Blok ketiga politik Malaysia

NIK MOHAMAD ABDUH NIK ABDUL AZIZ | .

 

PAS baru-baru ini mengisytiharkan hubungan kerjasama dengan Parti Ikatan Bangsa Malaysia (IKATAN), sebuah parti baru dan kecil dalam arena politik Malaysia. Kedua-dua parti, selepas beberapa kali mengadakan pertemuan dan perbincangan, akhirnya bersetuju untuk bergerak bersama memacu kemajuan dalam politik negara.

Selepas kejayaan PAS menyatukan ratusan NGO muslim melalui Kongres Rakyat tahun lepas, saya melihat PAS semakin maju dan bersungguh-sungguh untuk menjalin kerjasama dengan parti-parti politik lain termasuk di Sabah dan Sarawak. Kongres Rakyat yang dipimpin oleh Cikgu Mohd Azmi Abdul Hamid yang dikenali ramai sebagai seorang pejuang rakyat yang begitu istiqamah, walaupun bukan di bawah PAS, tetapi ia begitu rapat dengan PAS dan sentiasa memperjuangkan isu-isu rakyat secara bersama.

Saya berharap untuk melihat kejayaan langkah kedua yang diambil oleh PAS tersebut. Ia adalah satu tanggung jawab agama bagi sebuah parti Islam untuk sentiasa mendekati, mengenali dan seterusnya memupuk hubungan yang lebih baik dengan semua pihak yang turut berjuang untuk kebangunan negara Malaysia tercinta.

Kerjasama politik atau Ta'awun Siyasi di antara PAS dan IKATAN ini masih belum diberi nama rasmi. Ia adalah baik kerana ada kemungkinan parti-parti lain juga akan turut bersama selepas ini. Jadi, elok sekali jika nama gabungan kerjasama ini dipersetujui secara bersama oleh semua parti. Sementara ia belum bernama, kerjasama PAS-IKATAN ini digelar sebagai Blok Ketiga.

Ramai yang bertanya signifikan PAS menjalin kerjasama dengan parti IKATAN yang dilihat terlalu kerdil dalam kancah politik Malaysia. Ia jauh berbeza dengan kejayaan PAS menjalin hubungan dengan Kongres Rakyat yang jauh lebih besar dan begitu gah namanya hari ini.

Saya akan menjelaskan kepada anda beberapa noktah penting yang perlu anda fahami mengapa Blok Ketiga ini cukup penting kepada politik negara amnya dan kepada PAS secara khusus.

Sebelum itu, perhatikan, apabila PAS membuat perisytiharan kerjasama tersebut beberapa hari lepas, ia telah mencetuskan kocakan yang kuat dalam arena politik negara. Ia bahkan jika tidak lebih, menyamai impak Deklarasi Rakyat yang dicetuskan oleh Tun Dr Mahathir Mohamad. Hal ini menzahirkan secara jelas bahawa kerjasama oleh Blok Ketiga ini adalah diperhatikan oleh semua pihak.

PAS menerima IKATAN kerana PAS tidak hanya melihat kepada keuntungan segera dan besar. Menerima IKATAN bererti menerima suara hati rakyat Malaysia walaupun kecil. Dalam banyak keadaan, suara kecil adalah suara yang sering terpinggir dan tertindas walaupun benar.

IKATAN adalah parti yang ditubuhkan sebelum pilihan raya umum ke13 lepas. Ia menolak BN dan juga PR. Tetapi ia tidak menolak mereka bulat-bulat. Ia menyertai program-program anjuran PR dan dalam masa yang sama ia tetap mengadakan pertemuan dan memberikan pandangan nasihat kepada parti pemerintah.

IKATAN adalah sebuah parti politik yang tidak berorientasikan pilihan raya. Kata mereka, mereka adalah sebuah parti yang melihat kepada masa depan negara. Mereka menyeru kepada segala usaha baik yang menyelamatkan negara daripada kehancuran. Bagi IKATAN, rasuah, penyalahgunaan kuasa, nepotisme, chauvinisme, perkauman dan pelbagai kerosakan politik adalah barah yang sedang merebak dalam negara dan mesti dihalang oleh rakyat Malaysia.

Apabila IKATAN bersama PAS, maka suara IKATAN akan menjadi besar melalui PAS. Saya memberi keyakinan, jika anda mendengar pidato dan pandangan daripada presiden IKATAN, Tan Sri Abdul Kadir Sheikh Fadzir, anda akan dapati kekuatan hujah dan kebernasan isinya. Anda akan memahami betapa parti IKATAN begitu signifikan kewujudannya dalam politik Malaysia. Ia membawa suara rakyat yang mahukan perubahan oleh pihak atas dan bawah secara bersama.

Kesediaan IKATAN untuk bersama PAS pula adalah satu langkah berani. PAS pastinya mensyukuri dan berterima kasih kepada IKATAN untuk bersama PAS mengharungi perit jerih politik negara hari ini yang berhadapan kemuncak yang sukar. Rakyat sedang memerhatikan parti atau blok manakah yang paling sesuai dan berupaya menerajui negara yang sedang merosak dan gagal berfungsi akibat kerosakan dalam parti BN yang memerintah.

