Gerakan dakwah Malaysia dan institusi pendidikan

DR RIDUAN MOHAMAD NOR | .

Gerakan dakwah Malaysia dan institusi pendidikan (Siri I)

GERAKAN dakwah di negara ini juga mempunyai peranan dan sumbangan mereka yang tersendiri dalam menggerakkan pendidikan Islam di negara ini.

Berakar dengan sejarah Islam yang menyaksikan Nabi Muhammad SAW membangunkan masyarakat dengan pendidikan dan pencerahan. Semenjak sebelum merdeka, angin kesedaran menuntut kemerdekaan tidak pernah terpisah dengan gerakan pendidikan di negara ini.

Perkembangan Islam di Tanah Melayu juga berkait rapat dengan perkembangan Islam di luar negara apatah lagi di awal abad ke-20, sistem perhubungan dunia semakin pesat berkembang diikuti dengan alat-alat sebaran am seperti akhbar dan majalah.

Umat Islam sebahagian besar mengalami penjajahan kuasa Barat pada abad ke-19 dan di awal abad ke-20, keresahan masyarakat Islam ini telah disambut ghairah oleh segelintir anak-anak muda berpendidikan Timur Tengah dengan membahterai perjuangan mengembalikan semula roh perjuangan kesejagatan Islam atau dikenali sebagai pan-Islamisme.

Di negara ini, telah muncul pada permulaan abad ini orang seperti Syed Syeikh al-Hadi dan Syeikh Tahir Jalaluddin. Mereka mahukan kemajuan bagi masyarakat Islam di negara ini.

Pergerakan mereka sebenarnya adalah pancaran dari gerakan yang lebih luas di negara-negara Islam Timur Tengah yang dipelopori oleh Jamaluddin Afghani dan Muhamad Abduh. Mereka berdua ini menganggap Islam sebagai bertentangan dengan imperialisme, dan mahu melihat masyarakat Islam bangkit dan maju atas kekuatannya sendiri berlandaskan pengajarannya.

Mereka juga memandang unsur-unsur kepercayaan tradisional melemahkan semangat umat Islam. Di negara ini, Syed Syeikh dan Syeikh Tahir telah menerbitkan majalah, mengarang buku, membuka sekolah dan terus berbahas menentang apa yang mereka pandang sebagai bidaah dalam masyarakat Melayu.

Mereka digelar sebagai kaum muda. Gerakan kaum muda ini telah meluas bukan sahaja di negara ini, tetapi juga di rantau Indonesia.

Gerakan ini telah membumbui api semangat orang Melayu negara ini untuk menuntut ilmu dan melakukan reformasi minda untuk berhadapan dengan cabaran dunia moden terutama penjajahan Barat yang merancang dengan halus keterpurukan kaum Bumiputera. Tokoh-tokoh gerakan reformis ini juga banyak menubuhkan sekolah-sekolah madrasah untuk melakukan pencerahan kepada masyarakat.

Sebelum negara mencapai kemerdekaan pada tahun 1957, terdapat arus yang kuat daripada golongan agama untuk menggerakkan kesedaran pendidikan di kalangan orang Islam di negara ini. Fenomena ini terjadi berpunca daripada keterpurukan bangsa Melayu berbanding kaum lain yang lebih berpeluang mendapatkan pendidikan.

Juga kesan daripada semangat nasionalisme yang turut disertai dengan keinginan membina intelektualisme bagi berhadapan dengan penjajah. Terdapat gerakan atau badan yang ditubuhkan untuk mengangkat martabat bangsa melalui medium pendidikan di negara ini.

Antara badan yang ditubuhkan untuk tujuan murni ini ialah LEPIR (Lembaga Pendidikan Rakyat), yang ditubuhkan hasil kesedaran Badan Kebajikan Pelajaran MATA untuk membangunkan pendidikan tinggi orang Melayu.

Hasil daripada lawatan MATA ke seluruh Tanah Melayu, didapati keadaan pendidikan orang Melayu sangat lemah. Ini memang suatu hal yang sangat ketara sekali pada masa itu. Bukan sahaja soal pendidikan tinggi agak asing bagi kebanyakan orang Melayu, tetapi juga soal mendapatkan pelajaran rendah dan menengah masih juga tidak memuaskan di kalangan orang Melayu.

Kongres untuk menubuhkan LEPIR dibuat pada 1-2 September 1947 di Maktab Mahmud, Alor Setar, Kedah. Kongres ini dihadiri oleh lebih kurang 300 orang termasuk tokoh-tokoh agama yang penting dari Sumatera, iaitu Haji Latif Zaki yang mengajar di Maktab Muhammadiah, Sumatera dan Haji Lubis dari Medan.

Dr. Burhanuddin dan Ishak Haji Muhammad juga turut hadir sebagai menunjukkan kerjasama yang erat antara golongan radikal Melayu dengan golongan berpendidikan Islam. Beberapa resolusi telah dihasilkan daripada perbincangan kongres itu. Antaranya termasuklah:

1.Mengutip derma untuk mendirikan Lembaga Pendidikan Rakyat (LEPIR).
2.Menerbitkan akhbar dan majalah.
3.Memperbanyakkan sekolah rakyat.
4.Menubuhkan derma pelajaran untuk menghantar pelajar ke luar negara.
5.Menyamatarafkan kurikulum pendidikan dalam negeri dengan di luar negara.
6.Membantah tindakan kerajaan melarang berpolitik di sekolah-sekolah.
7.Meminta kerajaan menghapuskan Bahagian 9 Undang-Undang Islam 1904 Negeri-negeri Melayu Bersekutu, iaitu kerajaan memberi tauliah kepada mereka yang mengajar agama.

Resolusi daripada kongres ini mencerminkan hasrat dan cita-cita besar LEPIR untuk mengangkat martabat pendidikan Islam dan anak-anak bangsa di Tanah Melayu ini.

Ia juga dimanifestasikan daripada kebencian kelompok agama terhadap penjajah yang secara sedar cuba menganaktikan pendidikan Islam di Tanah Melayu.

Penubuhan LEPIR bertitik-tolak daripada kesedaran orang Melayu untuk membajai kesedaran menuntut ilmu di kalangan orang Melayu, terutama tentang kepentingan pendidikan tinggi di mana orang Melayu agak ketinggalan akibat dasar penjajah British sendiri. – HARAKAHDAILY 21/3/2016

(Penulis adalah AJK PAS Pusat, AJK Lujnah Tarbiah Pusat)

Share on Myspace