PAS tubuh blok ketiga, peluang baru atau ancaman?

SYED AHMAD FADHLI | .

SEMENJAK diumumkan oleh Setiausaha Agung PAS, Datuk Takiyuddin Hassan bahawa PAS akan bekerjasama dengan parti lain dan NGO bagi membentuk blok ketiga parti di Malaysia ini, terdapat pelbagai maklum balas yang disuarakan oleh pihak BN mahupun PH.

Adakah Blok Ketiga ini hanya sekadar pengacau sahaja atau secara strategiknya ia mampu memberi ancaman yang menggugat sokongan terhadap BN mahupun PH.? Masih terlalu awal untuk membuat unjuran dan jangkaan tetapi berasaskan realiti semasa, ia tetap akan memberi impak kepada para pengundi menjelang PRU 14 nanti.

Sebagai contoh, di kerusi majoriti Melayu di kawasan luar bandar dan pinggir bandar, secara tradisinya di sinilah berlaku pertarungan antara Umno dan PAS berlangsung. Umum mengetahui, di kerusi sebeginilah juga akan menjadi sasaran impian PAN sebagai wakil PH untuk merampas kerusi tersebut daripada PAS.

Pengundi akan mempunyai tiga pilihan iaitu untuk terus menyokong Umno pimpinan PM Najib yang kian lemah itu atau mengalihkan sokongan mereka kepada PAS atau menyokong PAN yang merupakan wakil PH yang didominasi oleh DAP?

Bagaimana pula Blok Ketiga ini boleh memberi ancaman kepada BN dan PH pada PRU 14 nanti? Sekiranya PAS melalui Blok Ketiga berjaya meraih sokongan daripada pengundi Umno yang berpaling tadah dan pengundi atas pagar, PAS akan berjaya mengurangkan jumlah kerusi Umno menangi sekarang iaitu 88 kerusi. Hasilnya, Umno kian lemah dan tidak mampu untuk terus kekal dominan dalam BN bagi membentuk Kerajaan Persekutuan di Putrajaya.

Pada masa sama, Pakatan Harapan yang mempunyai kerusi yang tidak kurang banyaknya juga akan menghadapi masalah untuk membentuk Kerajaan Persekutuan. Hal ini kerana kerusi yang dimenangi oleh PH kebiasaannya di bandar dan campuran kaum yang akan diwakili oleh Ahli Parlimen bukan Islam dan bukan Melayu. Bagaimana mungkin PH mahu mentadbir Malaysia dalam keadaan Kerajaan Pusat yang didominasi oleh Ahli Parlimen bukan Islam?

Tuan Guru Presiden PAS sudah berulang kali menyebut berkenaan peri-pentingnya kita memahami realiti politik Malaysia iaitu orang Melayu-Islam adalah teras penentu arus sokongan parti yang memerintah Malaysia.

Jika tidak percaya, lihatlah kembali post-mortem PRU13 yang lalu. Walaupun Pakatan Rakyat ketika itu memperoleh sokongan sehingga 51% undi popular, tetapi Umno-BN tetap berjaya kekal berkuasa kerana ketika itu pengundi Melayu masih ramai yang setia menyokong Umno dan tidak mahu membuat perubahan.

Apakah yang PAS boleh buat melalui Blok Ketiga ini? PAS perlu menjadi 3rd Force bagi mendesak dan menentukan arus sokongan kepada BN mahupun PH agar benar-benar mentadbir negara ini dengan prinsip berasaskan kebenaran, keadilan, ketelusan dan mengutamakan rakyat.

Kesimpulannya, sebagai sebuah negara yang berlandaskan sistem demokrasi berparlimen, penubuhan Blok Ketiga diterajui PAS ini akan mematangkan lagi demokrasi di negara kita. Sistem parti politik di negara ini kian berubah daripada Single-Dominant Party kepada Dual-Party kemudian beranjak pula menuju Multi-Party.

Semoga dengan perubahan ini akan memberi manfaat yang besar kepada rakyat agar hak dan kepentingan mereka akan benar-benar dibela oleh para pemimpin. – HARAKAHDAILY 15/3/2016

Share on Myspace