Pakatan Rakyat yang diharapkan sebelum ini nampaknya berakhir dengan perpecahan di antara PAS dan DAP. Kedua-dua parti itu kini saling bersaing dan saling menuding jari di atas kegagalan untuk terus bersama. PKR juga kelihatan agak lemah akibat perpecahan tersebut.

PAS berseorangan untuk beberapa ketika. Serangan ke atasnya begitu kuat daripada pelbagai pihak terutama pihak pembangkang yang menuduh PAS bersekongkol dengan Umno melalui pakatan kerajaan perpaduan. PAS juga berhadapan perpecahan dalaman yang mengakibatkan keluarnya beberapa nama besar dalam PAS dan menubuhkan parti serpihan PAN.

Ia sedikit sebanyak telah memberi kesan tidak baik kepada PAS. PAS berhadapan kehilangan sokongan blok pembangkang jika ia gagal menangani krisis dengan baik. Justeru, PAS telah berusaha dengan cepat dan betul bagi mengembalikan semula keyakinan rakyat kepadanya.

Kongres Rakyat adalah tindakan cepat PAS mengikis persepsi garang bahawa PAS kehilangan sokongan rakyat. Ratusan NGO muslim telah begitu berani menunjukkan sokongan terbuka kepada tindakan politik PAS berpecah dengan DAP dan menganggapnya sebagai berani dan berprinsip.

PAS kemudian tampil memperkenalkan gagasan konsep dan budaya politik baru yang bertujuan memperkenalkan PAS sebagai parti Islam yang bersedia memikul amanah ugama, bangsa dan negara. Budaya Politik Matang Dan Sejahtera (BPMS) kini diwar-warkan di seluruh tanah air dan ia berjaya memikat hati banyak pihak yang menanti-nanti sesuatu yang lebih baru dan berkesan daripada PAS.

Walau bagaimanapun PAS dilihat sukar mengisi kelompangan sokongan yang ditinggalkan oleh rakyat non muslim dan golongan elit. Serangan DAP dengan memainkan isu hukum hudud kelihatan berkesan menakutkan non muslim terhadap PAS. Begitu juga, keluarnya nama-nama besar daripada kalangan profesional PAS sedikit sebanyak turut menggugat sokongan golongan elit muslim dan non muslim.

Walaupun sayap non muslim PAS iaitu Dewan Himpunan Penyokong PAS berjaya mengadakan program-program besar yang berjaya menarik dan menzahirkan sokongan non muslim yang masih kuat dan tidak terjejas, ia bukanlah suatu mudah untuk mengikis ketakutan non muslim. PAS memerlukan langkah yang lebih berani dan bijak.

Begitu juga, walaupun kini PAS begitu ceria menerima sokongan golongan akademik dan profesional, ia masih belum mencukupi untuk mengisi lompang yang wujud akibat pecahnya PR.

Di sinilah parti IKATAN berperanan. Blok ketiga yang membentuk kerjasama politik (ta'awun siyasi) di antara PAS dan IKATAN adalah langkah politik PAS yang diharap akan membuahkan tiga hasil yang besar.

Pertama, menjadi jambatan kepada non muslim untuk lebih mengenali PAS. IKATAN adalah sebuah parti multiracial yang dianggotai pelbagai bangsa dan lapisan. Sebahagian pemimpin utama mereka begitu aktif dan dikenali di dalam beberapa NGO non muslim. Dalam pertemuan kami pada hari pelancaran baru-baru ini, mereka menunjukkan rasa gembira untuk mengenali PAS secara lebih dekat dan langsung. Sudah pasti ia menggambarkan masa depan hubungan PAS yang lebih cerah dengan rakan-rakan non muslim.

Kedua, IKATAN menjadi jambatan PAS kepada golongan elit negara. Walaupun mereka kecil, tetapi peranan mereka begitu besar di dalam membina polisi negara. IKATAN dianggotai golongan korporat yang begitu prihatin terhadap isu-isu politik negara yang begitu kritikal.

Ketiga, ia diharap mampu membuang PAS-fobia di kalangan golongan non muslim dan elit negara. Ketakutan terhadap PAS sebenarnya akibat kuatnya fitnah dan tohmahan dan kurangnya akses terhadap penerangan daripada PAS.

Kerana itulah, soalan paling hangat pada hari pertama pelancaran ialah mengenai hukum hudud. Apakah IKATAN menerima hukun hudud dan jika tidak, bagaimana blok ketiga ini akan beroperasi dan kekal kuat?

Saya mengajak anda untuk melihat kepada kejayaan PAS membentuk blok politik baru ini. Keyakinan adalah tinggi dalam kem blok ketiga. Nantikan yang baru daripada PAS untuk rakyat! - HARAKAHDAILY 29/3/2016

* Artikel adalah untuk siri kolum 'Terang Rembulan' akhbar Harakah.

Share on Myspace