Kerana satu huruf, makna berbeza

ALANG IBN SHUKRIMUN | .

Firman Allah SWT:

فويل للمصلين. الذين هم عن صلاتهم ساهون

"Maka celakalah bagi orang-orang yang bersembahyang. Iaitu mereka yang lalai dari mengerjakan sembahyang."

Lalai di sini bukan bermaksud lalai ketika mengerjakan solat, tetapi lalai sehingga tidak mengerjakan solat, ataupun lalai sehingga solat di luar waktunya. Ini kerana ada perbezaan diantara perkataan عن dan في. Tuhan menggunakan perkataan عن bermaksud 'daripada' solat. Jika في barulah bermaksud 'dalam' solat. Terjemahan ini perlu dibetulkan dalam tafsir. Kerana satu perkataan sahaja, makna sudah berubah.

Ada kalangan ulama salaf berkata: "Segala puji bagi Allah yang berfirman الذين هم عن صلاتهم ساهون dan tidak berfirman الذين هم في صلاتهم ساهون. Kalau dia berfirman dengan في, nescaya semua akan dikira celaka termasuk orang yang bersolat."

Lalai dalam solat maksudnya tengah-tengah solat, teringat pada benda lain. Ingat pada kampung, bukit, laut dan macam-macam. Perkara ini tidak termasuk dalam maksud ayat.

Orang yang beriman jika lalai dalam solat dia sunud sahwi. Tertinggal rakaat, syak rakaat, lupa rukun dia terus perbetulkan kemudian sujud sahwi. Ini tak jadi masalah, bahkan diberi pahala pula untuk sujud sahwi tersebut.

Teringat sesuatu yang lain dalam solat ini biasa bagi manusia. Tengah solat ingat lembu tengah padang, kerbau di baruh dan sebagainya. Kalau ingat perkara yang baik tak menjadi salah.

Pernah Nabi SAW sejurus selepas solat, terus dia bergegas lari masuk ke rumahnya. Tak sempat wirid atau apa-apa, terus langkah sahabat-sahabat yang solat bersamanya. Kenudian dia datang kembali dan berkata;

"Hal tadi kerana aku teringat semasa solat, ada barang di rumahku yang aku terlupa nak beri kepada seseorang. Takut lupa, aku pergi serta merta."

Nabi pun begitu. Kalau ada orang yang kata dia khusyuk sampai tak ingat apa-apa langsung, lebih pada Nabi pula. Bohong semua itu.

Tuhan memang jadikan hati manusia ini melayang-layang sentiasa. Kalau teringat perkara lain, segera tumpu balik kepada solat. Kita kena sedar dalam solat ada mujahadah. Begitulah hati manusia. Diberi pahala dengan setiap mujahadah melawan gangguan khusyuk.

Yang tabie nya tak ingat pada benda lain hanyalah malaikat. Ini disebut. Nabi Ayub AS sendiri, setelah disembuhkan dari penyakit, dia diperintahkan mandi. Ketika mandi, tuhan uji datang seekor belalang emas.

Melihat belalang emas, dia terus mengejar belalang tersebut sampai tak sedar sedang bertelanjang. Tuhan tegur, "wahai Ayub. Kenapa sampai tak ingat kepada pakaian ni.." Jawab Nabi Ayub, "Kerana aku bersyukur atas nikmat-Mu Ya Allah." Sempat lagi dia menjawab. – HARAKAHDAILY 7/4/2016

Petikan kuliah Jumaat Datuk Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang di Masjid Rusila pada 16 Jamadil Akhir 1437 bersamaan 25 Mac 2016 ini disusun oleh Alang Ibn Shukrimun.

Share on Myspace