Pok Mat Nyior, Kak Dah Akok dan Pok Leh Pok

DR AZMAN IBRAHIM | .

TAHAP pendidikan rendah antara punca tekanan hidup tinggi. Begitulah maksud kata-kata Perdana Menteri ketika memberikan jawapan di Dewan Rakyat pada 30 Mac 2016. “Kalau setakat ada SPM sahaja, tiada diploma, sarjana dan kemahiran tertentu, kita tidak boleh dapat pekerjaan yang beri pendapatan yang baik.” Kata Najib.

Tanpa menafikan kepentingan pendidikan tinggi kepada rakyat kepada rakyat, saya nak mengajak pembaca menilai kenyataan PM ini dari pelbagai sudut berbeza.

Benarkah kerajaan telah menyediakan peluang pendidikan kepada rakyat dengan jumlah tempat yang mencukupi berdasarkan keperluan rakyat?

Saya melihat kegagalan kerajaan bermula dari peringkat serendah pelajar lepasan UPSR yang mendapat keputusan cemerlang 5A tetapi terkial-kial serta terpaksa merayu ke sana ke mari hanya untuk mendapatkan tempat belajar di sekolah yang lebih baik sama ada di Sekolah Berasrama Penuh atau Sekolah-Sekolah Cluster, sepadan dengan penat lelah dan usaha mereka berusaha siang malam untuk mencapai keputusan cemerlang tersebut.

Kita seolah-olah mengemis untuk mendapatkan sesuatu yang kita berhak. Ini adalah pengalaman nyata diri sendiri dan ramai lagi para ibu-bapa.

Di antara banyak alasan yang diberikan oleh pihak berwajib bagi menjelaskan kegagalan pelajar-pelajar cemerlang ini mendapatkan tempat, bagi saya hanya satu yang boleh diterima iaitu tempat adalah terhad dan pelajar cemerlang sangat ramai.

Yang dapat 5A UPSR melebihi 30,000 pelajar sementara Sekolah Berasrama Penuh hanya mampu menyediakan tempat kepada kira-kira 9,000 pelajar sahaja.

Semua pihak berusaha untuk cemerlang, apabila cemerlang akhirnya tempat pula tak mampu menampung mereka atau dengan istilah lain kerajaan tak mampu menguruskan anak-anak bangsa yang cemerlang dengan baik. Tanpa kita menafikan sama sekali peranan sekolah-sekolah harian yang ada.

Pendidikan di peringkat tinggi pula di samping tempat dan peluang yang terhad jika dinisbahkan dengan bilangan pelajar, ia sangat membebankan walau sepatutnya bidang pendidikan wajib menjadi keperluan asasi rakyat yang boleh dilalui dengan kos yang paling minima kalau pun bukan percuma sepenuhnya.

Keluar dengan sekeping kertas yang dipanggil ijazah, jangan ingat laluan hari depan akan cerah. Yang lulusan perubatan dan pergigian pun sekarang terpaksa menunggu sehingga setahun lebih sebelum boleh mula berkhidmat dan menerima gaji pertama.

Ada adik-adik lepasan pergigian dari Mesir yang sudah menganggur sehingga dua tahun tapi belum lagi dipanggil untuk melaporkan diri bertugas. Puncanya ialah kerana perjawatan yang terhad atau dengan istilah mudah yang orang kampung boleh faham, kerjaan tak ada pitih untuk bayar gaji mereka!

Ini graduan bidang perubatan dan pergigian yang biasanya tak pernah bermasalah untuk memasuki lapangan pekerjaan. Apatah lagi bidang-bidang lain.

Seorang teman baik berkelulusan ijazah kejuruteraan dari Universiti Islam Antarabangsa, pelbagai kerja yang dia telah buat walau tak sepadan sama-sekali dengan kelulusannya dan akhirnya sekarang dia balik kerja di kampung jual getah skrap.

Saya tak tahu apakah kawan saya ini satu-satunya penjual getah skrap berkelulusan ijazah kejuruteraan.
Bila jual getah skrap maka faham-faham sendirilah dengan keadaan harga getah sekarang bagaimana kehidupan dia sekeluarga.

Saya juga boleh tunjukkan ada kawan-kawan yang berkelulusan kejuruteraan kerjanya jual kad prabayar telefon.

Sama ada percaya atau tidak kalau saya maklumkan, maklumat yang diperoleh dari seorang rakan di Bahagian Sumber Manusia sebuah Hospital Universiti tempatan, apabila dibuka iklan kekosongan beberapa jawatan atendan di hospital tersebut yang bilangan kekosongan tersebut tak sampai pun 10 orang, Masya-Allah!

