Pelaksanaan DLP perlu penelitian semula

HARAKAHDAILY | .

 

DEWAN Pemuda PAS Malaysia (DPPM) menggesa kerajaan supaya meneliti semula perlaksanaan Program Dwi Bahasa (DLP) yang mula dilaksanakan projek rintisnya di 300 buah sekolah rendah dan menengah kebangsaan bermula Januari 2016.

Meskipun memahami keperluan bagi penguasaan terhadap Bahasa Inggeris merupakan sesuatu yang mustahak, namun, perlaksanaan DLP akan lebih memberi kesan negatif terhadap sosio-ekonomi dan kesenjangan taraf hidup masyarakat di bandar dan luar bandar.

Ia juga dipercayai akan membentuk dua aliran dalam sistem pendidikan negara dengan sekolah-sekolah elite dan bandar sudah pasti lebih cenderung menggunakan Bahasa Inggeris seterusnya meletakkan sekolah yang menggunakan Bahasa Melayu di bahagian luar bandar sebagai "kelas kedua".

Dengan kedudukan Bahasa Melayu yang semakin terpinggir dalam masyarakat hari ini akibat faktor globalisasi, program DLP dipercayai akan lebih menenggelamkan fungsi dan peranan Bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi kebangsaan.

Justeru, penilaian semula terhadap perlaksanaan DLP adalah amat wajar dan mustahak.

Pihak yang bertanggungjawab seharusnya lebih peka dan melakukan penelitian yang meluas bagi melaksanakan perubahan terutamanya melibatkan aspek pendidikan.

Ini kerana pendidikan adalah teras dalam sesebuah negara yang akan membentuk generasi pelapis pada masa akan datang.

NIK MOHAMAD ABDUH NIK ABDUL AZIZ
Ketua DPPM / Ahli Parlimen Pasir Mas - HARAKAHDAILY 17/2/2016

Share on Myspace