Setahun Pemergian TGNA: Kelebihan Seterang Rembulan

NIK MOHAMAD ABDUH NIK ABDUL AZIZ | .

Minggu lepas, sempena genap setahun pemergian almarhum ayahanda Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz bin Nik Mat menemui Penciptanya, ramai rakyat Malaysia, terutama anak-anak muridnya yang menzahirkan rasa kehilangan dan kesedihan melalui doa-doa yang baik untuk al marhum. Ada juga yang menitipkannya melalui tulisan yang bagus dan menarik.

Saya dan seluruh keluarga al marhum mengucapkan banyak-banyak terima kasih. Semoga Allah mengurniai yang sama untuk kita semua. Hidayah, rahmat, keampunan, tutupan aib dan tingkatan darjat adalah impian paling besar setiap kita.

Saya pula banyak bermusafir ke sana ke mari sehingga tidak sempat menulis sesuatu sebagai kenangan dan amal soleh untuk dikongsi bersama pembaca yang budiman. Mengingati sejarah kehidupan dan qudwah orang-orang alim dan para pejuang ugama adalah satu sunnah yang baik dalam kehidupan umat Islam.

Tiada yang bernilai sunnah pada genap setahun kematian itu. Saya berdoa buat ayahanda setiap hari. Setiap hari dan setiap masa adalah penting untuk saya menyahut peringatan dan janji indah Rasulullah sallaLlahu alaihi wasallam buat mana-mana ibu bapa yang berjaya mendidik anak-anak mereka menjadi insan yang soleh. Anak yang soleh, antara kerjayanya setiap hari adalah berdoa buat kedua ibu bapa mereka sama ada yang masih hidup ataupun yang telah mati.

Dalam ugama, tiada ketetapan hari-hari tertentu untuk mengingati kematian keluarga atau sesiapa dengan doa dan hadiah khas buat mereka. Nilai dan kelebihan masa hanyalah untuk yang masih hidup. Yang masih hidup, bolehlah mencari hari-hari kelebihan untuk diri mereka.

Yang telah pergi menemui pencipta, yang bernilai bagi mereka adalah apa yang mereka kumpulkan di dunia untuk dibawa ke alam barzakh. Antara yang paling berharga buat mereka adalah anak-anak yang soleh yang setiap hari dan masa akan berdoa untuk kesejahteraan ibu bapa mereka di sisi tuhan. Bagaimana pula jika dibayangkan berpuluh atau beratus ribu yang berdoa sebagai hadiah anak murid kepada tuan guru mereka yang telah pergi?

Cuma setahun adalah sebagai petanda perjalanan masa. Ditanda umur yang meningkat sebagai peringatan dan tazkirah. Kematian di hadapan semakin mendekati. Lari daripada kematian adalah menuju kematian. Justeru sebagai ingatan yang berguna buat yang hidup, elok juga saya paparkan beberapa butiran bernilai emas permata sebagai tribut buat ayahanda, susuk tubuh hebat yang telah meninggalkan kita setahun yang lepas.

Ulama berkata, tuah dan kelebihan besar seorang hamba Allah adalah apabila dia dikurniakan dengan tiga kelebihan yang disatukan.

Pertama, dia dikurniakan ilmu yang tinggi. Dengannya dia mengenal Allah dan kehidupan di dunia dan akhirat secara makrifat yang benar.

Kedua, dia dikurniakan kebolehan dan kepetahan bercakap yang hebat. Dengannya dia dapat mengajar ilmu dan berdakwah dengan lebih berkesan.

Ketiga, dia dikurniakan rasa keinginan, iradah atau kehendak yang tinggi. Dengannya dia membina tekanan dalam diri untuk menyampaikan ilmu dan melaksanakan tanggungjawab dan amanah ugama sesempurnanya. Inilah kelebihan yang paling diperlukan oleh setiap pendakwah dan pejuang.

Anda perhatikan, ada yang ilmunya tinggi tetapi tiada kebolehan untuk bercakap dengan baik. Ilmunya gagal diperolehi manusia. Lidahnya gagal memahamkan manusia.

Anda juga yang petah dan mahir bercakap tetapi ilmunya sedikit. Justeru walaupun dia mampu memahamkan manusia dengan mudah, tetapi dia sendiri kekurangan bekalan ilmu untuk diberikan.