Borang permohonan yang diterima mencecah ribuan orang. Maaf untuk dinyatakan bahawa ramai juga yang berkelulusan ijazah tetapi memohon untuk menjadi atendan hospital. Satu jawatan yang tak sepadan sama sekali dengan ijazah yang dimiliki.

Mereka ini menamatkan pengajian dengan beban hutang pinjaman pengajian berjumlah puluhan ribu malah mencecah ratusan ribu bagi yang belajar di luar negara. Kerja tak ada, macam mana nak sara diri, keluarga dan nak bayar hutang?

Bukankah ini semua mewujudkan tekanan walau sebenarnya mereka berpendidikan tinggi. Siapakah yang menjadi punca tekanan ini?

Menyalahkan orang kampung dan rakyat yang tak berpendidikan tinggi sebagai antara punca tekanan hidup bagi saya adalah kenyataan cetek maklumat dari seorang PM.

Datanya jelas. Banyak masalah negara dalam soal kewangan sama ada rasuah, penyelewengan, salah guna kuasa dan yang sewaktu dengannya dicetuskan oleh kelompok manusia berpendidikan tinggi. Kenapa mereka rasuah dan menyeleweng kalau bukan kerana tekanan hidup?

Saya tak pernah tengok seorang bernama Mamat bin Salleh atau mesra dipanggil dikampung sebagai Pok Mat Nyior disebabkan kerjanya di kampung sebagai tukang kupas kelapa diheret ke mahkamah kerana pecah amanah wang syarikat sebanyak RM200 ribu.

Saya juga tak pernah dengar seorang bernama Midah binti Mamat atau mesra dipanggil di kampung sebagai Kak Dah Akok oleh kerana kerjanya jual kuih akok dibawa ke mahkamah dengan tangan bergari kerana mengelapkan wang syarikat RM100 ribu.

Saya juga tak pernah dengar seorang yang bernama Salleh bin Jusoh atau dikenali sebagai Pok Leh Pok disebabkan kerjanya jual pok getah atau getah skrap dipanggil ke pejabat SPRM untuk membantu siasatan berkaitan satu kes salah guna kuasa di sebuah Kementerian di Putrajaya.

Insan-insan seperi Pok Mat Nyior, kak Dah Akok dan Pok Leh Pok adalah manusia biasa dalam masyarakat yang berusaha mencari kehidupan dengan tulang 4 kerat mereka. Mereka tak berkelulusan tinggi tapi mereka tak mencetuskan masalah kepada orang lain.

Tekanan hidup yang mereka lalui sekarang bukan kerana mereka dulu tak belajar tinggi tetapi kerana kesilapan keputusan-keputusan yang dibuat oleh mereka yang berkelulusan tinggi di Putrajaya sana.

Bukan Pok Mat Nyior yang tukang umum harga minyak naik. GST bukan idea dari Kak Dah Akok. Kak Dah Akok juga tak terlibat memansuhkan biasiswa kepada pelajar-pelajar universiti. Lektrik naik, tol naik, tambang bas naik, harga barang naik semuanya bukan kerja Pok Leh Pok yang tukang tanda tangan buat keputusan.

Yang buat keputusan tu semuanya ngaji tinggi belaka.

Yang songlap duit negara beratus juta semuanya ngaji tinggi. Yang rasuah ratusan ribu pun ngaji tinggi. Yang terima dana 2.6b pun ngaji tinggi. Yang suka joli sana-sini sampai tak sedar diri adalah bini orang ngaji tinggi.

Yang negara duduk tanggung makan pakai, rumah tempat tinggal, bil api, bil air, bil telefon, minyak kereta, bayaran tol, tiket kapal terbang, hotel, malah beli kapal terbang dengan pitih rakyat untuk dia adalah orang ngaji tinggi.

Pitih kutip dari orang kampung yang tak belajar tinggi. Orang cerdik yang tukang senang dan mewah.

Pok Mat Nyior, Kak Dah Akok dan Pok Leh Pok tak pernah tuntut bayaran apa-apa pun dalam hidup dia. Malah mereka yang selalu bayar macam-macam. Ada motor buruk sebuah pun di samping kena bayar cukai jalan, bayar lesen, ada ketika kena saman.

Tapi mereka tetap senyum dan senyum. Yang nampak berkerut muka adalah orang di Putrajaya sana. – HARAKAHDAILY 31/3/2016

Tulisan ini diambil daripada FB beliau.

Share on Myspace