Jangan lantik orang politik sebagai Gabenor Bank Negara

HARAKAHDAILY | .

 

Bank Negara Malaysia (BNM), satu-satunya institusi yang masih dipercayai rakyat Malaysia, perlu bebas daripada sebarang pengaruh politik.

Oleh itu, calon yang menggantikan Gabenor Bank Negara Malaysia Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz mestilah orang yang bebas politik dan tidak pernah melibatkan diri di dalam kabinet Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan mana-mana parti politik untuk menjaga imej dan integriti BNM.

Sejajar dengan itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Abdul Wahid Omar, Duta Malaysia ke Amerika Syarikat, Datuk Dr Awang Adek Hussin dan Ketua Setiausaha Perbendaharaan Tan Sri Mohd Irwan Serigar Abdullah yang diura-urakan akan menjadi calon potensi menggantikan Zeti adalah tidak sesuai untuk mengekalkan keyakinan rakyat dan antarabangsa terhadap BNM.

Gabenor Bank Negara Malaysia yang baru mestilah seorang yang berani dan tegas, adil, berpihak pada kebenaran dan berkemampuan seperti Zeti untuk melakukan perkara yang betul apabila berdepan dengan isu seperti 1MDB dan ekonomi yang mencabar.

PAS bersetuju dengan Zeti dan justeru melihat kenyataan Zeti sendiri bahawa BNM perlu kekal sebagai badan bebas daripada sebarang pengaruh politik bukan sekadar peringatan  malah ia adalah amaran kepada kerajaan untuk melupakan kecenderungannya dalam mencabuli kebebasan BNM.

Sehingga kini, PM masih tidak memberikan sebarang petanda bahawa beliau bersetuju dengan Zeti dalam perkara ini.

Rakyat menanti jaminan PM bahawa Bank Negara akan bebas dari campur tangan ahli politik. Jaminan ini sangat penting bagi membina keyakinan pelabur luar dan integriti BNM dapat dipertahankan.

Tuan Ibrahim Tuan Man
Timbalan Presiden PAS
29 Februari 2016 - HARAKAHDAILY 29/2/2016

Share on Myspace