Blok ketiga yang dicemburui kekasih lama

ALANG IBN SHUKRIMUN | .

SEJAK PAS mengisytiharkan blok politik ketiga, ia terus diserang dan dikritik hebat oleh sang pembenci. Yang paling banyak menyerang adalah mereka yang sebelum ini memperkenalkan politik budiman dan ruhama.

Merekalah juga yang sebelum ini menagih simpati supaya dihalalkan penubuhan parti baru atas dasar kebebasan demokrasi. Tetapi apabila PAS bersifat terbuka, merekalah yang paling kuat mengutuk. Mereka tuduh PAS mahu panjangkan hayat Umno BN.

Sedang mereka lupa penubuhan parti baru mereka itulah yang menyambung hayat Umno. Mereka mengisytihar terangan untuk bertanding di kerusi dimenangi PAS, bahkan menyatakan mahu rampas Kelantan dari PAS.

Bukankah semua ini berita baik buat Umno yang sekian lama berusaha menjatuhkan PAS? Umno Johor yang menjadi nadi parti tunjang BN itu, boleh pula berkompromi. Ditambah pula dengan pendirian terbaru untuk membontoti perancangan Tun M selamatkan Umno. Kahak yang diludah dijilat kembali.

Apabila mereka tidak habis-habis membicarakan setiap langkah PAS, di mana dalil keharusan taadud jamaie yang selama ini dijunjung? Di mana konsep kepelbagaian pendekatan yang selama ini didakwa? Adakah kutuk mengutuk ini yang dikehendaki oleh sarjana yang mengharuskan taadud?

PERIHAL IKATAN

Kenapa PAS pilih ikatan? Hanya mereka yang peka sahaja memahami strategi blok politik ketiga ini. Parti Ikatan dipimpin oleh Tan Sri Kadir Syiekh Fadzir, salah seorang bekas pimpinan Umno yang kecewa dengan Umno.

Selain bowtie, beliau dikenali sebagai Mr Clean yang profesional dan berintegiriti ketika berada di dalam kerajaan. Tidak seperti pemimpin Umno lain. Penglibatannya lebih setengah abad dalam Umno juga membuatkan dirinya cukup berpengaruh dan memiliki ramai kenalan di dalam Umno.

Tan Sri Kadir mewakili rakan-rakan yang seumpamanya dalam Umno. Antaranya adalah Tengku Razaleigh Hamzah, yang pernah bersama menubuhkan Angkatan Amanah Nasional (AMANAH) sejurus keluarnya Tan Sri Kadir dari Umno.

Malah sebenarnya masih ramai di dalam Umno gologan profesional,berintegriti dan komited dengan tugas, berbeza perangainya dengan kebanyakan pimpinan tertinggi Umno. Mereka terdiri dari ketua-ketua jabatan, pegawai-pegawai tinggi, pengamal undang-undang, ahli akademik, duta, kerabat diraja, pegawai lantikan istana dan seumpamanya.

Zaman telah berubah. Kalau dulu pegawai-pegawai tinggi kerajaan sangat pekat Umnonya, tapi kini pegawai-pegawai sudah ramai yang profesional dengan tugas dan tidak gemar mencampuri urusan politik dengan pentadbiran.

Mereka Umno, tapi mereka bukan golongan yang begitu minat berpolitik. Mereka menjadi Umno atas faktor keturunan dan persekitaran sahaja. Ataupun memilih Umno kerana ia adalah parti kerajaan. Tidak lebih dari itu.

Golongan ini sangat berpengaruh dan disegani oleh orang sekeliling mereka. Pendirian mereka boleh memandu orang lain. Kata-kata dan pendapat mereka sentiasa didengari.

Justeru dengan sikap angkuh Najib dengan corak pentadbiran negaranya yang kian lemah pasti mengundang kesal pada diri orang Umno seperti ini. Sementalah mereka ini berada di posisi atas, pasti kenal lagak politikus Umno sebenar. Kekesalan mereka akan dituruti ribuan orang yang bernaung dibawah mereka.

Melalui blok politik ketiga, golongan inilah yang cuba ditarik oleh PAS untuk melakukan perubahan. Dapatan PRU13 menunjukkan walaupun pembangkang sudah berjaya memperoleh majoriti undi popular, namun masih belum boleh memerintah.

