Apabila setuju, bantu kami!

MOHAMMAD FAIZAL CHE YUSOF | .

GEGAK gempitalah dunia politik tanah air bila Parti Islam Se-Malaysia PAS mengadakan hubungan kerjasama siasah dengan Parti Ikatan Bangsa Malaysia, Ikatan. Apa yang lebih menarik perhatian, gegak gempita itu bukanlah dari musuh tegar PAS, United Malay National Organisation, Umno.

Khabar-khabar rupanya gegak gempita itu datangnya dari mereka yang kecewa lalu meninggalkan PAS menubuhkan wadah baru. Ratib lama diulang kembali kononnya mereka teraniaya hingga tertubuhnya wadah baru. Kononnya apa yang dilakukan PAS dengan Ikatan menunjukkan betapa benarnya bacaan politik mereka yang PAS tidak mampu bersendirian.

Tidak kisahlah gegak gempita mereka dan sesiapa sahaja. Apa yang penting amalan politik matang dan sejahtera yang sedang diterokai PAS perlu difahami dan dimengertikan oleh setiap pendokong dan penyokong PAS.

Jika ada yang bertanya “Apa itu amalan PMS?”, kita ada jawapan dan penerangan yang boleh diberikan. Fokus dengan gagasan semasa agar apa yang sedang disemai kini dapat dituai dalam pilihan raya umum PRU 14 kelak.

Berbalik jalinan kerjasama politik PAS Ikatan, ia bukanlah suatu yang memeranjatkan. Politik itu serba kemungkinan dan serba boleh terjadi.

Bezanya, PAS menjadikan Islam sebagai batas pergerakan. Islam kata ok, kita jalan. Islam kata tidak, kita tidak teruskan.

Sifir ini tidak payah untuk dihafal. Apatah lagi Presiden Ikatan, Tan Sri Abdul Kadir Sheikh Fadzir bukanlah asing dengan PAS. Sejak beberapa muktamar, bahkan sebelum PRU13, beliau telah muncul bersama PAS.

PAS berkawan dengan orang lemah agar dilihat kuat? Sesiapa saja boleh berkata itu dan ini terhadap kerjasama yang terjalin. Yang pasti, jalinan kerjasama ini boleh saja memperkuat kedudukan PAS dan Ikatan itu sendiri.

Terpulang kepada setiap pimpinan dan kita yang mendokong untuk memanfaatkan kerjasama ini demi perjuangan mendaulatkan Islam di Malaysia. Usah digusar percaturan ini mematikan gagasan dwi-parti di Malaysia.

Sebagaimana politik itu penuh dengan warna warni, kesediaan pimpinan membina blok ketiga menjadikan rakyat akan punya lebih pilihan dan penilaian. Sama ada Barisan National, Pakatan Harapan PH, atau PAS Ikatan, medan ini terbuka untuk menampilkan siapa pembela rakyat sebenar.

Apatah lagi, gagasan perjuangan PAS yang berlandaskan Islam dengan amalan politik matang dan sejahtera akan lebih terbuka untuk dinilai dan dilihat rakyat. Lebih dari itu, PAS punya kekuatan sendiri dalam memperkuatkan gagasannya tanpa terikat dengan gagasan parti-parti rakan atau lawan.

Nilai berkebajikan dalam amalan politik matang dan sejahtera yang dibawa PAS sejak dulu akan lebih mudah diserlahkan dan dipikul oleh setiap jentera. Yang perlu kini hanyalah fokus kepada gerak kerja semasa demi memastikan setiap rakyat faham nilai-nilai Islam dalam politik yang diterajui PAS masa kini.

Kepada sahabat-sahabat di luar PAS, usah digusar jalinan hubungan PAS dan Ikatan. Setiap kita ada percaturan dan perkiraan yang kita yakini. Jika yakin pada perjuangan PAS, bantulah kami dengan apa yang kalian ada. Jika perjuangan kami menyimpang dari Islam, betulkanlah kami agar kesucian Islam itu terus dapat dinikmati. – HARAKAHDAILY 17/3/2016

Share on Myspace