Ada pula yang dikurniakan kedua-duanya, tetapi iradah dan kehendaknya pula kurang. Dia tiada tolakan dan rangsangan dalaman yang memaksanya untuk turun ke medan ilmu dan dakwah sebagai memenuhi tuntutan kewajiban dan amanah ugama. Justeru penyampaian ilmunya tidak disulami keikhlasan dan rasa tanggung jawab ugama.

Lebih malang, ada orang alim yang begitu petah bercakap, tetapi hanya wang dan harta duniawi yang menjadi perangsangnya untuk turun ke medan. Maka kesannya teruk dan keberkatannya hilang dan cacat.

Rasulullah telah dikurniakan ketiga-tiga kelebihan di atas. Dengan ilmu yang memuncak, kepetahan lidah yang memuncak dan iradah yang memuncak, baginda adalah sebaik-baik insan dan sebaik-baik qudwah dan ikutan sepanjang zaman.

Daripada kalangan para sahabatnya yang mulia, ada yang dikurniakan ketiga-tiga kelebihan di atas dan juga yang sebaliknya. Begitulah para ulama dan pejuang yang datang selepas mereka. Masing-masing dengan kelebihan masing-masing dengan kehendak dan izin Allah.

Adakah anda dapat merasakan tuah dan kelebihan yang dimiliki oleh al marhum Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat adalah kurniaan Allah ke atasnya dengan ketiga-tiga kelebihan tersebut?

Ya, saya mendapatinya begitu. Sejarah jihadnya menuntut ilmu sedari zaman remajanya dan istiqamahnya mencintai ilmu sehingga akhir hayatnya adalah persaksian jelas yang mengesahkan ketinggian ilmunya. Itu belum lagi dilihat kepada keupayaannya mengulas hal-hal kehidupan duniawi dan ukhrawi dengan cukup mendalam.

Saksikan juga keupayaan al marhum berhujah dan bersilat tari dalam menyampaikan ilmunya kepada kita semua. Ia begitu jelas, mudah, segar dan meyakinkan. Saya sering medengar kalangan pendamba ilmu ugama yang mengatakan bahawa kepetahan dan kekuatan berhujah al-marhum tuan guru adalah begitu unik dan sukar dicari ganti. Begitulah persaksian terhadap kelebihan kurniaan Allah yang dimilikinya.

Begitu juga perihal keinginan, iradah dan kehendaknya yang membuak-buak untuk melaksanakan tanggung jawab dan amanah sebagai tuan guru, pendakwah dan pemimpin. Siangnya adalah dakwah dan jihad. Malamnya adalah kuliah dan tahajjud. Mudanya adalah kekuatan. Tuanya adalah ketinggian. Sunyinya adalah tafakkur. Bisingnya adalah hujah dan ilmiah.

Dalam bahasa mudah, Tuan Guru adalah seorang mujahid agung yang hidup matinya adalah demi perjuangan yang diimani dan dicintainya. Sebagai balasan yang nyata, Allah mengurniai beliau dengan darjat 'istiqamah' di atas jalan perjuangan sehingga akhir hayatnya.

Pada hari terakhirnya di dunia, saat al marhum melangkah ke alam barzakh, seluruh makhluk Allah berkabung di atas pemergiannya yang telah menghidupkan kembali jutaan hati manusia untuk turut beriman dan mendukung perjuangannya menegakkan ugama Allah di muka bumi.

Itulah kelebihan Allah yang dikurniakan kepada sesiapa saja yang dikehendakinya. Justeru adalah sayugia sekali sejarah hidup tuan guru Nik Abdul Aziz Nik Mat dan perjuangannya digali dan diangkat sebagai qudwah untuk kehidupan setiap kita. Begitu juga para pejuang ugama tanah air yang lain yang telah pergi meninggalkan kita. Ia adalah khazanah umat Islam yang mesti dipugar dan diteladani.

Bergembiralah kita yang telah dikurniakan seorang guru dan pemimpin yang hebat sepertinya. Semoga kita dapat menumpang pada ilmu dan perjuangannya. Semoga kehidupan kita dan umat Islam terus diserikan dan disinarkan dengan kehadiran para ulama yang menjadi cahaya yang terpantul dari benderang cahaya al-Quran dan cahaya nabi agung sallaLlahu alaihi wasallam.

* Artikel adalah untuk siri kolum 'Terang Rembulan' akhbar Harakah.

Share on Myspace