Pekerja asing: Rakyat malas atau pemimpin pemalas?

USTAZ IDRIS AHMAD | .

 

Isu pengambilan 1.5 juta pekerja asing menjadi panas ketika kuasa membeli rakyat semakin mengucup. Kadar tukaran wang semakin kecil.

Pengangguran di kalangan rakyat Malaysia terutama siswazah sudah mencecah 70,000. Hutang isi rumah meningkat. Rungutan meningkat harga barang sejak GST diperkenalkan telah menjadi perbualan hangat, termasuk dalam kalangan penyokong tegar Umno.

Pekerja asing sudah mencecah hampir 7 juta, yang daftar hanya 2.1 juta. Adakah munasabah rakyat 30 juta, buruh asing 7 juta? Ertinya hampir 21 peratus pekerja asing daripada penduduk negara ini. Cerdikkah pemimpin negara ini? Kenapa perlu ambil lagi 1.5 juta pekerja asing

Benarkah rakyat Malaysia malas? Benarkah rakyat Malaysia tidak bertenaga? Benarkah rakyat Malaysia manja? Mungkin ada segelintir yang bersifat demikian. Mana negara pun ada rakyat yang malas. Majoritinya masih rajin. Telahan boleh dibuat ialah pemimpin yang malas berfikir untuk kesenangan rakyat dan menjadi pemudah cara untuk kesenangan rakyat, bukannya rakyat yang malas.

Musibah yang menimpa negara apabila mendapat pemimpin yang malas berfikir untuk kebaikan rakyat supaya kualiti hidup rakyat dapat ditingkatkan.

Mungkin negara perlu buruh asing untuk kerja 'kotor, bahaya, berat'. Adakah benar semua rakyat Malaysia tidak mahu bekerja dalam sektor 3D (dirty, difficult, dangerous)?

Pemimpin negara ini boleh pergi tunggu di Tambak Johor pada waktu pagi, berpuluh ribu rakyat Malaysia bekerja di Singapura. Adakah rakyat Malaysia pemalas? Sudah tentu ada sebabnya mereka ke Singapura. Tidak lain dan tidak bukan kerana kadar upahnya tinggi.

Jika gaji diberi sesuai dengan taraf hidup, maka rakyat Malaysia sanggup bekerja walaupun dalam sektor 3D. Pengalaman saya melihat pekerja di R&R Bukit Gantang majoriti yang bekerja di situ ialah penduduk tempatan daripada tukang cuci hingga pelayan kedai makan. Kenapa mereka mahu bekerja di situ, jawapannya kerana diberi peluang.

Kalau membuat tuduhan rakyat negara ini malas dan tidak mahu bekerja. Maka inilah tugas kerajaan untuk melatih dan memberi motivasi supaya mereka ini bekerja.

Sebenarnya tidak rugi jika kerajaan menetapkan gaji minimum yang selesa untuk menarik minat rakyat di negara ini bekerja. Mereka akan berbelanja di dalam negara ini juga. Ini baik untuk perkembangan ekonomi.

Apa makna kita menggajikan warga asing dan mereka menghantar wang dan tidak berbelanja di negara ini. Adakah baik untuk negara? - HARAKAHDAILY 19/2/2016

Penulis ialah Naib Presiden PAS yang juga Ahli Parlimen Bukit Gantang.

Share on Myspace