PAS hari ini

TUAN IBRAHIM TUAN MAN | .

 

Dalam usaha memperkukuhkan blok ketiga yang merangkumi kerjasama dan parti politik, NGO dan tokoh masyarakat, PAS sebagai sebuah Gerakan Dakwah, Tarbiyah dan Siasah dan juga politik terus komited mengadakan "engagement" dengan pelbagai pihak demi peningkatan penghayatan Islam dalam kalangan masyarakat.

PAS akan terus mendepani hubungan baik ini walaupun sikap terbuka ini mungkin tidak disenangi oleh pelbagai pihak yang suka berpolitik dengan iri hati serta kurang dan sengaja tidak memahami dalam pendekatan dakwah yang diambil oleh PAS.

Sebagai contoh terbaru, PAS telah dijemput menghadiri Himpunan 20K Huffaz oleh Gabungan Huffaz di Masjid Wilayah untuk menyatakan sokongan kepada pembentukan PINTA (Gabungan Persatuan Institusi Tahfiz Kebangsaan).

PAS telah menghantar wakil untuk menyatakan sokongan kepada agenda murni ini.

Oleh kerana majlis ini turut dihadiri Datuk Seri Najib Razak selaku Perdana Menteri dan Menteri dari Umno, tindakan PAS menghantar wakil telah menjadi bahan serangan oleh sesetengah pihak yang sengaja melihat dalam kerangka pemikiran sempit.

Jika begitu, soalan boleh dipersepsikan kepada mereka apakah serangan ini juga menandakan mereka tidak bersetuju dengan PINTA, ataupun mereka ingin menidakkan agenda murni Gabungan Huffaz hanya semata-mata kehadiran Najib dan menteri Umno selaku Perdana Menteri dan wakil kerajaan?

Namun, PAS tidak berminat bermain di ruang sempit sedemikian.

Bagi PAS, prinsip Islam perlu dijaga dan didukung. Jika agenda itu murni dan menguntungkan Islam, PAS akan sokong agenda tersebut. Umno-BN zalim dengan GST, TPPA, Majlis Keselamatan Negara (MKN), skandal 1MDB dan kenaikan saman trafik, PAS lawan.

Namun, apabila Umno-BN melakukan kebaikan, PAS tidak akan berpolitik sempit sehingga kebaikan dan manfaat yang bakal diminati oleh mereka yang dituju ternafi hanya kerana ada kehadiran Umno-BN. Mendukung agenda murni yang kebetulan turut dihadiri oleh Umno-BN tidak bermakna PAS berhenti memerangi kezaliman dan ideologi Umno-BN atau memberi laluan kepada mereka di pilihanraya umum.

Begitu juga dalam prinsip keadilan Islam. Seperti yang ditegaskan oleh Presiden PAS yang tetap mempertahankan bahawa Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng tidak bersalah sehingga terbukti bersalah meskipun Presiden PAS pernah dicemuh macam-macam oleh beliau.

Sikap yang sama juga ditunjukkan Presiden PAS terhadap bekas Menteri Besar Selangor Tan Sri Khalid Ibrahim. Beliau tidak berpihak kepada fitnah, tidak seperti ahli politik yang lain, yang sanggup melakukannya jika ada keuntungan politik yang boleh dicapai.

Kepada yang sangat berminat menjadikan Allahyarham Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat sebagai contoh dan hujah mereka untuk berpolitik, cubalah mencontohi beliau dalam mendukung Tuan Guru Abdul Hadi sebagai Presiden PAS sepanjang beliau menjawat Mursyidul Am sehingga ke akhir hayatnya.

Kalian memuji Tuan Guru seorang ahli politik yang bijaksana, maka percayalah kebijaksanaan dan penilaian beliau dalam mendukung Presiden PAS.

PAS akan terus istiqamah dengan dasar parti membawa agenda Islam sebagai rahmat untuk semua dan bersifat anjal dalam pendekatan dakwah dan politiknya. PAS bersedia menghadapi sebarang kemungkinan kerana 'kedegilannya'.

PAS akan terus melipatgandakan usaha dalam dakwah dan berserah yang lain kepada Allah kerana Dialah sebaik-baik perancang.

Tuan Ibrahim Tuan Man
Timbalan Presiden PAS
21 Mac 2016 - HARAKAHDAILY 21/3/2016

Share on Myspace