Harap 3.3, sokongan rakyat makin kukuh terhadap PAS

AHMAD AMZAD HASHIM | .

PENDEKATAN Politik Matang dan Sejahtera PAS semakin memberi mesej kesediaan PAS mengambil alih teraju kepimpinan negara.

PAS telah membuka kerjasama dengan pelbagai NGO yang mewakili aspirasi pelbagai kelompok rakyat. Kongres Rakyat menjadi platform yang punya keperkasaan tersendiri.

PAS telah memecahkan tembok beku dan prejudis kepartian dengan seruan persaudaraan kepada ahli Umno untuk menggabungkan diri dengan PAS dalam menjayakan agenda pembaikan negara demi agama, bangsa dan tanah air.

Seruan PAS bahawa ahli Umno adalah saudara seIslam kita juga yang perlu diperbaiki hubungan demi maslahah dakwah, manakala yang kita tentang dan lawan adalah parti Umno yang membawa dasar perjuangan yang salah dan kini telah mengakarbudayakan segala macam mungkar seperti rasuah, kezaliman, pemborosan sebagai satu norms/ kebiasaan yang tidak lagi dipandang salah pada neraca Umno.

PAS melalui kepimpinan Presidennya, Datuk Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang memberi mesej yang penting diperingkat global tentang kepentingan mengenepikan perbezaan mazhab, puak dalam rangka mempertahan dan mendaulatkan Islam.

DS TGHH menegaskan ancaman sebenar adalah agenda didalangi zionist, negara barat yang mengkucar kacirkan umat Islam dengan mengapi-apikan perbezaan. Mereka menyebar kekeliruan dalam kalangan umat Islam dengan penyebaran fahaman liberal, pluralism, feminism dan seumpamanya.

DS TGHH memberi isyarat solidariti dikalangan semua penggerak dakwah Islam bila menyatakan penghargaan kepada daya usaha dan sumbangan Jamaah Tabligh dalam medan dakwah.

Presiden PAS berkunjung ke gereja, kuil, berbincang dan bermesra dengan pemimpin agama lain tentang hal kepentingan bersama dan membina hubungan kerjasama demi rakyat.

DS TGHH bertemu sendiri dengan masyarakat Cina dan India bagi menyatakan penghargaan dan kepentingan persefahaman masyarakat majmuk dalam membina negara yang sejahtera.

Kesemua langkah matang ini akan berterusan dalam menjayakan agenda rakyat yang memerlukan jalan keluar dari kesulitan yang melanda negara dan rakyat.

PAS tetap dengan prinsip bahawa jalan yang benar adalah dengan panduan Tuhan. Bukannya dengan menyanggah suruhan Tuhan. – HARAKAHDAILY 29/2/2016

Share on Myspace