Kontroversi pekerja Bangladesh: Mesyuarat kabinet berfungsi ke tidak?

HARAKAHDAILY | .

Kontroversi kemasukan 1.5 juta pekerja Bangladesh yang berakhir dengan pembekuan pengambilan warga asing serta-merta oleh Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi amat memalukan kerana ia mendedahkan betapa lemahnya kepimpinan kabinet Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

Penerangan Menteri Sumber Manusia Datuk Seri Richard Riot yang menjelaskan bahawa jumlah 1.5 juta yang dinyatakan oleh TPM adalah pekerja yang berdaftar dengan kerajaan Bangladesh untuk dihantar ke-139 negara yang memerlukan khidmat mereka lagi mengejutkan. Ia cukup berbeza dengan apa yang dinyatakan TPM sebelum ini di mana kerajaan akan membawa masuk sejumlah 1.5 juta tenaga kerja Bangladesh secara berperingkat dalam tempoh 3 tahun.

Lebih mengejutkan graduan Oxford dari Umno juga merasakan apa yang diutarakan TPM sebelum ini itu munasabah.

Kenyataan TPM hari ini datang sehari selepas Najib memberitahu wartawan di Amerika Syarikat bahawa beliau akan berbincang dengan timbalan beliau mengenai kemasukan 1.5 juta Bangladesh.

Ini menimbulkan persoalan – apakah menteri-menteri ini menghadiri mesyuarat kabinet? Apakah perkara sebesar ini dibincang di dalam kabinet? Jika tidak, apa yang dibincang di dalam kabinet sebenarnya dalam setiap kali mesyuaratnya? Apakah yang cuma dibincang ialah strategi mempertahankan kedudukan Najib sebagai PM?

Apa yang berlaku dalam kontroversi kemasukan 1.5 juta pekerja Bangladesh ini, saya percaya, adalah hasil daripada tindakan mempertahankan PM dalam episod 1MDB dan juga derma RM2.6 bilion sehingga ia menjadi satu budaya dalam Umno BN.

Apa yang disebut oleh pihak atasan diterima bulat-bulat tanpa soal ibarat lembu dicucuk hidung. Apabila pihak atas membuat kesilapan yang terang-terang, tiada siapa yang berani memperbetulkannya sehinggalah nasi menjadi bubur seperti apa yang dilakukan oleh Richard Riot hari ini.

Lebih besar lagi, kontroversi kemasukan 1.5 juta pekerja Bangladesh ini, menonjolkan bahawa PM tiada masa menguruskan negara kerana disibukkan mempertahankan diri. Ahli-ahli kabinet pula turut serta dalam kerja mempertahankan bos sehingga alpa dengan kerja sendiri.

Apa yang rakyat boleh harap lagi daripada kabinet yang gemuk tapi kurang berfungsi ini?

Tuan Ibrahim Tuan Man
Timbalan Presiden PAS
19 Februari 2015 - HARAKAHDAILY 19/2/2016

Share on Myspace