranah apabila amanah dikhianati, dipersia-siakan dan dipermain-mainkan. Lalu Badwi itu bertanya: "Bagaimanakah mempersia-siakan amanah itu wahai Rasulullah? Jawab Rasulullah S.A.W.: "Apabila diserahkan urusan kepada orang yang bukan ahlinya, maka tunggulah kehancurannya (berlaku kiamat)."

Begitulah apabila kita mengkhianati amanah, menyalahgunakan umur, kesihatan, harta, pangkat dan segala perkara yang diberikan oleh Allah S.W.T., dengan tidak mengikut perintah Allah S.W.T. Ingat bahawa semuanya akan dikira oleh Allah S.W.T. Tiap-tiap orang dimatikan, tidak ada orang yang boleh menyelamatkan dirinya daripada mati. Mereka akan dibangkitkan semula dan dibicarakan di hadapan Allah S.W.T.

Tuan Ibrahim Tuan Man
Timbalan Presiden PAS
7 Februari 2016 / 28 Rabiul Akhir 1437 - HARAKAHDAILY 7/2/2016

Share on Myspace