Perangkap ekonomi jatuhkan Uthmaniyah

RAZMAN ZAKARIA | .

KEGEMILANGAN Islam yang telah dibangunkan Rasulullah SAW bersama para sahabat bermula dari Tanah Hijjaz sehingga berjaya diperluaskan seantero dunia.

Kehebatan Islam terus ditampilkan dengan keadilan untuk melindungi sesiapa sahaja tanpa membenarkan kezaliman berkuasa. Namun pada detik 3 Mac 1924 segalanya menjadi peristiwa duka bagi seluruh umat Islam.

Kecekalan usaha Sultan Abdul Hamid II mampu bertahan menghadapai tuduhan fitnah berkaitan pembunuhan berdarah di Kota Istanbul yang telah dirancang oleh pihak Zionis pada 31 Mac 1909.

Beberapa siri peperangan telah direncanakan Mustafa Kamal Atartuk untuk menggulingkan khalifah dengan kerjasama dari anggota Zionis Antarabangsa.

Maka bermula lakaran detik pedih dalam jiwa umat Islam antaranya menggantikan sekolah agama kepada sekolah sekular dibawah Kementerian Pendidikan bahkan laungan azan ditukarkan ke dalam bahasa Turki.

Antara pengajaran peristiwa hitam ini adalah kerana kelemahan dasar ekonomi apabila  pemulihan semula Ekonomi di Turki telah memberi tekanan kepada Turki Uthmaniyah untuk melakukan pembaharuan dalam pelbagai bidang.

Lebih parah kerajaan Khilafah Uthmaniyyah mengalami hutang yang kronik. Contohnya zaman pemerintahan Sultan Mahmud (1808 – 1839) yang terlalu mengagumi kemajuan Eropah.

Misalnya projek jaringan keretapi “Orient Railway” dan pembinaan Istana Dolmabahce yang megah menggantikan Istana Topkapi. Akibatnya jerat hutang semakin bertambah, bunga hutang yang mencekik menyebabkan Kerajaan Khilafah Uthmaniyah hampir bankrap.

Sultan Abdul Aziz meneruskan pemulihan sehingga empayar tersebut muflis pada 1875 dengan pinjaman besar dari Eropah, membawa kepada tertubuhnya Pentadbiran Hutang Awam Kebangsaan Uthmaniyah, yang kerajaan dan pemilik bank Eropah mengawal kewangan Uthmaniyah.

Pada 1876, setelah Sultan Abdul Hamid II menaiki takhta, hutang yang ditanggung oleh kerajaan Khilafah Uthmaniyyah  ialah melebihi 200 juta  pound Sterling.

Ini membuktikan proses pemulihan dalam bidang ekonomi memberikan kesan buruk dalam kestabilan ekonomi Khilafah Uthmaniyah  dan akhirnya menghancurkan Khilafah Uthmaniyah.

Umat Islam perlu sedar sejarah ini bukan sekadar tinggalan biasa bahkan untuk membuka jiwa Muslim memahami bahawa usaha menjatuhkan Islam bukan bermula hari ini bahkan sekian lamanya.

Perubahan kehidupan berlandaskan syariat bukan lagi menjadi pilihan bahkan kewajipan untuk mengembalikan satu kehilangan yang pernah berlaku satu ketika dahulu.

Biarpun puluhan tahun berlalu, namun umat Islam masih terus leka dengan kehidupan seakan ia tidak memberi erti kepada Islam. Jangan biarkan Islam dihina dan diracuni budaya yang merosakkan keharmonian Islam sebenar. – HARAKAHDAILY 4/3/2016

Penulis ialah Pesuruhjaya PAS Perak

Share on Myspace