Puncanya kerana yang mahukan perubahan ini datang dari hampir keseluruhan Cina sahaja, sedangkan sokongan kuasa teras politik Malaysia iaitu Melayu pula mengalami kemerosotan. Kerusi-kerusi yang dimenangi pembangkang kebanyakan di kerusi memiliki populasi Cina yang tinggi, sedangkan kerusi majoriti tinggi Melayu terus kukuh dalam genggaman Umno. Maka selagi Melayu tidak berubah, selagi itu kerajaan tidak akan bertukar tangan.

Orang-orang yang seumpama Tan Sri Kadirlah yang berupaya membawa Melayu dalam Umno berani melakukan perubahan. Walau bagaimanapun PRU13 menunjukkan walaupun mereka sudah tidak suka dengan kepimpinan Najib, namun mereka turut tidak menggemari amalan politik kuno pembangkang yang diterajui DAP dan sekutu PH sekarang.

Justeru satu wadah baru yang lebih lunak dengan profesolionaliti mereka perlu dibentuk. Lahirlah blok politik ketiga sebagai alternatif buat rakyat Umno.

Idea blok politik ketiga ini bukanlah perkara baru. Sebenarnya Raja Petra Kamaruddin pernah menyuarakn hasratnya untuk membentuk third force semasa kempen PRU13 lepas. PKR yang ditubuhkan pasca pemenjaraan Anwar juga bercita-cita untuk muncul sebagai third force party untuk memecahkan adat politik yang selama ini mengenal PAS vs Umno sahaja.

Bahkan cubaan beberapa politikus lain untuk mengumpul golongan ketiga di kalangan anak muda indipenden, sasterawan, penggiat seni, kerabat diraja dan seumpamanya telah berlaku berkali-kali.

Semua usaha di atas gagal bertahan apabila kecenderungan sebenar politikus ini hanyalah untuk mengejar kuasa semata-mata. Budaya politik sempit, politik emosi dan politik setiap masa membuatkan masyarakat tidak boleh bersama dengan perjuangan seperti ini.

Mereka perlukan perjuangan politik yang ikhlas membela rakyat, bukan mencari ruang mengaut untung di medan politik. Mereka perlukan solusi bukan sekadar argumentasi dan bangkangan 24 jam.

Alhamdulillah pendekatan terbaru PAS diterima baik orang-orang Melayu. Pimpinan PAS mula dijemput ke program-program kerajaan untuk menyampaikan ucapan. PAS mengambil peluang untuk berbicara soal Islam hakiki tanpa menekankan politik kepartian.

Bagi PAS itu sudah cukup baik. Dengan memahami kebenaran, orang sudah boleh menilai mana yang patut disokong tanpa perlu menyebut nama parti.

Sekiranya PAS kekal konsisten dengan pendekatan ini, tidak mustahil makin banyak parti, pertubuhan dan juga tokoh perseorangan yang mahu bersama. Hatta PKR yang masih anggota PH sudah menunjukkan minat dengan blok politik ini.

Sekiranya Umno kekal berkecamuk seperti sekarang, langkah PAS memimpin kuasa ketiga akan bertambah mudah. Dalam keadaan sekarang, PH juga diragui rakyat dengan pertelagahan sesama mereka dan sesama ahli parti masing-masing semakin serius. DAP yang baru dua penggal memerintah Penang sudah mula terpalit isu salah urustadbir.

PKR yang sengaja menyingkir MB kesayangan rakyat Selangor akan dikenang dalam kebencian selama-lamanya. PAN pula tidak habis-habis bercerita soal kerusi yang mahu ditandingi selain istiqamah mengkritik PAS menambah muak non partisan. Perbincangan untuk kepentingan rakyat tidak lagi diutamakan.

Dalam kritikan dan cemuhan pembenci, PAS terus meneroka ruangan baru dalam atmosfera politik tanah air. Mendekati sesiapa sahaja yang bernama manusia. Memperkenalkan penyelesaian dengan kaedah Islam, bagi menyelamatkan manusia dunia sehingga akhirat.

Jalan terus! – HARAKAHDAILY 22/3/2016

Share on Myspace